Memori Indah Bersama Si Cilik Di Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 5 Februari 2015 8:00 AM

Empat sekeluarga bersama Aliff dan Humaira begitu teruja dapat menikmati tamar muda.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Ramai yang suka bertanya sesuaikah untuk membawa kanak-kanak mengerjakan umrah? Pelbagai kebimbangan dilontarkan kerana khuatir si cilik tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan di Tanah Suci.

Usah gusar. Kanak-kanak selalunya lebih bertenaga daripada kita. Mereka boleh menyesuaikan diri dengan cuaca di sana. Semua itu kuasa Allah SWT. Sebagai ibu bapa, jangan terlalu berfikiran negatif untuk membawa anak-anak mengerjakan umrah.

Alhamdulillah, pengalaman membawa anak-anak ke Tanah Suci menyebabkan saya akan mengatakan "bawalah anak ke Tanah Suci" kepada sesiapa sahaja yang bertanyakan kesesuaian membawa si kecil mengerjakan ibadat itu, kecuali ketika Ramadan yang sering dibanjiri jutaan manusia.

Lazimnya, cuti sekolah pada Mac dan Mei menjadi perhatian ibu bapa untuk membawa anak-anak mengerjakan umrah. Kini, Disember juga membuka peluang kepada kita untuk beribadat bersama si cilik di Tanah Suci.

Bagi mereka yang sudah merancang membawa anak mengerjakan umrah pada Mac atau Mei ini, saya ingin berkongsi pengalaman membawa anak beribadat ke kota suci itu. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan kerana begitu menyeronokkan dan perlakuan mereka meninggalkan kenangan.

Saya dan suami, Abdul Rahman, membawa anak ke Tanah Suci untuk kali pertama pada 2001. Ketika itu, anak sulung kami, Aliff berusia lapan tahun, manakala Humaira, 6 dan saya pula hamil enam bulan anak ketiga.

Aliff dan Humaira bertuah kerana berpeluang menjadi tetamu Allah pada usia muda.

Tidak pernah terlintas di fikiran saya sebarang kekhuatiran membawa Aliff dan Humaira. Saban hari saya berdoa agar perjalanan, ibadat dan kesihatan saya terpelihara untuk menjaga mereka.

Alhamdulillah niat suci terlaksana walaupun suami agak risau kerana beliau juga kali pertama mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Macam mana jalan raya di sana. Ok ke? Awakkan mengandung. Nanti terhentak-hentak macam mana?,” tanya suami kerisauan sebelum kami mendaftar di sebuah agensi pelancongan di ibu negara.

“Lebuh raya dan jalan raya di Makkah dan Madinah macam Kuala Lumpur juga. Jangan risau sangat,” balas saya ringkas penuh yakin.

Setelah semua persiapan diatur, maka kami pun empat beranak melangkah penuh kesyukuran menaiki pesawat Saudi Airlines. Perjalanan hampir sembilan jam itu tidak menimbulkan masalah kepada Aliff dan Humaira. Mereka tidur, makan dan bermain dengan permainan yang diberikan oleh kru kabin.

Setelah tiba di Jeddah, kami ke Madinah. Di dalam bas, Aliff dan Humaira sering menjadi perhatian jemaah. Ramai yang suka mengusik dan berbual dengan mereka, terutama Humaira yang agak keletah.

Alhamdulillah kedua-duanya sihat dan tidak menimbulkan masalah ketika berziarah ataupun mengikut kami mengerjakan solat berjemaah di Masjid Nabawi. Namun, saya perhatikan selera makan bertambah. Ayam golek, jus buah-buahan, makanan ringan sering menjadi perhatian mereka.

Suami tidak putus-putus membeli jus buah dan ayam golek setiap hari walaupun sarapan, hidangan tengah hari dan makan malam sedia dinikmati. Setiap kali pulang dari solat, aiskrim di kaki lima menjadi perhatian. Terhibur melihat mereka.

Cuaca ketika itu amat panas. Suhu mencecah hampir 50 darjah Celcius. Tatkala berjalan ke Masjid Nabawi pada waktu Zuhur, Aliff dan Humaira menundukkan pandangan mereka sahaja. Kami memerhatikan gelagat mereka. Comel.

Ziarah ke makam Siti Hawa di Jeddah bersama Aliff dan Humaira.

“Panaslah umi. Eee… panas sangat air,” jerit Aliff selepas keluar dari tandas.

Betul katanya. Memang air terlalu panas setiap kali dibuka.

Suami membersihkan botol-botol bekas jus buah yang dibeli dan membersihkan baldi di dalam tandas.

“Awak nak buat apa dengan botol dan baldi ni,” tanya saya agak hairan.

“Tadah air untuk budak-budak. Mereka boleh ambil wuduk juga nanti guna air dalam botol ni,” balas suami dengan tenang.

“Aliff dan Humaira nanti ambil air dalam botol ni ye. Nak ambik wuduk pun senang nanti. Tak panas.

Ayah dah tadah air,” ujar saya kepada mereka yang sedang menikmati makanan ringan.  Mereka mengangguk.

Kedua-duanya tampak ceria sahaja kerana tiada larangan menikmati makanan ringan di Tanah Suci.

Saya mengawal pengambilan makanan ringan terutama pada Aliff kerana dia mudah migrain jika tersilap makan. Namun, di Tanah Suci, tiada pula masalah itu.

Tiba hari ke Makkah, semua jemaah bersiap sedia lengkap berihram. Humaira berjubah dan bermini telekung, manakala tubuh Aliff dililit kain kapas serba putih tidak berjahit. Dia kelihatan tidak selesa berihram tetapi ditenangkan oleh ayahnya. Sekali lagi mereka menjadi perhatian jemaah lain.

Tiba di Makkah, umrah disempurnakan. Mereka tidak meragam sepanjang perjalanan  dari Madinah ke Makkah walaupun keletihan. Ziarah di kota Makkah bermula.

Sekali lagi mereka teruja mengikuti rombongan jemaah umrah melawat tempat bersejarah. Kami turut merebut peluang untuk mengerjakan umrah sunat apabila miqat di Jaaranah dan Hudaibiah. Suami tidak mahu melepaskan peluang untuk terus mengerjakan umrah sunat dan kami sepakat untuk menaiki bas ke Tanaim untuk berniat ihram di situ.

Bersama beberapa jemaah lain, kami menaiki bas dua tingkat ke Tanaim. Aliff nampak seronok dan tersengeh, manakala Humaira hanya diam sahaja di dalam bas. Tiba di Masjid Tanaim atau juga dikenali sebagai Masjid Aisyah, saya dan Humaira ke pintu masuk wanita, manakala suami dan Aliff menuju pintu masuk lelaki.

Humairah di pekarangan Masjid Quba' di Madinah.

Di dalam masjid, Humaira terbaring lesu. Sesudah solat sunat ihram saya memimpin Humaira keluar dari masjid. Humaira mula merengek dan wajahnya kemerah-merahan. Saya memegang tubuhnya dan dahinya. Panas. Detik hati kecil saya.

“Humaira demam lah. Panas badan dia,” ujar saya sejurus melihat suami lengkap berihram.

“Emm. Panas. Humaira demam,” balas suami sambil memegang Humaira.

Kami berjalan pantas menuju ke stesen bas. Syukur bas sudah sedia menunggu jemaah yang mahu ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan umrah. Di dalam bas kami turut menemui rakan-rakan jemaah lain.

Saya duduk bersama Humaira, manakala suami duduk bersama Aliff di dalam bas yang tidak penuh.

Tiba-tiba Humaira menundukkan kepala dan muntah di dalam bas, sekali gus mengejutkan ayahnya yang duduk di depan kami.

“Ya Allah. Humaira Humaira,” panggil saya sambil mengusap belakang badannya dan mengeluarkan plastik di dalam beg galas.

Jemaah berhampiran saya memberikan suami beberapa helaian tisu untuk mengelap mulut Humaira. Suami terus memberi Humaira air zamzam dan menyuruhnya minum. Dia kelihatan lemah tidak bermaya. Namun, kami tenang menghadapi situasi itu.

Tiba di Masjidil Haram, suami membawa Humaira dan Aliff pulang ke Hotel Firdaus Marwah serta menyuruh saya menyempurnakan umrah terlebih dahulu. Saya akur. Setelah selesai, saya pulang ke hotel dan suami pula menyempurnakan umrah beliau.

Humaira terlantar lesu di dalam kamar hotel. Ubat-ubatan yang dibawa turut diberi. Aliff pula termenung melihat adiknya. Saya bersolat di dalam kamar pada hari itu kerana tidak mahu keadaan Humaira mengganggu jemaah lain di masjid.

Saya sapukan air zamzam di kepala dan dahi Humaira. Berselawat dan memohon doa agar Allah menyembuhkan demam panasnya secepat mungkin. Alhamdulillah, demam Humaira kebah esoknya.

Syukur Alhamdulillah. Namun, saya terus memujuknya minum banyak air zamzam, selain aiskrim dan jus buah-buahan. Bimbang jika demam berulang.

Abdul Rahman dan Aliff menikmati keindahan Laut Merah.

Dua hari selepas itu kami dijemput kenalan ke Jeddah. Bersiar-siar di sekitar Jeddah, menziarahi Makam Siti Hawa, menyaksikan keindahan Laut Merah dari Al-Nakhleel Resort dan menginap satu malam di rumah kenalan berkenaan. Alhamdulillah, Aliff dan Humaira sihat dan tampak ceria sekali.

Gambar kenangan sekeluarga di Al-Nakhleel Resort.

Kami kembali ke Makkah dan beribadat terus. Alhamdulillah, tiada lagi kebimbangan di hati kerana Aliff dan Humaira asyik bermain di dalam kamar hotel dan gembira setiap kali diajak berjemaah ke Masjidil Haram.

Kenangan indah membawa si cilik ke Tanah Suci abadi dalam ingatan kerana sekembali ke tanah air dan melahirkan anak ketiga, Humaira mahu adiknya diberi nama Hajar kerana teringat cerita saya di Tanah Suci mengenai kegigihan Hajar mencari air di antara Safa dan Marwah untuk diberi kepada anaknya, Ismail.




Tags / Kata Kunci: Humaira , Tanah Suci , Madinah , Masjid Aisyah

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan