Medan Uji Kesabaran, Kasih Sayang Buat Ibu Bapa

Diterbitkan: Khamis, 22 Januari 2015 8:00 AM

Alias menolak kerusi roda yang dinaiki bapanya untuk memudahkan ibadah yang dijalankan sepanjang tempoh di kota Makkah dan Madinah.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Saya pernah dinasihatkan oleh Prof Datuk Dr Mat Saad Baki supaya bersabar apabila membawa ibu bapa menunaikan ibadat umrah selepas memaklumkan kepada beliau akan berangkat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah bersama-sama dua insan tersayang itu. 

“Awak pergi bawa ibu bapa? Bagus tetapi susah juga tau sebab kadangkala jika awak lebihkan mak, bimbang bapa awak pula kecil hati. Jika lebihkan bapa, mak pula nanti terasa hati. 

Sebaik-baiknya, berlaku adil kepada mereka,” pesan Dr Mat Saad selepas saya menemuramahnya. 

Pesanan itu terpahat dalam hati. Justeru, jika ada kawan dan kenalan bertanya cabaran membawa ibu bapa, saya pula berpesan kepada mereka perkara yang sama.

Dalam keadaan saya, Alhamdulillah, ibu bapa saya tidak cerewet dan tidak begitu mencabar kesabaran anak-anak apabila membawa mereka ke Tanah Suci.

Ketika bertindak sebagai petugas umrah, saya sering memerhatikan layanan anak-anak terhadap ibu ataupun bapa mereka yang sudah dimamah usia. Bukan mudah membawa mereka untuk beribadah apatah lagi jika kedua-duanya berusia 70-an dan memerlukan sepenuh perhatian.

Namun, saya kagum jika anak yang membawa ibu bapa uzur begitu tabah dengan pelbagai perlakuan atau karenah orang tua mereka yang kadangkala begitu mencabar kesabaran sebagai tetamu Allah SWT.

Ketika membawa sekumpulan jemaah, layanan dua beradik berusia lewat 40-an menarik perhatian saya. Alias dan Azman  membawa ibu bapa berusia sekitar 70-an begitu prihatin terhadap setiap kebajikan orang tua mereka. Tidak pernah saya mendengar mereka merungut dan mengeluh walaupun daripada raut wajah mereka
terpancar keletihan menguruskan kedua-duanya.

Azman memimpin ibunya dibantu jemaah lain.

Dari awal perjalanan menuju Baitullah menerusi pesawat Gulf Air sudah menguji kesabaran dua beradik itu apabila kerusi roda si ibu yang dibawa dari Kuala Lumpur gagal ditemui apabila pesawat mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah.

Mereka kelihatan tenang walaupun banyak soalan dibangkitkan oleh jemaah lain di lapangan terbang mengenai kerusi roda yang hilang selepas semua bagasi dikumpulkan untuk menaiki bas menuju ke Madinah.

Mereka hanya membawa satu kerusi roda kerana kedua-duanya masih mampu berjalan tetapi dalam kadar yang agak lambat.

“Emak dan abah bergilir-gilir naik kerusi roda. Tak perlu bawa dua. Mereka boleh berjalan tetapi lambat sedikitlah. Jika emak dah penat berjalan, naiklah kerusi roda. Abah pula berjalan,” ujar Azman kepada salah seorang jemaah sejurus bas tiba di depan kami.

“Azman… tiba di Madinah nanti, cari kerusi roda. Insha Allah ada di farmasi berhampiran hotel yang kita duduk. Kesian mak abah awak masa kita pergi ziarah luar di sekitar Madinah,” pesan saya kepada Azman yang lebih peramah daripada abangnya Alias.

“Insha Allah hajah. Terima kasih,” balas Azman ringkas sambil tersenyum. 

Alias dan Azman baru pertama kali berkunjung ke Tanah Suci, manakala kedua-dua orang tua mereka sudah beberapa kali menunaikan umrah dan menyempurnakan ibadat haji.

Tiba di Madinah, semua jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi dan memberi salam kepada Rasulullah S.A.W serta sahabat. Selesai bersolat kami menikmati sarapan di Hotel Safir Al-Saha, hotel bertaraf empat bintang yang terletak kira-kira 100 meter dari Masjid Nabawi.

Usai bersarapan semua jemaah berehat sementara menunggu waktu Zuhur. Azman dan Alias tidak berlengah untuk menyediakan kemudahan untuk orang tua. Kerusi roda di farmasi berhampiran sudah ada di depan mata.

“Wah, dah beli kerusi roda untuk mak abah ye Azman. Baguslah. Sukalah mereka nanti,” ucap saya.

“Alhamdulillah hajah, dah senang nak bawa mereka ke masjid untuk solat fardu Zuhur di masjid. 

"Harga pun tak mahal sangat, sikit lebih kurang macam di Kuala Lumpur juga,” ujar Azman tersenyum lebar.

Secara kebetulan saya duduk satu bilik dengan emak Azman dan Alias. Berita baik itu saya sampaikan kepada emak mereka sejurus tiba di dalam bilik.

Ibu Alias dan Azman sedang berkemas di bilik sambil menantikan kedatangan anaknya.

“Makcik, anak-anak dah belikan kerusi roda,” ujar saya.

“Alhamdulillah, dapatlah pergi solat Zuhur di masjid nanti,” balas beliau tersenyum puas.

Setengah jam sebelum masuk waktu Zuhur, Azman memberi salam sambil mengetuk pintu bilik memanggil emaknya untuk dibawa bersolat di Masjid Nabawi. Sejurus pintu dibuka, beliau menyuruh emaknya duduk di atas kerusi roda, manakala abahnya pula sedia menunggu di lobi bersama-sama Alias.

Turut bersama-sama mereka ialah rakan sebilik saya yang bertindak sebagai pengiring kepada emak Azman dan Alias. Tidak lama selepas itu, saya dan seorang lagi jemaah meninggalkan bilik hotel untuk bersolat jemaah di Masjid Nabawi.

Selesai solat dan makan tengah hari, Azman menghantar semula emaknya, manakala Alias pula mengiringi abahnya ke bilik. 

Begitulah mereka saban hari. Sabar dan tenang menguruskan kedua-dua orang tua. Esoknya, kami berziarah. Kerusi roda dikongsi bersama secara bergilir-gilir. Emak dan abah mereka tampak ceria. Dapat beribadat dengan lancar dan berziarah ke destinasi bersejarah di sekitar kota Madinah.

Saya memerhati sahaja Alias melayani abahnya di ladang tamar. Banyak sungguh abah mereka membeli tamar. Beliau hanya tunjuk mahu itu mahu ini dan Alias mengikut sahaja. Barang-barang dibungkus rapi di dalam sebuah kotak bersaiz sederhana.

“Banyaknya Alias. Hendak jual tamar ke balik Kuala Lumpur nanti,” usik saya bergurau.

“Abah nak beri kawan-kawan masjid. Macam-macam jenis tamar dia pilih dan suruh beli. Saya ikut saja hajah. Kalau tak beli nanti abah kecil hati pula. Duit pun duit dia, bukan duit saya untuk beli semua ini,” balas Alias tersenyum.

Jemaah lain turut mengusik dua beradik itu sejurus melihat kotak bersaiz sederhana dan lebih mengejutkan apabila kami dimaklumkan oleh Alias bahawa tamar itu sahaja seberat 20 kilogram (kg), tidak termasuk kacang, kismis dan buah-buah kering lain yang dibeli.

Malah, ada jemaah mula membayangkan bahawa pasti ada lebihan bagasi apabila pulang nanti kerana Gulf Air hanya membenarkan 25 kg untuk setiap penumpang. Mendengarkan perkara itu, Azman dan Alias hanya tertawa kecil.

Selesai solat Asar berjemaah, Alias memaklumkan kepada saya bahawa kerusi roda yang digunakan oleh abahnya hilang di dalam Masjid Nabawi.

“Tiba-tiba sahaja kerusi roda sudah lesap. Abah solat berdiri ketika itu. kerusi dekat sahaja dengan abah. Entah macam mana boleh hilang lagi. Mungkin orang tersilap ambil,” ujar Alias pasrah di depan saya.

“Sabarlah Alias. Mungkin ada hikmahnya. Jadi macam mana sekarang? Lusa kita nak berangkat ke Makkah. Nak beli lagi ke atau kita usaha pinjam dari hotel sahaja dulu?” pinta saya.

Akhirnya, setelah berbincang anak beranak, mereka bersetuju untuk membeli sebuah kerusi roda kerana memikirkan kegunaannya di kota Makkah kelak.


Susana sekitar Kaabah di waktu subuh yang begitu damai.

Esoknya, dua beradik itu kelihatan membeli sebuah kerusi roda lagi untuk kemudahan emak dan abah mereka. Waktu berangkat ke 

Makkah pun tiba, kerusi roda turut dimuatkan di dalam perut bas untuk memastikan ia membantu melancarkan urusan tawaf dan saie di Makkah.

Tiba di Makkah, Alias membawa abahnya, manakala Azman membawa emaknya. Alhamdulillah, sebuah kerusi roda dapat  dipinjam dari hotel penginapan. Lazimnya, ada sahaja kerusi roda yang diwakafkan di hotel tetapi ikut rezeki jemaah juga kerana kadangkala sudah digunakan oleh jemaah lain. Siapa cepat dia dapat.

Di Makkah, banyak perkara berjalan lancar. Kedua-duanya tidak mengenal penat lelah menolak emak dan abah mereka saban hari ke Masjidil Haram, yang terletak kira-kira 250 meter dari tempat tinggal kami.

Setelah beberapa hari di Makkah, abah mereka demam namun tetap berkeras mahu mengerjakan solat berjemaah di Masjidil Haram. 

Hendak dijadikan cerita, kerusi roda yang bersusun di lobi tiada. Mereka hanya bergantung pada satu kerusi roda saja sedangkan bapa mereka pula demam.

“Hendak suruh emak berjalan kaki, kasihan pula. Nanti kepenatan. Jadi kami beli sebuah lagi kerusi roda untuk kesenangan mak dan abah,” ujar Azman kepada saya di dewan makan.

“Oh ye ke? Dah ada dua kerusi roda sekarang ni. Kita pun dah hampir nak balik. Kenapa beli lagi?” tanya saya.

“Tak mengapalah hajah. Untuk kemudahan. Lagi pun senang nak tolak kedua-duanya ke masjid. Tak sampai hati nak suruh jalan kaki setiap hari sebab mereka nak ke masjid sahaja untuk solat fardu. 

Kerusi roda kadangkala ada, kadang-kadang tiada. Jadi lebih baik beli sahaja. Boleh guna sampai ke Kuala Lumpur,” balas Azman.

Saya senyap dan mengangguk tanda bersetuju. Hari berangkat pulang ke tanah air pun tiba. Semua jemaah sibuk mengagak dan menganggarkan berat setiap beg dan kelihatan ada antaranya yang agak cemas.

Tiba di lapangan terbang dan semua bagasi ditimbang secara purata maka jumlah keseluruhan melebihi had ditetapkan. Ketua rombongan dan mutawif menasihatkan agar semua jemaah bersama-sama membayar lebihan itu. Semua tidak keberatan. Alhamdulillah.

Muatan beg berlebihan menyebabkan jemaah dikenakan bayaran ketika di lapangan terbang.

“Hajah, tak mengapa. Saya dan Alias akan jelaskan bayaran lebihan bagasi itu,” ujar Azman ringkas.

“Eh betul ke ni Azman. Kira-kira RM200. Tak mengapalah, kita bayar sama-sama,” balas saya.

“Tak mengapa. Alias dah pergi ke kaunter untuk bayar. Lagi pun tamar kami paling berat. Itu sahaja dah 20 kg. Biar kami bayar,” ucap Azman penuh yakin.

“Terima kasih Azman. Terima kasih,” balas saya dan terus memaklumkan kepada jemaah lain. Tidak lama selepas itu kelihatan seorang demi seorang jemaah datang berjumpa Alias dan Azman untuk mengucapkan terima kasih.

Sesungguhnya, mereka bukan sahaja melayan emak dan abah dengan penuh sabar tetapi bertanggungjawab membayar lebihan had bagasi untuk memudahkan semua jemaah kerana sedar mereka berbelanja banyak untuk memenuhi kemahuan orang tua. 

Tentunya habuannya menanti bagi mereka yang tidak mengabaikan ibu bapa, terutama bagi yang begitu bersabar dan sedia melakukan apa sahaja asalkan kedua insan tersayang itu gembira.

Tags / Kata Kunci: Mat Saat Baki , Makkah , Madinah , ibu bapa

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan