Catatan Di Kota Vladivostok

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 8:05 PM

Pemandangan menarik suasana persekitaran Jambatan Golden Horn.

(Ubah saiz teks)

KOTA Vladivostok adalah kota Rusia yang terbesar di Asia Timur Jauh. Berfungsi sebagai sebuah kota pelabuhan, Vladivostok dianggarkan didiami oleh hampir 600,000 orang.

Moscow, ibu kota Rusia terletak kira-kira 9,000 km jauhnya dari Vladivostok. Kota ini mempunyai cuaca empat musim, sangat indah terutamanya pada musim bunga, namun jarang sekali dikunjungi warga Malaysia kerana jaraknya yang agak jauh (walapun terletak di zon waktu yang hampir sama) dan sukar dikunjungi kerana tiada penerbangan langsung dari Kuala Lumpur.

Selain terkenal sebagai sebuah kota pelabuhan dan pelancongan, Vladivostok juga dikenali sebagai sebuah kota ilmu. Sebuah universiti ternama di Rusia, Far Eastern Federal University (FEFU) terletak kira-kira 23km dari pusat bandar Vladivostok seringkali menerima para pelajar dari negara-negara yang berdekatan seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

FEFU juga pernah menjadi hos kepada penganjuran sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada tahun 2012 yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

JEMPUTAN DARI RUSIA

Pengalaman penulis menjadi tetamu di FEFU menyimpan seribu satu kenangan kerana inilah buat kali pertamanya dalam perjalanan hidup penulis sebagai ahli akademik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), penulis telah dijemput sebagai profesor pelawat.

Bergambar berlatarbelakangkan Kota Vladivostok.

Jemputan ini juga adalah yang pertama seumpamanya bagi seorang warga Malaysia ke Sekolah Undang-undang, FEFU. Ia adalah lanjutan daripada pertemuan penulis dengan salah seorang ahli akademik FEFU, Dr Roman Dremliuga sewaktu penulis menghadiri sesi sekolah musim panas di Xiamen University pada tahun 2013.


Beliau meminta penulis untuk mengirimkan curriculum vitae (CV) bagi tujuan penelitian oleh pihak atasan Sekolah Undang-undang FEFU dan akhirnya, pihak mereka bersetuju untuk menjemput penulis sebagai Profesor Pelawat untuk mengajar dan menyampaikan syarahan akademik di sana selama lapan hari bermula 9 Disember lalu.

Jemputan dari FEFU telah dikirimkan kepada penulis pada 30 September 2014, dua bulan lebih awal dari tarikh tugasan. Rusia melaksanakan peraturan imigresen yang amat ketat dan warganegara Malaysia perlu mendapatkan visa untuk berkunjung ke sana, sama ada bagi tujuan rasmi atau sebaliknya.

Pihak FEFU menannggung kesemua kos penerbangan dan penginapan penulis sepanjang lapan hari penulis berada di sana. Kos penerbangan dari Kuala Lumpur ke Vladivostok boleh mencecah sehingga RM3,500 pergi-balik.

PERJALANAN KE VLADIVOSTOK

Perjalanan penulis ke Vladivostok, Rusia bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam 9 Disember 2014. Malaysia Airlines (MAS) tidak menawarkan penerbangan langsung ke Vladivostok. Oleh itu, penulis perlu terbang dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan terlebih dahulu. Penerbangan tersebut mengambil masa enam jam.

Dari Incheon, perjalanan ke Vladivostok hanya sekadar satu setengah jam sahaja dengan menaiki Aurora Airways, syarikat penerbangan milik Rusia.

Suhu di Incheon adalah sekitar 1 hingga 2 darjah celcius, amat berbeza dengan Kuala Lumpur yang kebiasaanya sekitar 28 darjah celcius. Hentian penulis di Incheon cuma mengambil masa empat jam, dan perjalanan kemudiannya diteruskan ke Vladivostok.

Dari jendela pesawat ketika hendak mendarat, penulis dapat melihat seluruh kawasan di Artem, lokasi di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok terletak diselubungi salji secara keseluruhannya – satu pemandangan yang amat indah.

Salji telah menutupi bumi Artem dengan begitu banyak sekali dan suhu adalah sekitar -18 darjah Celcius iaitu di bawah paras beku. Nampaknya Rusia telah menyambut kedatangan penulis dengan kedinginan saljunya dan dengan ini bermulalah pengembaraan penulis.

FEFU

Ketibaan penulis di lapangan terbang telah disambut oleh seorang pelajar wanita jurusan sarjana muda undang-undang FEFU, bernama Veronika Logvinenko yang mengiringi penulis sehingga ke laman kampus.

Perjalanan dari Artem ke FEFU mengambil masa lebih satu jam tidak dirasai kerana keramahan Veronika yang bersemangat memperkenalkan Rusia dan FEFU kepada penulis. Pada asalnya, kampus FEFU terletak di tengah-tengah kota Vladivostok.

Namun dengan kepesatan perkembangannya sebagai pusat ilmu di Rusia Timur Jauh, pemerintah Rusia telah memindahkan kampus FEFU ke Pulau Frunzenskiy Rayon, kira-kira 23km dari Vladivostok. FEFU ialah sebuah universiti yang besar dengan sembilan fakulti, salah satunya, Sekolah Undang-undang yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.

Hotel penginapan penulis sepanjang tempoh berada di Rusia.

Kampus FEFU di Pulau Frunzenskiy Rayon mempunyai lima buah bangunan hotel universiti yang dahulunya digunakan bagi tujuan sidang kemucak APEC. Pihak FEFU menempatkan penulis di hotel yang terletak betul-betul bersebelahan dengan bangunan Sekolah Undang-undang, FEFU bagi memudahkan pergerakan.

Menjelang tengah malam, suhu masih serendah -20 darjah Celcius.

PROFESOR PELAWAT

Tugas penulis di FEFU bermula pada hari Khamis, 11 Disember 2014. Penulis diminta oleh rakan sejawatan, Dr Roman Dremliuga untuk mengajar dalam beberapa siri kuliah program ijazah sarjana muda undang-undang.

Sesi kuliah dengan para pelajar Sekolah Undang-undang, FEFU.

Boleh dikatakan kemudahan infrastruktur FEFU adalah bertaraf dunia membuatkan penulis berasa cemburu dengan kemajuan Rusia – walaupun mereka dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, ternyata negara ini masih mampu untuk berdiri teguh dan maju ke hadapan.

Sebagai profesor pelawat, penulis dikehendaki untuk mengajar subjek undang-undang laut antarabangsa dalam sebuah kelas yang mempunyai lebih daripada 30 orang pelajar yang rata-ratanya adalah pelajar dari Rusia. Hanya sebilangan dari mereka yang fasih berbahasa Inggeris. Ini sedikit sebanyak mencacatkan komunikasi di antara kami tetapi tidaklah sehingga menjejaskan kelancaran kuliah dan pengajaran.

Anak-anak Rusia mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Selain daripada kuliah yang penulis sampaikan itu, mereka juga banyak bertanya dalam sesi soal jawab. Daripada soal sistem perundangan ke sistem ekonomi Malaysia, penulis dihujani dengan pelbagai jenis soalan.

Namun apa yang menarik perhatian penulis adalah sifat ingin tahu mereka mengenai Islam. Sebagai sebuah negara yang mana komunisme dan sosialisme adalah pegangan utama, fahaman-fahaman agama pernah diharamkan di sini – gereja diruntuhkan dan masjid dimusnahkan – kerana pada mereka, agama ibarat gula-gula yang melalaikan.

Sempat meninjau sekitar Vladivostok dan merakamkan kenangan di depan Gereja Besar kota ini.

Hanya sekarang ini Rusia membuka pintunya sedikit demi sedikit untuk membenarkan fahaman agama, termasuk agama Islam, untuk bertapak kembali. Antara soalan-soalan yang dilontarkan termasuk maksud ‘Islam’ itu sendiri, pemotongan tangan di dalam hukum hudud (mereka ingin mendapatkan pemahaman yang sebenar kerana apa yang mereka faham mengenai hudud adalah menerusi filem-filem Barat), serta masalah orang-orang Islam di Timur Tengah.

Penulis juga berasa takjub dengan pengetahuan mereka mengenai Kuala Lumpur dan Malaysia. Paling mereka kenali ialah Menara Berkembar Petronas sebagai mercu tanda negara.

Mereka turut bertanyakan nasib kehilangan pesawat MAS, MH370 dan malapetaka yang menimpa MH 17.

Sejurus selepas mengajar di kelas tersebut, penulis telah dijemput untuk menyampaikan kuliah akademik bertajuk ‘The Law of the Sea Convention (LOSC) and Its Implication on Southeast Asia’ selama sejam.

Gambar berkumpulan dengan para pelajar Sekolah Undang-undang, FEFU - di sebelah saya berbaju hitam ialah rakan saya Dr. Roman Dremliuga

Kuliah ini dihadiri oleh para pelajar FEFU dan para profesor dan ahli akademik Sekolah Undang-undang, FEFU. Kuliah ini berkongsi mengenai kesan penerimaan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 terhadap negara-negara Asia Tenggara dari segi pembahagian sempadan maritim di Laut China Selatan, keselamatan maritim serta hak navigasi kapal-kapal asing merentasi rantau tersebut.

Memandangkan Rusia mempunyai armada kapal yang besar, tumpuan perbincangan adalah lebih terhadap sub-topik yang ketiga iaitu hak navigasi.

PENGALAMAN DI RUSIA

Pada hari kedua, Jumaat, 12 Disember 2014, penulis telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat Sekolah Undang-undang FEFU, bersama Timbalan Dekan, Dr Natalia Prisekina dan orang nombor satu, iaitu Dekan, Professor Vladimir Kurilov.

Pada asalnya, Professor Kurilov tidak mempercayai bahawa sayalah orang yang dijemput itu kerana beliau menyangkakan bahawa orang tersebut tentulah sudah berusia. Namun, usia tidak patut menjadi isu atau halangan. Bertubi-tubi soalan ditanya oleh Profesor Kurilov kepada penulis mengenai sistem perundangan Malaysia, amalan guaman di Malaysia, pendidikan guaman di Malaysia serta pengajaran undang-undang Syariah di USIM.

Beliau amat tertarik dengan undang-undang Syariah yang diajarkan di USIM dan mempertimbangkan untuk memperkenalkannya bagi mewujudkan kelainan di antara Sekolah Undang-undang FEFU dengan fakulti undang-undang di universiti-universiti lain di Rusia.

Pada mesyuarat tersebut juga penulis cuba menjelaskan mengenai sistem perundangan Malaysia yang bertunjangkan undang-undang common law tinggalan British serta undang-undang Islam, yang terpakai dikalangan orang-orang Islam di Malaysia. Mesyuarat tersebut telah berjaya menjadi medan perkongsian maklumat di antara sebuah universiti Rusia, FEFU dan universiti Malaysia, USIM.

KOTA VLADIVOSTOK

Memandangkan hari ketiga dan hari keempat adalah hari cuti hujung minggu, penulis mengambil kesempatan ini untuk bersiar-siar di sekeliling Vladivostok. Dr Roman Dremliuga membawa penulis untuk melihat sendiri keindahan kota terbesar Rusia di Asia Timur ini.

Penulis mengabadikan memori di Dataran Tengah, Vladivostok.

Tarikan utama Vladivostok adalah Jambatan Golden Horn, jambatan besar yang merentangi Teluk Zolotoy Rog yang memisahkan kota Vladivostok kepada dua bahagian. Penulis juga dibawa berkunjung ke Muzium Kapal Selam, Gereja Besar Vladivostok, Tugu Tzar, Dataran Tengah (Central Square) di pusat bandar Vladivostok serta Dataran Pohon Persahabatan, terletak tidak jauh dari Muzium Kapal Selam.

Terdapat enam pohon di situ, setiap pohon mewakili hubungan persahabatan Rusia dengan negara lain dan pohon-pohon tersebut dinamakan bersempena nama kapal perang negara-negara yang berkaitan. Sebagai rakyat Malaysia, penulis berasa bangga apabila melihat nama Malaysia mekar di sini apabila salah satu pohon persahabatan itu dinamakan 'KD Kedah', bukti pengiktirafan Rusia terhadap hubungan negara tersebut dengan Malaysia terutama dari segi hubungan ketenteraan.

Pohon persahabatan - KD Kedah

Salji masih memutih  meliputi keseluruhan Vladivostok dan ini menambahkan keindahan kota ini ibarat sebuah kota khayalan seperti yang sering digambarkan di dalam kartun terbitan Walt Disney. Akan tetapi, disebabkan suhu Vladivostok yang berada di bawah -15 darjah Celcius telah menghadkan pergerakan kami.

SELAMAT TINGGAL VLADIVOSTOK

Pada tanggal 15 Disember 2014, penulis membentangkan kertas kerja bertajuk ‘The Legal Status of the Straits of Malacca and Singapore: Balancing Shipping and Marine Environmental Protection’ bagi melengkapkan tugasan penulis sebagai profesor pelawat di sini, sekaligus menamatkan lawatan rangka kerja lapan hari di FEFU.

Kertas kerja ini menarik perhatian ahli-ahli akademik dan pelajar-pelajar di sini apabila penulis membandingkan kepentingan Selat Melaka dengan Laluan Artik Utara, laluan perkapalan yang penting untuk Rusia. Persoalan demi persoalan dikemukakan berkaitan status pelayaran bebas di selat menurut kehendak undang-undang laut antarabangsa.

Pada malam terakhir di Vladivostok, penulis telah dijamu dengan sajian makanan Rusia seperti hidangan (sup kobis), Okroshka (sup sejuk berasaskan susu) dan makanan berasaskan sayuran.

Warga FEFU sepertimana warga Rusia yang lain sangat peramah dan ini menjadikan pengembaraan di sini satu kenangan indah yang sukar dilupakan.

Dan segala yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga perkhidmatan penulis sebagai profesor pelawat di FEFU. Penulis bertolak pulang ke Malaysia pada tanggal 16 Disember 2014 ditemani  ribut salji dengan suhu serendah -25 darjah Celcius yang hampir menyebabkan penerbangan ke Incheon, tergendala.

Namun, akhirnya ribut reda dan segalanya berjalan lancar. Pesawat Aurora Airways meninggalkan bumi Vladivostok pada tepat jam 9 pagi menuju ke selatan iaitu Incheon. Setelah berhenti selama enam jam di Incheon, penulis menukar penerbangan ke KLIA dan tiba di tanah air pada awal pagi 17 Disember.

Tugasan sebagai profesor pelawat di FEFU dan kunjungan ke kota Vladivostok akan sentiasa kekal sebagai kenang-kenangan indah dan ini semestinya bukan pengakhiran kepada hubungan di antara dua institusi iaitu USIM dan FEFU demi kemajuan pendidikan bagi kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Rusia.

> Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

Tags / Kata Kunci: Vladivostok , Rusia , FEFU , USIM

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan