Dugaan Tetamu Tak Diundang

Diterbitkan: Khamis, 1 Januari 2015 8:00 AM

Jemaah umrah mendengar penerangan Ustaz Bakthier ketika melawat Bukit Uhud, Madinah.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Diundang sebagai tetamu Allah begitu besar ertinya dalam kehidupan setiap insan. Tanpa jemputan daripada Maha Esa, wang bertimbun, kesihatan memuaskan dan masa mencukupi tidak mampu menjadi tiket kepada kita untuk berkunjung ke Baitullah.

Bagi saya, jika tiada jemputan maka tiadalah rezeki kita untuk ke sana. Namun, kita disarankan agar memasang niat, berusaha, berdoa dan bertawakal agar dipilih sebagai tetamu-Nya. Jika terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum kaki melangkah ke Tanah Suci tetapi Allah mengundang kita, segala halangan pasti dapat ditempuhi.

Pengalaman kali pertama bertindak sebagai petugas jemaah umrah, meninggalkan pengertian abadi dalam diri mengenai hakikat dipilih sebagai tetamu Allah kerana kisah yang bakal dipaparkan ini berlaku di depan mata saya.

Segala persiapan untuk berangkat ke Tanah Suci diatur rapi. Dengan kumpulan jemaah tidak sampai 30 orang, saya dan rombongan jemaah berkumpul di kaunter K di paras lima, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 7.30 pagi kerana pesawat Gulf Air dijadualkan berlepas pada jam 10.30 pagi.

Alhamdulillah, setelah segala urusan daftar masuk selesai, jemaah mendengar taklimat keberangkatan daripada pihak pengurusan agensi pelancongan. Wajah setiap jemaah nampak ceria.

Ahli keluarga yang menghantar mengucapkan selamat berangkat dan saling bersalaman serta berpelukan.

Pada kira-kira jam 9 pagi, semua jemaah memasuki Balai Berlepas Antarabangsa untuk urusan imigresen dan pemeriksaan bagasi bimbit, seterusnya mengambil Aerotrain untuk menuju ke pintu masuk dan balai pelepasan sebelum menaiki pesawat.

Setelah pengumuman di balai pelepasan dibuat, jemaah beratur memasuki pesawat Gulf Air. Saya dan Ustaz Bakhtiar Effandy Mohamad yang bertindak sebagai  ketua rombongan antara jemaah terakhir memasuki ke dalam pesawat, selain tiga sekeluarga dari Johor.

Tiga jemaah itu adalah sepasang suami isteri, Ustaz Khudzari dan isteri, Hajizah serta seorang anak lelaki mereka, Zalfan; berusia 33 tahun. Mereka antara jemaah dalam rombongan saya. Saya lihat Zalfan kelam kabut dan wajahnya kelihatan begitu cemas.

Ustaz Khudzari dan isteri ada di sisi. Saya kehairanan melihat reaksi Zalfan dan suaranya bergetar bercakap dengan emaknya sambil tangannya menyelongkar beg bimbit yang dibawa.

“Tak de. Orang dah cari memang tak jumpa. Tadi memang orang pegang tapi entahlah sekarang ni dah tak ada pula…” ujar Zalfan penuh kekalutan.

"Kenapa ye Ustaz. Apa yang hilang?,” soal saya kepada bapa Zalfan.

“Pasport…Entah mana dia letak pasport,” balas Ustaz Khudzari ringkas.

“Tadi di Imigresen awak ambil semula tak pasport tu?” tanya saya.

“Ye saya ingat saya ambil semula di Imigresen tapi saya terlupa letak di mana selepas itu,” balas Zalfan lagi.

Saya, Ustaz Bakhtier dan kedua-dua ibu bapanya menasihatkan Zalfan agar terus mencari di dalam beg bimbitnya dan tidak panik. Namun, hampa! Puas Zalfan gelidah begnya tetapi tidak bertemu pasport itu.

Penyelia pesawat Gulf Air datang menghampiri kami dan bertanya masalah dihadapi dan saya maklumkan bahawa pasport jemaah tiada dan mungkin tercicir. Hampir jam 10.30 pagi.

Semua penumpang sudah memasuki pesawat kecuali kami berlima. Penyelia itu menasihatkan kami supaya masuk ke dalam pesawat dan memberi jaminan kepada keluarga Zalfan bahawa pasport itu akan dicari.

Zalfan menangis memeluk emaknya memohon doa agar dapat bertemu semula pasport yang tercicir. Bapanya menundukkan pandangan menahan sebak.

Air mata saya turut mengalir melihat kesedihan itu dan hanya menasihatkan Zalfan agar perbanyak Istighfar.

Kami meninggalkan Zalfan yang jelas hampa. Ibu bapanya kelihatan hiba namun apakan daya, sudah ditentukan anak mereka tidak berpeluang bersama-sama kami untuk menunaikan umrah. Sejurus memasang tali pinggang keledar, pesawat pun mula berlegar di landasan.

Saya teringatkan Zalfan. Kasihan. Namun, tiada siapa yang dapat membantu kecuali dengan izin Allah. Saya melamun sehingga isyarat tali pinggang kaledar dipadamkan.

Bermacam-macam bermain di minda. Saya lantas mendapatkan Ustaz Khudzari dan isteri yang duduk tidak begitu jauh daripada saya.

“Hajah, Alhamdulillah pasport anak saya dah jumpa semula. Kita masih di landasan tadi, dia hubungi saya dan maklumkan pasport dah jumpa di tempat mesin skan bagasi,” ucap Ustaz Khudzari penuh kesyukuran sejurus terlihat saya.

“Alhamdulillah dah jumpa. Sekurang-kurangnya pasport tak hilang. Tapi kasihan Zalfan sebab tak berpeluang bersama-sama ustaz dan emaknya ke Tanah Suci,” balas saya.

“Sebab itu kita sebut tetamu Allah apabila berpeluang ke Tanah Suci. Jika kita tidak diundang, kita belum dipilih sebagai tetamu-Nya lagi. Kita kena ingat hajah. Jika tidak dipilih, jika Allah tidak panggil kita ke rumah Dia, maknanya kita belum dijemput walau hampir masuk ke perut kapal terbang.

"Saya selalu mengajar.  Apa yang berlaku hari ini akan saya selitkan juga dalam pengajian saya nanti,” balas beliau tersenyum.

Allah Maha Besar. Walaupun pesawat masih berlegar di landasan KLIA tetapi Zalfan tidak dibenarkan untuk mengikuti penerbangan itu. Saya diam seketika. Sekadar mendengar dan memandang wajah Ustaz Khudzari dan isteri yang begitu tenang menerima ketentuan Allah.

Mereka mahu membawa Zalfan yang belum pernah ke Tanah Suci dan berhasrat membimbingnya tetapi Allah lebih Mengetahui. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan Allah juga menetapkan segala-galanya.

Zalfan Tunai Umrah

Kami transit di Bahrain untuk tiga jam. Ibu bapa Zalfan menghampiri saya dan bertanya: “Boleh hajah telefon pejabat untuk saya ketahui perkembangan anak saya? Bila dia pergi dan perlu tambah wang lagi atau tidak?” pinta Ustaz Khudzari.

“Baiklah ustaz. Sekejap lagi saya maklumkan,” balas saya ringkas.

Sejurus itu saya menghubungi pejabat di Kuala Lumpur dan bertanya mengenai perkembangan Zalfan. Setelah mendengar penjelasan daripada ketua di pejabat saya terus mendapatkan Ustaz Khudzari dan isterinya.

“Ustaz, Alhamdulillah anak ustaz akan berangkat ke Makkah sebulan lagi dan tidak perlu tambah wang jika pergi sebulan lagi tetapi jika hendak pergi tiga hari lagi, kena tambah wang. Anak-anak ustaz yang lain sependapat agar adik mereka pergi sebulan lagi,” ujar saya.

“Terima kasih ya Hajah. Alhamdulillah. InsyaAllah anak saya pergi nanti. Sama-sama kita doakan,” balas Ustaz Khudzari tersenyum puas.

Jemaah lain turut bertanya perkembangan Zalfan. Mereka begitu prihatin dan simpati. Saya maklumkan kepada mereka bahawa Zalfan akan mengerjakan umrah sebulan lagi jika diizinkan Allah.

Ibu bapanya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Terpancar kegembiraan dan kelegaan pada raut wajah mereka.  Jemaah lain turut bersyukur dan berpendapat semua itu ada hikmah.

Ketika transit, jemaah dikejutkan pula dengan pengumuman kelewatan penerbangan ke Jeddah kerana alat penghawa dingin pesawat rosak. Terpaksalah semua jemaah yang bakal berlepas ke Jeddah menunggu lama di Lapangan Terbang Manama tiga jam lagi.

Semua itu ujian dan setiap jemaah dinasihatkan bersabar dan berfikiran positif. Alhamdulillah, semuanya kelihatan ‘cool’ sehinggalah penerbangan ke Jeddah diumumkan.

Perjalanan kumpulan kami selepas itu lancar dan seperti dirancang. Setelah memasuki Madinah selama tiga hari dua malam di samping berziarah ke lokasi bersejarah, kami berlepas pula ke Makkah untuk menyempurnakan umrah.

Tazkirah Ustaz Bakhtier menjadi halwa telinga jemaah selain majlis makan malam nasi mandy kambing pada hari terakhir sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Sesungguhnya, perkataan atau panggilan sebagai tetamu Allah itu amat tepat sekali.  Biarpun segala usaha dan keinginan untuk ke Tanah Suci membuak-buak tetapi jika belum diundang, kaki tidak mampu menginjak ke bumi penuh keberkatan.

Tags / Kata Kunci: Tanah Suci , tetamu , Baitullah , pasport

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan