Yang Benar-Benar Menang Ialah Ultras-Malaya & Seluruh Penyokong Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2014 1:38 PM

(Ubah saiz teks)

YA kita semua sudah sedia maklum, pasukan kita Harimau Malaya tumpas di laman sendiri di tangan juara 2008 Vietnam dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki pada malam Ahad.

Penulis turut berada di dalam Stadium Shah Alam seawal jam 5 petang. Datang dalam keadaan hujan dan pulang pun dalam keadaan yang sama. 

Untuk sekian lamanya, kita tidak pernah menyaksikan penonton dan penyokong Malaysia begitu setia bukan sahaja menyorak dan menyokong pasukan kebangsaan kita tetapi tetap setia menanti dalam hujan lebat pada saat perlawanan hanya tinggal 15 minit sahaja lagi untuk tamat dan pasukan kita ketinggalan 1-2. 

Rujukan secara spesifik harus ditujukan kepada kumpulan Ultras-Malaya. Mereka tidak berganjak dari tempat duduk di penjuru kiri stadium. Mereka menyanyi dan berdansa secara berirama.

Nyanyian dan tarian mereka mendorong seluruh stadium bergema. Mereka menentukan rentak gamat stadium sepanjang perlawanan itu - dari mula hingga ke wisel penamat. 

Mereka tidak mempedulikan hujan yang semakin lebat mencurah membasahi bumi. Mereka tetap menyanyi dan terus menyanyi dengan harapan ia akan menaikkan semangat penonton yang lain dan dengan harapan pasukan kita dapat menyamakan kedudukan dan bertandang ke Hanoi Khamis ini dengan sedikit harapan di tangan.

Kasihan sungguh, harapan mereka berkecai. Tetapi mereka harus dipuji kerana semangat mereka tidak berkecai. Tidak sepertimana pemain-pemain kita. Pendek kata, tanpa Ultras-Malaya dan para penyokong Malaysia yang lain, suasana di dalam stadium itu tidak akan sama.

Pemain-pemain kita pada sepanjang masa kelihatan seperti keletihan dan tidak bermaya. Dua orang penyerang utama negara iaitu Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha seperti harimau yang kehilangan taring.

Malah Norshahrul atau Mat Yo langsung tidak menyerlah dalam posisinya sebagai pemain nombor 9. Para penonton boleh mengira dengan jari berapa kali dia berpeluang melepaskan rembatan ke arah pintu gol lawan.

Safee (tengah) gagal menjaringkan sebarang gol pada aksi tersebut.


Tak perlulah penulis senaraikan di sini luahan kata-kata kecewa mereka terhadapnya. Pedihnya tak terkata.Kedua-dua belah sayap pasukan kebangsaan juga tidak bermaya untuk membuat hantaran-hantaran silang ke arah dua penyerang negara kita. 

Pada kebanyakan masa, mereka tidak dapat meluru membawa bola ke sisi kiri atau kanan kawasan lawan. Sebagai pemain sayap, pergerakan mereka sangat perlahan.

Oleh kerana mereka tidak pantas, mereka gagal berfungsi sebagai 'feeder'.Bagaimana hendak menjaringkan gol jika mereka tidak mengumpan bola ke kaki penyerang.

Tetapi dalam situasi di mana umpanan tidak begitu menyerlah, apabila peluang keemasan timbul, Safee dan MatYo pula gagal mengawal bola dan membuat penyudahan di pintu gol. 
Mat Yo gagal menyerlah.


Yang menyerlah dan bermain dengan cemerlang dalam perlawanan itu ialah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat atau Apek. Dua gol yang membolosinya bukanlah salah atau akibat kesilapannya.

Malah gol pertama Vietnam diperolehi hasil rembatan kencang bola yang terlebih dahulu berjaya ditampan Apek. Gol kedua Vietnam muncul hasil daripada serangan balas lawan. Ia adalah kesilapan barisan pertahanan menghalang dan mengawal pergerakan penyerang Vietnam. 

Selain daripada itu, dia telah menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya pemain Vietnam.Jika tidak kerana hasil gol penanti di awal perlawanan dan kepantasan Apek, mungkin kita akan tewas 3-0 atau 4-0. 

Barisan pertahanan kita memang hancur khususnya permainan Mahalli Jasuli yang sering melepaskan bola kepada lawan dan lambat berfikir pantas ke arah siapakah dia harus melorongkan bola.

Jika tidak kerana saiz badannya yang besar itu, kehadirannya di atas padang tidak akan dirasai langsung.

Sebaliknya yang benar-benar dirasai dan menjadikan perlawanan pada malam itu bermaya ialah para penyokong Malaysia dan Ultras-Malaya yang berjumlah keseluruhannya 65,000 orang.

Jika tidak kerana kalian, maka sia-sialah kita semua berbasah kuyup bertandang ke Stadium Shah Alam. 

Tags / Kata Kunci: Harimau Malaya , Ultras Malaya , Malaysia

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan