Lebih Mudah Dapat Telefon Bimbit Daripada Tandas Bersih

Diterbitkan: Isnin, 24 November 2014 7:48 PM

(Ubah saiz teks)

19 NOVEMBER adalah Hari Tandas Sedunia. Sama ada ramai di kalangan kita terlepas pandang atau tidak menyedari atau langsung tidak mengetahui mengenainya.

Soalnya ada sesiapa kisah? Hari tersebut diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menggalakkan orang-ramai berbincang mengenai tandas atau istilah kasarnya ‘jamban’.

Apa yang istimewa sangat dan sepatutnya dikagumkan dengan hari seumpama ini?

Apa yang kita tidak tahu mengenai tandas? Apa yang yang perlu dibincang lagi mengenainya?

Umumnya, ia merupakan sebuah bilik kecil atau kurungan di mana kita menyingkirkan bahan buangan badan; iaitu air kecil dan air besar. Masih ada di negara kita tandas curah tapi kebanyakan menggunakan sistem pam (flush) di mana air membawa kumbahan ke dalam saluran pembentungan.

Di kebanyakan kediaman, termasuk di hotel atau rumah penginapan, bilik air atau bilik mandi juga merangkumi kemudahan tandas.

Hari ini, ramai menggunakan istilah Inggerisnya, iaitu ‘toilet’. Juga, kerana tidak mahu memberi kepadanya suatu imej yang tidak enak dan setelah menambahkan ciri-ciri dan perhiasan menarik, beberapa tempat dan kediaman mewah menyebutnya sebagai bilik membasuh (washroom) bilik rehat (rest room) atau bilik solek (powder room).

TAK SUKA BINCANG

Sememangnya, kita sering mendengar keluhan pasal tandas kotor; sama ada di stesen minyak, di kedai makan, di stesen bas, malah, juga di tempat-tempat yang sepatutnya bersih setiap masa, seperti hospital, sekolah, pejabat kerajaan dan masjid.

Kenapa perbincangan mengenai tandas tidak digemari seperti perbualan umpamanya, kenaikan harga minyak dan kos barangan harian atau gosip selebriti dan politik semasa? Mungkin, apabila kita nak becakap pasal tandas kita mahu tidak mahu terpaksa mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar seperti ‘tahi’ atau ‘air kencing’ selain menceritakan mengenai baunya yang busuk dan keadannya yang semulajadi kotor.

Bagi PBB, itulah tujuan mengadakan hari ‘istimewa’ untuk tandas kerana ia menggalakkan orang-ramai turut berbincang secara terbuka isu-isu yang berkaitan, terutama masalah kebersihan dan kesihatan persekitarannya.

Tidak dapat dinafikan tandas kotor membawa kemudaratan kepada kesihatan awam dan keadaan ini amat bahaya kerana berpotensi membawa kepada pelbagai penyakit yang mudah merebak.PBB melaporkan pada tahun lepas sahaja, 1,000 orang kanak-kanak meninggal setiap hari kerana penyakit cirit-birit yang berpunca daripada kekotoran persekitaran disebabkan tiada tandas yang sempurna di kawasan mereka tinggal.

Sebagai usaha menangani situasi ini di Malaysia, kerajaan pusat dilaporkan akan mengambilalih pembersihan tandas awam pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai 2016.

Menurut Mentri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pihaknya akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM5 juta setiap tahun untuk menaik taraf atau membina tandas baru di PBT seluruh negara.

Di samping itu, pada tahun ini, sebanyak RM26.5 juta diagihkan kepada PBT bagi memperbaiki dan membaik pulih tandas awam di seluruh negara menerusi program My Beautiful Malaysia  (Malaysiaku Yang Indah).

Bagaimana pun, menurut Abdul Rahman, pada keseluruhannya tandas kita masih kotor, menjijikkan dan banyak yang tidak selamat digunakan. Sinki yang bocor, mangkuk tandas yang pecah dan pintu tandas yang tidak boleh dikunci adalah antara mimpi ngeri gambaran tandas di negara ini.

"Vandalisme tandas awam begitu berleluasa, iaitu tandas dengan sengaja dikotorkan, peralatannya dicuri, dinding diconteng dan pintu dipecahkan,” kata menteri itu.

Sudah tentu, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan imej dan nama baik negara di kalangan para pelancong tetapi juga ia tidak baik untuk kesihatan dan keselesaan kita sendiri.Penulis jarang mendengar mengenai pemberian dana atau peruntukan kerajaan untuk tandas.

Yang kita selalu dengar ialah pemberian wang bagi mendapatkan air bersih untuk diminum, untuk membasuh dan untuk rawatan. Sesungguhnya, kesungguhan kerajaan pusat untuk mengubah imej tandas awam di negara kita wajar dialu-alukan dan diberi sokongan yang kuat.

Maka, soalannya, apa pula peranan orang awam, selain tidak mengotor atau merosakkan harta benda awam khususnya di tandas-tandas ini?

INGIN YANG BERSIH

Kita, kononnya, amat prihatin mengenai kebersihan. Kita tidak mahu makan daripada pinggan yang kotor dan kita tidak akan minum dari gelas atau cawan yang tersentuh lalat atau lipas.

Kenapa? Kerana kita mengesyaki makhluk perosak tersebut mungkin telah terlebih dulu hinggap kepada sampah sarap atau sisa pembuangan manusia dan haiwan.

Anehnya manusia, bila menjamu selera di kedai makan atau restoran, dia tidak bertanya keadaan kebersihan tukang masak atau pelayan yang merupakan orang asing baginya. Dalam kekecohan baru-baru ini pasal isu sentuh anjing, sudah tentu mereka yang membiarkan haiwan itu menjilat muka mereka akan merasa jijik andainya ternampak anjing itu meminum dari mangkuk tandas.

Kita tidak akan fikir mengenai perkara-perkara ini kecuali diperingatkan…sepertimana penulis (minta maaf) kini sedang mengingatkan pembaca.

TUKAR ANJAKAN MINDA

Pada hemat penulis, kita hendaklah mempunyai suatu anjakan minda bahawa isu tandas ini bukanlah suatu isu yang kotor tapi, sebaliknya, ia melibatkan soal kesihatan dan harus diberi perhatian yang sewajarnya. Pendek kata, ia adalah tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan tandas awam.

Di Jepun misalnya, tandas-tandas awam mereka dijagai kebersihannya seperti tempat-tempat beribadah, hingga pengunjung boleh berbaring di atas lantainya; jika benar-benar ingin berbuat demikian.

Maka, penulis syorkan agar tandas bersih dijadikan seperti suatu “simbol status” yang ramai orang ingin memiliki; seperti mengidam sebuah kereta mewah atau telefon pintar.

Jadikan ia suatu tajuk yang seronok untuk dibahas atau dibincangkan di kalangan orang ramai; di antaranya, muda-mudi di sekolah dan universiti, warga kanan, ketua korporat dan pemimpin syarikat, golongan pekerja dan golongan ilmuwan.

Mungkin anjakan paradigma ini boleh bermula dari forum atau seminar, seperti dianjurkan oleh PBB,  atau pun di bilik darjah untuk menyemaikan rasa taggungjawab terhadap pengggunaan tandas di kalangan murid-murid sekolah.

Hari Tandas Sedunia, pada dasarnya, ialah untuk memberi kesedaran kepada keadaan kritikal yang dihadapi lebih 2.5 bilion insan dunia yang tidak mempunyai akses kepada tandas yang sempurna, sama ada di rumah mahupun di kawasan awam.

Di Asia Tenggara, di mana negara kita terletak, kira-kira 179 juta orang tidak berupaya mendapat tandas yang sempurna, mengikut laporan PBB.

Mungkin lebih mudah bagi penduduk dunia hari ini mendapatkan akses kepada telefon bimbit daripada tandas yang bersih.

Tags / Kata Kunci: PBB , Tandas Awam , PBT

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan