Jurang Pendapatan Bah.2

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 5:32 PM

(Ubah saiz teks)

ADA yang bertanya apakah penyelesaian terhadap masalah jurang pendapatan ini. Tidak ada solusi yang 'straightforward'. Raja Nazrin juga berkata masalah ini bukan seperti migrain yang boleh disembuhkan dengan panadol, sebaliknya ini adalah kanser yang memerlukan pelbagai peringkat rawatan.

Dalam konteks jurang pendapatan, kerajaan boleh tangani melalui undang-undang dan dasar ekonomi. Tetapi undang-undang ada hadnya. Pengenalan cukai baru jika terlalu ekstrem ala sosialis hanya akan mengakibatkan kurangnya inisiatif orang ramai untuk menjadi kaya dan berjaya.

Tetapi ini tidak bermakna golongan ini tidak boleh dikenakan cukai baru, apatah lagi melarikan diri dari membayar cukai melalui 'creative accounting'.

Pada masa yang sama, orang ramai juga perlu meningkatkan skil, pengetahuan dan keupayaan diri untuk meningkatkan produktiviti sekaligus menjadi golongan berpendapatan tinggi.

ROMBAK SISTEM CUKAI MALAYSIA

Masalah jurang pendapatan (income disparity) adalah satu perkara yang dialami di mana-mana negara. Ini termasuklah negara kita yang mana turut mempunyai jurang pendapatan yang semakin melebar. Jurang ini meliputi di antara kaum, di dalam kaum dan di antara bandar dan juga di luar bandar.

Ada banyak cara untuk mengurangkan jurang ini dan salah satunya adalah dengan melalui cukai.

Cukai yang progresif adalah cukai yang dikenakan lebih kepada golongan kaya dan super kaya. Tetapi kadar ini perlulah berpatutan supaya ia tidak terus membunuh minat usahawan untuk berniaga yang  akhirnya akan merugikan kerajaan sendiri.

Tetapi mengenakan cukai yang amat rendah atau tidak mengenakan cukai langsung hanya mengakibatkan ketegangan di antara yang kaya dan kurang kaya di mana ia juga akan merugikan negara.

Bagaimana keadaannya sistem cukai di Malaysia? Adakah kita mengenakan cukai yang berpatutan kepada golongan kaya raya dan super kaya? Adakah pengenalan GST sudah menjadikan sistem cukai kita progresif?

Rombakan cukai di negara-negara OECD yakni negara maju dan membangun sejak 30 tahun yang lepas telah menyaksikan kadar cukai pendapatan individu yang kaya telah diturunkan daripada kadar 66% pada tahun 1981 kepada 43% pada tahun lepas.

Tetapi ini adalah purata bagi negara-negara OECD. Hakikatnya di Malaysia, kadar cukai pendapatan Malaysia tidak pernah setinggi itu malah jauh lebih rendah lagi bagi golongan super kaya. Golongan ini sebenarnya telah membayar peratusan cukai yang paling rendah jika dinisbahkan kepada golongan pendapatan yang lain.

Sebagai contoh di negara-negara OECD, purata cukai bagi pendapatan yang diperolehi melalui dividen adalah sebanyak 42%. Jumlah ini asalnya adalah 75% sebelum dikurangkan menjadi 42%. Di Malaysia? Kadarnya adalah 0%.

Di negara-negara yang mempunyai 'Inheritance Tax' atau ‘cukai warisan’, sebarang pewarisan harta akan dikenakan cukai. Baru-baru ini pewaris syarikat Samsung dikenakan cukai sebanyak AS$6 bilion melalui 'Inheritance Tax'. Ini di Korea Selatan. Bagaimana halnya di Malaysia? Apakah firma-firma gergasi milik keluarga yang mewariskan empayar perniagaan mereka dikenakan sebarang cukai warisan?

Ini tidak dikira lagi dengan ketiadaan 'Capital Gains Tax' yang sememangnya membantu mengkayakan lagi golongan kaya raya.

Memang benar mereka ini sudah dikenakan cukai sebanyak 28% melalui cukai perniagaan tetapi di zaman sekarang tidak semua mereka yang kaya raya menjadi kaya melalui perniagaan.

Ada di antara mereka yang menambahkan kekayaan melalui pelaburan unit amanah, pembelian saham, derivatif, dan sebagainya. Oleh yang demikian individu yang kaya raya ini tidak akan membayar cukai hasil pendapatan mahupun cukai perniagaan melalui hasil daripada sumber-sumber tersebut.

Ini ditambah pula dengan kebanyakan perniagaan sekarang yang menikmati pelbagai manfaat melalui dasar subsidi kerajaan. Elektrik murah, petrol murah, lesen murah, akses kepada pinjaman faedah rendah yang mana kesemua ini menyebabkan kos operasi kerajaan semakin tinggi. Tidakkah wajar mereka ini dikenakan cukai 'baru' atau dinaikkan kadarnya?

Jika dahulu kos kerajaan tidak begitu tinggi dan agenda kerajaan adalah untuk mewujudkan seberapa banyak peluang pekerjaan. Untuk itu kadar cukai perniagaan diturunkan supaya pelaburan asing masuk.

Namun sekarang keadaan telah berubah. Malaysia tidak boleh menarik pelaburan hanya dengan menyediakan kadar cukai yang rendah atau 'tax free'. Sebaliknya ciri-ciri seperti kestabilan negara, kepelbagaiaan masyarakat, negara yang bebas bencana perlulah 'dijual' kepada pelabur.

Jika kerajaan boleh merasionalisasi subsidi, mengapa sistem cukai Malaysia tidak boleh dirombak?

Jika GST boleh dikenakan kepada golongan yang kaya, tidak kaya dan miskin secara pukul rata kerana mahu menambahkan pendapatan kerajaan, mengapa golongan kaya dan super kaya tidak dikenakan cukai tambahan?

JURANG YANG SEMAKIN MELEBAR

Hakikatnya disebabkan kekurangan cukai di kalangan golongan inilah menjadikan jumlah kekayaan 10 orang terkaya Malaysia lebih tinggi daripada 10 orang terkaya di Singapura, Bukankah ini membuktikan Malaysia begitu bermurah hati kepada golongan ini?

Ini bukan soal hasad dengki akan kekayaan mereka. Ini juga bukan bertujuan untuk menghasut golongan pendapatan rendah ataupun jauh sekali ingin menjual idea sosialis atau komunis.

Sebaliknya ini soal kita telah meletakkan keutamaan yang salah di dalam sistem cukai negara kita. Sudah tiba masanya golongan ini juga turut merasai beban. Apa yang dicadangkan bukanlah perkara yang radikal seperti merampas harta ala komunis.

Yang dicadangkan hanyalah dengan memperkenalkan beberapa cukai baru seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakan negara lain di dunia.

Jurang pendapatan yang semakin melebar akan mengeruhkan keadaan sosial di Malaysia. Cukai adalah salah satu bentuk campur tangan kerajaan untuk memastikan jurang ini tidak semakin melebar.

Cukai warisan dan 'cukai Capital Gains' adalah antara cukai yang boleh dipertimbangkan. Jika kerajaan boleh berkata, antara rasional pengenalan cukai GST adalah kerana 162 negara hatta negara Burkina Faso telah memperkenalkan cukai tersebut, mengapa tidak cukai warisan dan cukai Capital Gains?

Hakikatnya Burkina Faso juga mempunyai cukai warisan dan 'cukai Capital Gains'.




Tags / Kata Kunci: Mat Rodi , jurang pendapatan

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan