Kata Akal, Seronok Sentuh Anjing

Diterbitkan: Rabu, 22 Oktober 2014 9:36 PM

(Ubah saiz teks)

KITA semua pernah melihat senario ini – seekor anjing mengibaskan ekornya, memandang dengan penuh harapan dan kasih sayang ke wajah tuannya, lalu menjilat mukanya.


Tuan punya anjing pula memeluk binatang peliharaannya dan juga mencium haiwan itu di kepala, muka dan mana-mana bahagian yang sempat ketika itu.

Lebih-lebih lagi jika ia anak anjing, yang kelihatan comel dan gebu; kanak-kanak pun tak dapat menahan 'geram' untuk memeluk dan menciumnya.

Walaupun sering melihat gelagat 'persahabatan' seperti ini di antara manusia dan anjing di kalangan orang Barat dan bukan Islam, tidak pernah melintas di minda penulis suatu acara boleh diadakan khas bagi menggalakkan orang Islam menyentuh haiwan ini.

TIGA TUJUAN SAJA

Islam, mengkut ramai alim ulama yang memetik nas-nas dari al-Quran dan Hadith, memaktubkan anjing boleh dipelihara untuk tiga tujuan sahaja dan, itu pun, setelah memberinya latihan yang cukup.

Tujuan-tujuan itu ialah memburu, menjaga harta benda atau kebun dan membantu dalam tugasan menjejaki penjenayah, seperti mengesan dadah dan bahan letupan.

Maka, tidak hairan acara “I Want To Touch A Dog” yang diadakan di Petaling Jaya pada 19 Oktober untuk menggalakkan orang ramai menyayangi anjing telah mengundang reaksi marah dan rasa tidak senang di kalangan ulama dan masyarakat Islam umumnya.

Penulis juga rasa keliru bila melihat beberapa gambar yang dipetik dari acara itu, termasuk foto seorang Muslimah bertudung yang membiarkan seekor anjing menjilat mukanya.

Menurut media yang membuat liputan, hampir separuh di kalangan lebih 800 orang yang menyertai acara tersebut ialah orang Islam; yang turut membawa anak kecil mereka. Di antara pengunjung ialah wanita-wanita berpurdah.

Mereka kelihatan seronok bermesra-mesraan dengan beraneka jenis anjing, termasuk jenis chow-chow, husky, German Shepherd dan poodle.

Ulama menyatakan keadaan sedemikian adalah ekoran dari fenomena di kalangan umat Islam yang lebih menjadikan akal fikiran dari hukum Allah sebagai panduan hidup mereka.

Dikhabarkan pihak pengelola majlis memberi demonstrasi mengenai cara membersihkan diri selepas menyentuh anjing, iaitu melalui sertu dan samak.

Namun, soalan yang timbul ialah: adakah demonstrasi ini sekadar untuk “menghalalkan” saja majlis itu?

Juga dipersoalkan, apakah tujuan utama mengadakan acara itu? Adakah ia semata-mata untuk melenyapkan syak wasangka dan prejudis orang Islam terhadap anjing peliharaan?

USTAZ MOHON MAAF

Seorang ustaz yang terlibat secara langsung di dalam program tersebut mendakwa dia telah diperdaya oleh pihak penganjur, yang meminta dia hadir untuk menyampaikan mesej Islam kepada pengunjung, samada yang Muslim atau pun bukan Muslim.

Dalam kenyataan memohon maaf ke atas kesilapannya selepas kontroversi itu cetus di media perdana dan media sosial, ustaz itu berkata: “Saya menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum–hakam menurut mazhab Syafi’e, seperti yang terdapat dalam fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan aksi peluk cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta-peserta program.

“Saya juga jelas menerangkan, tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu.”

Diharapkan pengalaman ustaz berkenaan mematangkan lagi dirinya dalam liku-liku perjuangan dakwah.

Kita tahu anjing, tak kira jenis apa, punyai tabiat suka menjamah cebis-cebis atau sisa-sisa makanan yang dijumpainya di jalanan atau di luar rumah di mana ia tinggal.

Bagaimana jika apa yang dilihatnya sebagai makanan, sebenarnya ialah najis? Maka, seluruh ahli keluarga dan isirumah yang bermanja-manjaan dengan haiwan peliharaan mereka akan dijangkiti penyakit yang tidak disangka, sama juga seperti mentelaah makanan yang beracun.

Maka, inilah di antara sebab-sebabnya Islam mencegah pemeliharaan anjing di rumah untuk maksud beriadah atau hobi.

TIDAK BERSIH ATAU SIHAT

Dari kaca mata penulis, tanpa merujuk ke mana-mana hukum-hakam pun, mencium anjing dan membiarkan ia menjilat muka kita adalah suatu amalan yang tidak bersih dan tidak sihat.

Air liur anjing diketahui membawa penyakit dan bebulunya juga punyai kuman-kuman halus yang boleh memudaratkan sesiapa yang mendekati haiwan itu.

Penganjur acara menggalakkan orang ramai menyentuh anjing itu mungkin telah mengabaikan fakta yang penting ini semata-mata hendak membuktikan haiwan ini mesra Islam.

Saya pernah membaca sebuah rencana majalah yang menyebut tentang suatu kajian di Jepun mengenai hubungan akrab di antara manusia dan anjing.

Kesimpulan kajian itu ialah, bacteria pada cecair mulut anjing boleh meresap ke dalam badan yang dijilat oleh haiwan itu.

Selain melemahkan tisu-tisu geraham, pada jangka panjang ia boleh juga membawa kepada penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jantung, buah pinggang dan kencing manis.

Jika nas-nas dari Al Quran dan Hadith tidak meyakinkan mereka yang menyertai pesta sentuh anjing itu, mungkin kajian saintifik seperti ini lebih tepat dan menginsafi mereka?

Tags / Kata Kunci: anjing , ulama , Jakim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan