Rasuah: Akar Umbinya Di Sekolah

Diterbitkan: Isnin, 6 Oktober 2014 4:53 PM

Pegawai polis mengiringi pegawai Kastam yang didakwa atas tuduhan rasuah tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada 29 Spetember lalu. Seramai lapan pegawai Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen KL terhadap 25 pertuduhan menerima rasuah.

(Ubah saiz teks)

KIRA-KIRA seramai 30 orang pegawai Kastam dilaporkan ditangkap kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

Ada yang sudah dihukum, ada yang menunggu untuk dihadapkan ke mahkamah dan ada kes yang masih disiasat.

Persoalannya, adakah jabatan ini akan menjadi lebih bersih dan segala unsur-unsur rasuah dilenyapkan setelah semua kes berjaya diselesaikan?

Seperkara lagi, adakah jabatan-jabatan lain akan turut berwaspada mengenai gejala rasuah ini dan berani bertindak untuk mendedahkan pegawai-pegawai yang korup di kalangan mereka?

Yang sangat-sangat diharapkan ialah mereka yang mulanya menawarkan dan memberi rasuah akan juga ditangkap dan dihukum.

Rasuah merupakan suatu perbuatan yang bersifat maut kerana ia membawa kepada kemusnahan yang berkekalan kepada hidup keluarga.

Bayangkan, bila seseorang yang dituduh kemudian dipenjarakan kerana makan suap, isteri dan anaknya akan merana sepanjang hayat sebab masyarakat akan menyisihkan mereka dan tiada siapa ingin membantu.

Rasuah juga membawa keaiban kepada pihak pemerintah, pentadbiran undang-undang dan penyelengaraan ekonomi negara.

Rasuah membuat orang lupa kepada nilai-nilai perikemanusiaan, keikhlasan dan amalan-amalan soleh yang dianjurkan oleh agama.

Malah, alim ulama juga tidak terkecuali bila rasuah menular.

Rasuah ibarat raksasa yang ganas dan tidak mempunyai keperihatinan atau rasa belas kasihan ke atas mangsa-mangsanya, tidak kira siapa.

Ia berlaku di siang hari, ia juga berlaku di sebelah malam; ia berlaku di sebalik pintu yang tutup, ia juga berlaku di luar bilik dan secara terbuka.

PINTAS DARI BAWAH

Penulis berpendapat bahawa penyelewengan dan rasuah lebih mudah dipintas dari peringkat bawahan; lebih baik dari bilik darjah.

Kita sering dengar pihak sekolah menganjurkan kempen mengutip derma dengan pemberian hadiah lumayan kepada kanak-kanak yang dapat mengumpul derma terbanyak.

Kita boleh buat andaian yang munasabah bahawa anak orang kaya, dengan menggunakan kabel mak bapanya, berupaya mendapat sumbangan ratusan ringgit untuk memenangi hadiah yang sekolahnya tawarkan.

Murid di kalangan golongan miskin agak susah mengumpul wang begitu banyak, dan ini akan mendorongkan mereka mencari muslihat untuk menambahkan dana.

Misalnya, mereka akan mencuri wang daripada ibubapa atau memeras ugut budak-budak lemah untuk mendapat wang.

Ataupun, mereka akan ponteng sekolah dan membuat kerja sampingan, seperti mencuci kereta untuk mendapat upah.

Dalam kedua-dua keadaan, kita dapat melihat  pentadbiran sekolah sudah mula menyemaikan sifat tamak haloba ke dalam sanubari pelajar-pelajar muda mereka.

Pihak persatuan guru-ibubapa dan masyarakat setempat juga bertanggung jawab kerana bersubahat serta menggalakkan salahlaku di kalangan murid.

Sudah tentu, di sinilah lahirnya cinta kepada rasuah.

Amat mengeciwakan jika kita cuba menafikan perkara paling asas ini.

Kaum remaja pula, terutama di kalangan penuntut maktab dan universiti, berminat membuat protest.

Namun, penulis menganggap kaedah yang di gunakan tidak tepat, kerana mereka selalu membuat andaian bahawa rasuah berlaku hanya di dalam kerajaan dan di dalam parti kerajaan yang tertentu.

Maka, protest mereka tidak memberi kesan kerana pihak yang menjadi sasaran juga akan mendedahkan ahli dan aktivis politik yang lebih korup dikalangan penaja-penaja protest itu.

Yang jelas, tiada aktiviti yang bebas daripada gejala rasuah; samada di bidang sosial, pendidikan, economi, malah, juga di bidang kehakiman dan keagamaan.

Ini suatu lagi hakikat – samada suka atau tidak – yang mesti kita terima jika bersungguh-sungguh ingin melenyapkan rasuah secara muktamad.

MENJADI MANGSA NODAAN

Sememangnya, manusia berdepan dengan pelbagai nodaan.

Wang, barang kemas, malah, wanita juga menjadi umpan bagi pegawai tinggi dan politikus yang tidak bersegan silu untuk menerima imbuhan-imbuhan seperti ini.

Mereka tak berupaya menahan tangan mereka yang selalu gatal untuk mencapai sesuatu yang menguntungkan.

Godaan wang dan emas menjadi  sebahagian pekung yang ada pada mereka.

Lebih getik ialah sikap hipokrit yang menyertai sifat tamak haloba mereka.

Amat sedih bila seseorang yang korup, selepas mengambil rasuah, bercakap-cakap pula pasal isu moral, kemuliaan insan, dan ketakwaan kepada Allah.

Lagi jelek bila mereka menyuruh dan menyeru kita agar menjadi manusia yang jujur dan ikhlas, dengan mengambil contoh Nabi Muhammad s.a.w dan insan-insan lain yang turut mengajar mengenai kebaikan sesama insan, seperti pujangga tersohor Luqman Hakim, Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela.

Sikap hipokrit ini membuat penyelewengan mereka lebih tenat tapi pak menteri, ahli politik, ketua masyarakat dan pegawai besar yang sudah biasa dengan amalan buruk ini tidak menghirau akan risikonya.

ADAKAH IA RESAM HIDUP?

Mereka begitu yakin pihak perundangan tidak akan mengesan mereka.

Mereka tetap memegang kepada pendirian bahawa rasuah adalah resam hidup yang tidak dapat dielak; kononnya ia sebahagian daripada menjalankan tugas demi  mendapat pencapaian terbaik untuk jabatan atau pertubuhan mereka.

Mereka tidak melihatnya sebagai suatu penyakit yang bisa dan membinasakan diri.

Sungguh malang, terdapat ramai orang yang sudah menjadi penagih rasuah dan tindak tanduk mereka dituruti ahli keluarga dan anak buah di tempat mereka bekerja.

Sesungguhnya, negara perlu transformasi yang menyeluruh agar kemansuhan rasuah tidak sekadar menjadi impian dan janji-janji kosong.

Bermuafakat membawa berkat. Maka, setiap golongan masyarakat mesti membantu secara aktif untuk membina sebuah negara yang bebas daripada RASUAH.

Tags / Kata Kunci: Kastam , Rasuah , Saksama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan