Kerana Anak-anak Itu Istimewa

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mei 2014 5:13 PM

(Ubah saiz teks)

APRIL lepas merupakan Bulan Kesedaran Autisme.  Banyak pihak menyusun pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme. Saya sendiri menghadiri beberapa majlis di sekitar Lembah Kelang yang dianjurkan oleh beberapa NGO.

Media juga memainkan peranan mereka. Banyak artikel yang dicetak dan temuramah yang disiarkan oleh akhbar, TV dan radio.  Semua ini adalah perkembangan yang baik dan saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat.

Autisme ialah satu kondisi yang berlaku dalam suatu spektrum. Maksudnya, tahap keseriusan simptom ada yang rendah dan ada yang lebih ketara.  Autisme mungkin wujud sendirian dan boleh juga wujud dengan masalah lain seperti terencat akal dan kekejangan.

Tetapi autisme sebenarnya bukan satu kondisi yang jarang berlaku. Ia boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latarbelakang.

Mengenang kembali semasa saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Dato Arifin Mohd Nam di Perlis, saya rasa sebenarnya ada dua atau tiga orang rakan saya yang sebenarya autistik. Tetapi pada masa itu, pada awal hingga pertengahan 1980-an, tahap kesedaran mengenai autisme masih rendah.

Tambahan pula sekolah saya itu terletak di kawasan luar bandar - antara Kangar dan Padang Besar. Memang tidak peliklah jika guru-guru belum lagi mempunyai kemahiran yang cukup untuk mengenalpasti autisme.

Hari ini banyak telah berubah. Kesedaran ibu-bapa dan guru-guru semakin meningkat. Kerajaan juga telah menjalankan usaha mereka dan Seminar Antarabangsa Autisme di Putrajaya pada 22-23 April yang lalu merupakan satu titik penting.

Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang kini menjadi dasar utama Kementerian Pelajaran juga mempunyai satu bahagian mengenai pendidikan khas. Pelan tersebut menyatakan dengan jelas bahawa matlamat kerajaan ialah untuk mewujudkan sekolah yang inklusif.

Pelan itu juga memperakui Kenyataan Salamanca 1994 Mengenai Pendidikan Khas dengan mengatakan bahawa kanak-kanak berkeperluan khas mestilah mempunyai akses ke sekolah arus perdana dan sekolah arus perdana yang inklusif adalah mekanisme paling efektif untuk menghapuskan sikap negatif di kalangan masyarakat.

Di IDEAS, kami juga cuba memainkan peranan setakat yang termampu. Pada awal tahun 2012, dua orang rakan saya, Mustaqeem Mahmood Radhi dan Mohd Fakhri Noor Affandi, mengajak saya untuk minum teh tarik. Fakhri mempunyai seorang anak yang autistik. Dan dia amat bersemangat untuk menubuhkan “Pusat Asuhan dan Terapi Nouri” yang dinamakan sempena nama anaknya itu.

Kebetulan pula pada masa itu, kami di IDEAS memang sedang mencari cara untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah.

Perbualan kami di kedai mamak dekat Bangsar akhirnya melahirkan Pusat Autisme IDEAS (IDEAS Autism Centre – IAC) di Taman Bukit Templer, Rawang. Mustaqeem dan Fakhri merupakan dua orang penting dalam penubuhan IAC.

Bukan sahaja IAC merupakan idea mereka, mereka jugalah yang mencari premis untuk IAC, menguruskan ubah suai, mendapatkan kelulusan dan melantik pengetua kami iaitu Puan Sharifah Salleh.

Matlamat utama IAC ialah untuk memberikan intervensi awal yang holistik kepada anak-anak autistik dari keluarga dalam kumpulan “40 peratus terbawah” agar mereka dapat dipersediakan untuk memasuki sekolah rendah yang inklusif.

Untuk memasuki IAC, anak-anak itu mestilah berumur antara tiga hingga sembilan tahun dan kami memberi keutamaan kepada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah per kapita di bawah RM1,500 sebulan.

Anak-anak di IAC ini diberikan khidmat sokongan profesional, terapi pertuturan, terapi cara kerja dan pembelajaran yang menyediakan mereka untuk masuk ke sekolah rendah.  Semua ini berlaku di bawah satu bumbung agar ibu bapa tidak perlu lagi bersusah payah mencari bantuan di tempat lain. Alhamdulillah, walaupun usia kami baru setahun jagung, telah ada anak-anak yang diterima masuk ke sekolah rendah.

Kami kini mempunyai 20 orang pelajar dan kami ada ruang untuk 10 orang lagi.  Tahun ini juga kami akan cuba menjalankan latihan kepada ibu bapa. Sharifah sering mengingatkan saya bahawa jika ibu bapa tidak meneruskan sokongan kepada anak-anak di rumah, maka perkhidmatan yang diberikan oleh juruterapi kami akan mengambil masa yang lama untuk menjadi efektif. Jadi kami akan cuba melatih ibu-bapa menjadi “juruterapi” untuk anak-anak mereka.

Sebagai sebuah badan pengkaji polisi, kami juga mahu memberi input kepada pembuat dasar oleh kerajaan. Usaha menubuhkan dan menjalankan IAC telah memberi kami pengalaman secara langsung mengenai cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dan juga oleh badan-badan yang mahu menbantu anak-anak ini. Kerana itulah kami mengintegrasikan penjalanan IAC dalam kerja-kerja kajian dan advokasi polisi yang kami jalankan.

Pada peringkat awal, IDEAS menyuntik dana permulaan hampir RM400,000 untuk menubuhkan IAC.  Kemudian kami menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuklah daripada ECM Libra Foundation, A&A Charitable Trust dan Jephcott Charitable Trust.

Pada penutup 'Bulan Kesedaran Autisme 2014' kami menerima satu sumbangan besar daripada Yayasan Sime Darby (YSD) apabila mereka menjanjikan RM1.1 juta untuk operasi sepanjang 2014 dan 2015. Ini bermaksud kami hanya perlukan RM400,000 sahaja lagi bagi tempoh waktu yang sama untuk memastikan kesinambungan IAC.

Semasa majlis penyerahan cek oleh YSD, ahli Majlis Pentadbir YSD, Datin Paduka Zaitoon Othman menyatakan bahawa beliau gembira bekerjasama dengan IDEAS kerana disamping membantu anak-anak yang memerlukan, kami juga menghasilkan kajian, data dan fakta yang boleh membantu dalam penambahbaikan pendidikan khas secara keseluruhannya.

Kepercayaan yang diberikan ini memang besar dan pengharapan juga amat tinggi. Tetapi rasanya memang amat wajar sekali kita membantu anak-anak yang memerlukan ini.  Insya Allah kami akan cuba dengan sebaik mungkin.  Jika anda mengenali anak-anak yang mungkin boleh kami bantu dari kawasan sekitar Rawang, saya menjemput anda untuk menghubungi pengetua kami Puan Sharifah melalu email sharifah@ideas.org.my.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affiars (IDEAS). Beliau aktif di twitter menggunakan @wansaiful.

Tags / Kata Kunci: Autisme

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan