Waspada, Ancaman Menanti...

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mei 2014 3:48 PM

(Ubah saiz teks)

ANCAMAN kepada negara dari anasir-anasir asing boleh dikatakan tinggi pada ketika ini.

Mungkin ramai di antara kita tidak mahu mengaku tanahair kita adalah di dalam keadaan yang merunsingkan tapi pencerobohan berulang kali di perairan Sabah dan kes-kes penculikan di pulau dan pusat peranginan di rantauan negeri itu memberi isyarat yang tidak menyenangkan.

Ini bermaksud negara kita menghadapi kemungkinan besar akan terus diserang.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia, telah pun mempelajari dari kisah-kisah lampau, seperti  yang melibatkan pelarian-pelarian Vietnam di sekitar tahun 80-an, di mana sebahagian mereka telah dikesan membawa senjata api dan berusaha membuat huru-hara.

Puak Militan Gagal

Sejauh ini,  ancaman luar negara yang paling ketara adalah dari perairan Sabah melalui pendatang dari selatan Filipina. Dikhuatiri yang mendalangi pencerobohan ini adalah para penentang pemeteraian pelan damai di antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang terhasil daripada dorongan dan kerjasama Malaysia.

Sejak beberapa bulan lalu, pihak MILF dan pasukan keselamatan Filipina berusaha mempertahankan imbangan di antara kedua-dua pihak agar tidak berlaku sebarang pertempuran. Namun, beberapa puak masih menimbulkan huru-hara, seperti  kejadian pengeboman ke atas sebuah konvoi tentera di Mindanao pada 12 Mei.

Lima orang askar dilaporkan terkorban.

Tapi, jangan kita leka dan ingat ancaman bakal datang hanya dari perairan Sabah dan dari selatan Filipina.

Kita sudah melihat dan mendengar tentang pemberontakan dan rusuhan di kawasan-kawasan lain di rantau ini seperti di Thailand, di Myanmar, Indonesia dan kerakusan lanun di Selat Melaka.

Beberapa puak militan yang gagal di negara mereka sendiri mula berusaha menapak di luar negara dengan alasan, seperti tentera Sulu yang menceroboh bumi Sabah tahun lalu, mereka hendak menuntut hak turun temurun bangsa mereka.

Keadaan menunjukkan betapa bahayanya peristiwa-peristiwa kecil ini jika tidak dikawal dan dipantau secara teliti.

Selain itu, pihak pemerintah harus meneliti juga dasar memberi perlindungan kepada mereka yang dikatakan orang pelarian atau mereka yang mencari suaka politik kerana ramai disyaki mempunyai muslihat yang jahat di sebalik meminta bantuan dan ihsan dari Malaysia.

Kita menyaksikan perkara seumpama ini berulang di Lahad Datu dan Semporna yang mengakibatkan ramai wira kita tumbang kerana mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanahair.

Walaupun bukan semua yang mendarat di pantai Sabah menjadi ancaman kepada negara kita; seharusnya kita mesti sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga agar penduduk-penduduk di Negeri Di Bawah Bayu itu dan para pelancong ke sana tidak berdepan dengan trauma akibat ancaman ini.

Kerjasama Mencari Keamanan

Sememangnya, keadaan di Sabah amat merisaukan pihak yang ketika ini sedang mempromosikan ‘Tahun Melawat Malaysia 2014’ yang diharapkan menarik berjuta-juta  pelancong asing ke negara melalui pelaburan dan dana yang besar.

Namun, keadaan di Sabah dan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370, dengan membawa seramai 239 orang, mahu tidak mahu sedikit sebanyak telah menjejaskan sasaran yang ditetapkan dan, ekoran dari peristiwa itu serta kejadian-kejadian di Sabah, pelawat-pelawat dari Cina adalah yang paling ramai membatalkan perjalanan ke Malaysia tahun ini.

Keadaan seperti ini  sepatutnya membangkitkan kesedaran dan rasa marah di kalangan pemastautin yang ingin hidup senang dan sejahtera di bumi Sabah dan Malaysia. Maka, mereka seharusnya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Kita mestilah berwaspada mengenai keadaan yang tidak menentu dan, lebih utama, mesti menghindari menjadikan perpaduan negara lebih rapuh apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini. Beri keyakinan kepada mereka yang menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Cemuhan Yang Keterlaluan

Sudah tentu, ada pihak yang menganggap ia semua adalah sandiwara dan lakonan belaka, dan akan memanipulasi kenyataan  bukan atas dasar membangun  tetapi kerana kekurangan maklumat, ia bertujuan mengaibkan negara pada kacamata dunia.

Ini juga termasuk apa yang dikatakan “character assassination” atau cemuhan yang bersifat keterlaluan ke atas pemimpin-pemimpin negara serta keluaga mereka.

Aib, hina dan provokasi adalah sesuatu yang biasa dalam politik tetapi ia, kekadang dibawa ke luar domain siasah dan menyentuh keperibadian atau imej negara dan rakyat keseluruhannya.

Kita bernasib baik kerana mempunyai kepimpinan yang bersikap cuba memberi kisah dan teladan berteraskan kepada kepentingan umum dari diri sendiri.

Saya percaya, tiada rakyat Malaysia yang tulin yang ingin memberi muka kepada penceroboh-penceroboh yang mungkin datang ke halaman  kita untuk mencetuskan perbalahan di antara kaum dan penganut ugama yang berlainan di negara kita.

Hakikatnya, ada pasang surut dari segi keselamatan di dalam negara, namun ia tidak teruk , tidak memanjang dan tidak mengakibatkan kesengsaraan di kalangan rakyat jelata, mahupun para pengunjung  dan pelawat yang sahih.

Apa pun, rakyat Malaysia, pada keseluruhannya, mempunyai daya ketahanan dan jati diri yang kental dalam menghadapi bakal-bakal musuh dari luar dan dari dalam.

Tags / Kata Kunci: Sabah , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan