Perihal Nahas & Bencana

Diterbitkan: Jumaat, 28 Mac 2014 8:17 PM

Antara kreativiti masyarakat dunia yang dimuat naik ke laman-laman sosial bagi mengajak orang ramai mendoakan keselamatan penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lalu.
(Ubah saiz teks)

BILA mengimbas kembali kisah sedih pesawat MH370 yang ghaib, saya kenang kembali kisah-kisah pilu yang pernah saya terlibat bersama membuat liputan sebagai seorang wartawan.

Saya mula terdedah kepada bencana besar sebaik sahaja saya bertugas sebagai pemberita di akhbar The Star awal tahun 70an.

Sebuah bas sekolah telah karam ke dalam Sungai Kerian – yang memisahkan Parit Buntar di Perak dan Bandar Baharu di Kedah – dan lebih daripada 30 kanak-kanak terperangkap dan mati lemas dalam kejadian dahsyat itu apabila bot yang digunakan sebagai 'feri' tarik yang menggunakan kabel terputus dibawa arus yang deras.

Pada tahun 1986, saya membuat liputan mengenai Hotel New World runtuh di tengah-tengah kota Singapura, yang memerangkap 55 orang. Tujuh-belas diselamatkan dan 33 meninggal dunia.

Saya duduk di pinggir gunungan batu bata di situ dan mendengar jeritan di bawah timbunan; namun tak dapat membantu selain membuat liputan.

Itulah dua peristiwa yang paling menghayatkan hati saya sepanjang kerjaya saya sebagai seorang pelapor.


Bersikap Tenang

Kemalangan dan bencana – dari nahas pesawat sehinggalah kenderaan jalan raya atau banjir, ribut dan tsunami – adalah di antara kejadian yang paling rumit untuk seseorang wartawan membuat laporan.

Pemberita di tempat kejadian mesti mengumpul maklumat-maklumat penting dan sahih dalam keadaan yang kekadang genting dan tertekan untuk menepati ‘deadline’ siaran.

Dari latihan sebagai seorang pemberita dan pengalaman yang pernah saya lalui, saya mendapati sifat yang penting bagi sesiapa yang ditugaskan membuat liputan bencana ialah sifat bertenang.

Ini kerana kejadian bencana biasanya datang secara mengejut dan ia membawa tekanan bagi mereka yang terlibat atau menjadi mangsa.

Kekadang mangsa atau kaum kerabat mereka bertindak macam orang yang hilang akal kerana terlalu sedih.

Adalah bermanfaat kepada pemberita untuk mencatatkan apa saja yang dia dengar, lihat dan perolehi dari apa-apa sumber sekali pun.

Perkara paling kecil pada awalnya akan dapat membawa kepada maklumat yang lebih besar dan penting kemudian.


Deria Membantu

Pembaca ingin mengetahui perasaan anda, apa yang anda melihat dari mata sendiri, setiap deria dan bau, setiap bunyian dan rasa hati.

Biasanya, di kawasan bencana atau di bilik gerakan (atau pejabat) akan dilihat ramai pegawai dan petugas kecemasan, seperti ahli bomba, polis, doktor dan wakil rakyat keluar masuk.

Selalunya, saya mencari siapa yang mengepalai pasukan mencari dan menyelamat itu kerana pegawai tersebut bakal mempunyai gambaran yang menyeluruh mengenai kejadian itu.

Sememangnya, maklumat dari sumber-sumber rasmi amat penting. Namun, anda perlu juga memetik kata-kata atau cakapan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sebagai saksi atau mangsa kejadian itu.

Bukan selalu boleh bertemuduga dengan mangsa yang terlepas dari maut dalam sesuatu nahas atau bencana yang meragut banyak nyawa. 
Biasanya, mereka sentiasa akan berada di bawah pengawasan dan kawalan doktor, polis atau pasukan kecemasan. Namun, jika kesempatan itu terbuka bagi anda, jangan lepas peluang itu.

Bagaimanapun, harus ingat, mangsa-magsa bencana biasanya akan berada dalam keadaan trauma, sedih dan ketakutan. Jadi bersikap hemat dan perihatin bila menemuduga mereka.


Lima W, Satu H

Selain itu, pada setiap bencana terdapat seorang dua yang telah membantu insan lain yang lemah dan tidak berdaya. Juara-juara ini kekadang meletakkan kesenangan dan nyawa orang lain lebih penting dari dirinya sendiri. Mereka menghidupkan lagi cerita.

Apa pun, pemberita yang membuat liputan bencana dan kemalangan tertakluk seperti pemberita yang lain kepada adat pemberitaan yang berpandu kepada lima W dan H; iatu who (siapa), what (apa), where (mana) when (bila) dan how (bagaimana).

Dengan mengingati setiap perkara ini, anda pasti dapat membuat laporan yang lengkap dan mudah dibaca.

Bagi semua wartawan, selamat bertugas dalam apa jua keadaan.

Tags / Kata Kunci: MH370 , Bencana

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan