Dunia Kini Sedang Mengejar Masa

Diterbitkan: Selasa, 25 Mac 2014 2:46 PM

Salah satu pesawat mencari dan menyelamat milik Tentera Australia. Dunia kini sedang mengejar masa untuk mendapatkan semula kotak hitam pesawat MH370 yang terhempas di selatan Lautan Hindi.

(Ubah saiz teks)

DUNIA kini sedang mengejar masa untuk mencari kotak hitam yang menjadi satu-satunya sumber yang dapat merungkai misteri bagaimana dan apakah punca yang menyebabkan pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia MH370 melencong daripada laluan asalnya ke Beijing 8 Mac lalu dan berakhir terhempas di selatan Lautan Hindi. 

Kotak itu yang mengikut prosedurnya hanya mampu bertahan menghantar isyarat dalam tempoh 30 hari selepas pesawat terhempas kini telah memasuki hari ke-17 di dasar lautan yang dalam jika mengambil kira logik dan kini menjadi satu fakta yang ia sudah pun terhempas di hari pertama hilang dari pandangan radar.

Apa yang terkandung di dalam kotak hitam itu adalah penting kerana di situlah terletaknya satu-satunya harapan yang boleh memberi pencerahan kepada kita tentang apa yang sebenarnya berlaku di dalam pesawat berkenaan pada saat ia membuat keputusan untuk berpatah balik sebelum memasuki ruang udara Vietnam.

Ia mengandungi rakaman segala perbualan di dalam kokpit pesawat berkenaan sepanjang perjalanannya yang malang itu. Apa yang terkandung di dalamnya tidak boleh dipadam secara manual oleh juruterbang atau pembantu juruterbang atau sesiapa sahaja yang menguasai ruang kokpit pesawat berkenaan.

Tanpa kotak hitam itu, para penyiasat tidak akan mengetahui dengan pasti apakah yang sebenarnya terjadi di dalam pesawat berkenaan kerana tidak ada yang terselamat di dalam tragedi ini untuk tampil sebagai saksi.

Oleh yang demikian, misi utama pencarian kini bukan sahaja serpihan atau bangkai pesawat ataupun mangsa yang terkorban tetapi sama pentingnya ialah untuk menemui kotak hitam pesawat dengan seberapa segera yang boleh.

Menurut para pakar, kotak itu seharusnya berkemampuan untuk terus menghantar isyarat dalam tempoh 30 hari selepas pesawat terhempas tetapi pada masa yang sama, jika bernasib baik, kotak itu mungkin mampu meneruskan fungsinya selama lebih kurang 15 hari lagi.

Untuk rekod, walaupun ia dinamakan kotak hitam tetapi sebenarnya kotak itu adalah berwarna oren cerah agar mudah dikesan dan dilihat sewaktu operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Hakikatnya, lokasi sebenar atau tepat di manakah pesawat itu menjunam masih belum diketahui walaupun Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan membuat kesimpulan yang penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi yang terpencil.

Kini pasukan penyiasat dan pencari bukan lagi bergantung kepada satelit berteknologi tinggi untuk merakamkan gambar serpihan tetapi mereka sebaliknya memerlukan panduan dan bimbingan pakar-pakar lautan, arus dan juga kajicuaca untuk memberikan jangkaan yang tepat di titik manakah kebarangkalian yang paling hampir pesawat ini terhempas dalam lautan yang luas itu.

Mereka juga barangkali memerlukan bantuan dan nasihat pakar-pakar teknologi laut dalam untuk menyediakan apa jua teknologi yang mampu bertahan tekanan laut dalam kerana rata-rata kedalaman Lautan Hindi khususnya di selatan boleh mencecah antara tiga hingga enam ribu meter.

John Goglia, bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) berkata, pasukan mencari dan menyelamat akan mendapati yang mereka akan banyak bergantung kepada nasib. 

"Mereka perlu mengejar masa sementara isyarat kotak hitam itu masih berfungsi tetapi sekali lagi mereka perlu tahu di mana hendak mencarinya," ujar Goglia.

Tentera Laut Amerika telah pun meminjamkan peralatan canggihnya yang dapat menangkap isyarat tersebut walau dalam situasi yang paling lemah sekali pun.

Alat itu boleh menangkap isyarat yang dipancarkan dari kotak hitam sejauh satu batu tetapi jika ia tidak tertimbus oleh lumpur atau pasir di dasar laut, isyaratnya boleh dikesan sejauh dua batu.

Di samping itu, Tentera Laut Diraja Australia juga dilengkapi dengan peralatan menangkap isyarat sonar yang boleh mengesan kotak hitam tersebut. Tetapi kapal itu hanya dijangka tiba di zon pencarian dalam tempoh tiga atau empat hari lagi.

Tetapi bagaimana jika isyarat dari kotak hitam itu tidak dapat dikesan atau jangka hayat pancaran isyaratnya mati.

Jika ini berlaku pasukan mencari dan menyelamat tidak mempunyai pilihan melainkan harus mengimbas lantai lautan yang luas untuk dengan harapan isyarat yang dipancarkan ke dasar lautan itu akan memantulkan semula gema atau gaung yang kemudiannya boleh dianalisis untuk mengesahkan sama ada isyarat yang dipantulkan semula itu memiliki tanda-tanda yang tidak normal atau luar biasa yang boleh ditafsirkan sebagai bangkai pesawat.

Satu lagi cara ialah dengan menggunakan kapal selam tanpa manusia yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh dari atas kapal sepertimana yang kita pernah saksikan dalam filem Titanic.

Kapal selam ini mampu menyelam selama 20 jam pada satu-satu masa, membuat imbasan di dasar lautan membuat pemetaan dan mencari serpihan pesawat menggunakan kamera kawalan jauh.

Cara inilah yang digunakan untuk mencari bangkai pesawat Air France 447, yang terhempas di dasar Lautan Atlantik di antara Brazil dan Afrika Barat pada 2009.

Selepas sebulan memeta dan mengimbas dasar lautan Atlantik yang bergunung-ganang itu akhirnya mereka mengesan satu objek yang besar yang dipercayai bangkai pesawat tersebut.

Pasukan mencari dan menyelamat menghantar kapal selam yang lebih canggih dengan kamera berresolusi tinggi untuk merakamkan gambar objek yang ditemui itu dan apa yang akhirnya mereka saksikan ialah badan pesawat termasuk roda dan sayapnya yang masih kekal.

Dalam kes kemalangan pesawat Air France itu, ia memakan kos mencari dan menyelamat sehingga AS$40 juta, empat kawasan pencarian yang luas dan hampir dua tahun sebelum badan pesawat dan kotak hitam itu akhirnya ditemui.

Dalam kes MH370, kita hanya boleh mengharapkan yang nasib akan menyebelahi kita. Tapi jika pasukan mencari dan menyelamat Air France tidak putus asa mencari dan terus mencari sehingga jumpa, kita juga boleh mengharapkan keajaiban yang sama akan berulang.

Kesimpulannya, kotak hitam itu mesti ditemui walau bertahun sekalipun masa yang diperlukan untuk mencarinya. 

Ia sangat penting untuk kita dan juga seluruh dunia. Hanya kandungan di dalamnya boleh memecahkan misteri mengapa ia berakhir di dasar Lautan Hindi yang dalam itu.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan