Umumkan Semua Kontrak Rundingan Terus

Diterbitkan: Sabtu, 30 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BULAN November dan Disember biasanya bulan yang sibuk untuk kami.

Inilah masanya untuk mempersediakan perancangan tahun hadapan, dan seterusnya mencari wang untuk membiayai aktiviti-aktiviti mendatang.

Dalam banyak-banyak perkara, mencari dana merupakan perkara yang paling susah.

Ramai yang nampak faedah daripada apa yang kami lakukan di IDEAS.

Tetapi oleh kerana kerja kami membabitkan unsur-unsur politik dan konsep kumpulan pemikir (think tank) ini belum difahami dengan meluas, setakat ini lebih ramai yang menjadi penyokong moral, bukan penyokong dana.

Malahan, keadaan menjadi agak teruk bulan lepas.

Saya hampir menyerah kalah apabila melihat baki di dalam bank yang hanya tinggal sekitar RM30,000 sahaja.

Kos operasi bulanan kami lebih dua kali ganda daripada itu.

Nasib baiklah kami dapat mengumpulkan dana segera untuk membolehkan kami beroperasi beberapa bulan lagi. Tetapi hidup dari bulan ke bulan bukanlah satu perkara yang mudah.

Jadi sekarang kami sedang mencari formula untuk memastikan kestabilan kewangan. Jika ada pembaca yang sudi menolong, saya merayu agar anda membantu kami.

Apa yang membuatkan saya terus kekal dalam kerja ini ialah kerana saya dapat melihat betapa ada di antara usaha kami yang hampir mendatangkan hasil.

IDEAS merupakan satu entiti muda dan kecil. Tetapi ada di antara projek yang benar-benar berbaloi.

Satu projek kajian utama kami sekarang ialah mengenai bagaimana mempertingkat ketelusan dalam sistem perolehan kerajaan.

Ada tanda-tanda menunjukkan bahawa para pembuat dasar mula mesra dengan idea-idea kami.

Saya pasti para pembaca tahu megenai Laporan Ketua Audit Negara.

Sukar dipercayai bahawa begitu banyak sekali kelemahan yang berulang-ulang.

Jika sebelum ini kita mendengar betapa kerajaan membayar harga yang amat mahal untuk teropong, kini ia membabitkan jam.

Jika dahulu kita mendengar mengenai bumbung runtuh, kini siling pula. Dan banyak lagi.

Tetapi masalah kita sebenarnya lebih luas dari itu.

Sistem perolehan di Malaysia adalah tidak telus dan terlalu banyak persoalan yang masih tidak berjawab.

Tidak banyak maklumat yang diketahui umum mengapa sesuatu bidaan itu menang atau kalah. Dan banyak juga agensi kerajaan yang bergerak bersendirian, tanpa koordinasi dengan agensi lain.

Jika ini tidak ditangani, pelabur domestik dan asing akan hilang keyakinan terhadap negara.

Sebagai sebahagian daripada proses kajian kami, kami telah meminta Profesor David Jones, seorang pakar dasar sistem perolehan Asia Tenggara, untuk meneliti kelemahan sistem perolehan Malaysia.

Professor Jones mengenalpasti tiga kelemahan:

1) perancangan perolehan yang kurang dan spefikasi yang tidak jelas

(2) sistem tender terbuka yang kompetitif tidak digunakan sepenuhnya dan

(3) kelemahan dalam pemantauan dan penilaian.

Kertas kajian beliau boleh diperolehi secara percuma daripada laman web kami (Policy Ideas No 7, Oktober 2013 http://ideas.org.my/?p=7199)

Secara teorinya, hari ini, dasar kita ialah semua perolehan mestilah menggunakan sistem tender terbuka melainkan jika ada pengecualian.

Tetapi hakikatnya, ramai yang merasakan bahawa masih banyak kontrak yang diberikan secara rundingan terus. Dan ketelusan dalam kontrak rundingan terus adalah amat rendah.

Ketiadaan ketelusan ini mengakibatkan pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kerajaan. Memang padan lah pun.

Jika kerajaan enggan menjadi telus, sudah pasti ia menimbulkan syak wasangka.

Rakyat memang berhak bertanya soalan apabila tiada maklumat yang diberikan kenapa seseorang kontraktor itu dipilih melalui rundingan terus.

Sebenarya ada cara mudah untuk menjadi lebih telus, lantas membantu rakyat menilai jika kerajaan membelanjakan wang kita dengan berhemah.

Kerajaan telah pun mewujudkan laman web MyProcurement.

Laman ini patut digunakan untuk mengumumkan butiran mengenai semua kotrak rundingan terus, kenapa syarikat tertentu dipilih dan apa yang telah kerajaan lakukan untuk memastikan kita mendapat nilai maksima daripada perbelanjaan itu.

Ya, mungkin akan ada beberapa perkiraan politik yang menghalang maklumat mengenai rundingan terus yang telah pun diberikan sebelum ini diumumkan sepenuhnya.

Dari segi ketelusan, kita tidak dapat menerima jika kerajaan enggan menceritakan kebenaran semata-mata kerana kebimbangan politik. Tetapi pengalaman telah mengajar saya agar menjadi lebih realistik.

Maka saya akan berpuas hati jika sekalipun kerajaan hanya mengumumkan butiran mengenai rundingan terus bermula 1 Januari 2014 sahaja.

Memanglah maklumat yang “panas” mengenai apa yang telah berlaku amat menarik untuk diketahui.

Tetapi adalah lebih penting untuk kita mara ke hadapan. Kerajaan akan dikritik kerana merahsiakan maklumat yang lepas.

Tetapi paling tidak pun kerajaan boleh mengumpul keyakinan rakyat pada masa akan dating.

Apa yang kita perlukan sekarang ialah iltizam politik.

Semua menteri mestilah menyokong jika perdana menteri mengumumkan bahawa butiran kontrak rundingan terus akan dimaklumkan kepada rakyat.

Jika seluruh anggota kabinet menyokong usaha ini, sudah pasti rakyat akan melihat mereka sebagai kabinet yang komited untuk memperbaiki tadbir urus negara.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Afairs (www.ideas.org.my).

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan