12 Jam Menunggu Untuk Masuk Wad

Diterbitkan: Rabu, 2 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SAYA mahu memperkatakan mengenai pengalaman terbaru saya di Hospital Serdang. Keluarga saya telah lama juga menggunakan perkhidmatan di hospital ini dan secara keseluruhannya kualiti perkhidmatan adalah baik.

Saya menjadikan Hospital Serdang sebagai contoh dalam artikel ini kerana pengalaman terbaru di sana boleh membantu untuk saya memperjelaskan idea saya dengan lebih baik. Tetapi ini tidak bermaksud saya mengatakan keseluruhan perkhidmatan di sana adalah tidak baik.

Pada malam Khamis 19 September yang lalu, ibu saya mengadu sakit kaki dan tidak dapat berjalan. Beliau sudah agak berumur dan memang mempunyai beberapa masalah kaki. Tetapi kali ini sakitnya agak berbeza.

Saya dan abang saya membawa beliau ke hospital swasta Az-Zahra di Bandar Baru Bangi. Diagnosis mengatakan ibu saya terkena ‘cellulitis’. Doktor menasihatkan beliau diberikan antibiotik melalui saluran darah (intravenous) dan ini memerlukan beliau dimasukkan ke wad. Tetapi hospital berkenaan tidak mempunyai katil kosong.

Maka kami terus ke Hospital KPJ Kajang. Sekitar 30 minit setelah kami sampai, doktor hospital itu turut mengesahkan bahawa ada cellulitis, dan ibu saya dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan.

Saya melawat ibu saya di Hospital KPJ pada petang Jumaat. Selepas berbincang, doktor mencadangkan agar saya membawa ibu saya ke Hospital Serdang kerana ibu saya memang telah lama menerima rawatan di sana, dan semua rekod kesihatan beliau ada di sana.

Saya menelefon Hospital Serdang sekitar jam 4.40 petang dan meminta untuk bercakap dengan doktor pakar yang biasa merawat ibu saya. Pegawai yang menjawab telefon itu meminta saya menunggu sementara dia cuba mendapatkan doktor yang berkenaan. Kemudian dia memberitahu saya bahawa dia telah bercakap dengan doktor itu dan doktor meminta agar saya membawa ibu saya ke wad kecemasan.

Saya pun terus ke Hospital Serdang. Saya tiba di wad kecemasan sekitar jam 6 petang. Ruang menunggu penuh dengan orang dan bilik agak panas kerana penghawa dingin tidak berfungsi dengan baik.

Setelah 5 jam menunggu, akhirnya kami dipanggil untuk berjumpa doktor pada jam 11 malam. Kedua-dua kaki ibu saya telah kembali bengkak dan merah. Saya menyuarakan kebimbangan kepada doktor kerana sebelum bertolak dari Hospital KPJ tadi, bengkak telah surut dan inflamasi pun telah berkurangan.

Tetapi doktor mengambil sampel darah dan memberitahu bahawa kami mungkin terpaksa menunggu 2 jam lagi kerana pada malam itu terlalu ramai orang yang datang ke wad kecemasan.

Pada sekitar jam 1 pagi (Sabtu), keputusan ujian darah pun sampai. Sekali lagi ibu saya disahkan terkena cellulitis. Kali ini kami disuruh masuk ke ruangan pemerhatian dan menunggu doktor bedah turun untuk memeriksa dengan lebih teliti.

Pada masa itu hanya terdapat satu katil kosong dalam ruangan pemerhatian. Jururawat bertugas mahu menyimpan katil tersebut untuk kes yang lebih teruk. Maka ibu saya diminta untuk duduk di sofa sahaja. Ini tidak membantu kerana bengkak dan inflamasi kaki beliau boleh dilihat menjadi lebih teruk. Akhirnya beliau diberikan katil pada jam 3 pagi.

Kami terus menunggu untuk doktor bedah turun menemui kami. Banyak kali juga saya bertanya kepada jururawat bertugas kenapa waktu menunggu terlalu lama. Tetapi tiada yang dapat memberi penjelasan.

Akhirnya doktor bedah tiba pada jam 4.15 pagi. Saya faham bahawa malam itu hospital berkenaan memang sibuk. Jadi saya berkata kepada doktor berkenaan, terima kasih kerana datang walapun sedang sibuk.

Tetapi saya terkejut apabila beliau menjawab bahawa beliau sebenarnya tidak sibuk pun tetapi baru sahaja mendapat panggilan sekitar jam 4 pagi. Sehingga kini saya masih belum tahu kenapa kami terpaksa menunggu sebegitu lama jika doktor yang “on-call” sebenarnya tidak sibuk.

Akhirnya ibu saya dimasukkan ke wad di Hospital Serdang pada jam 5.10 pagi. Apabila kami tiba di bilik wad, saya meminta jururawat untuk membantu mengangkat ibu saya kerana beliau sedang dalam kesakitan dan tidak dapat bangun sendiri dengan mudah. Tetapi saya diberitahu untuk melakukannya sendiri. Saya membantu apa yang boleh dan kemudian pulang ke rumah pada jam 6 pagi.

Keseluruhannya, sejak sampai ke wad kecemasan, kami menunggu 12 jam untuk masuk ke wad.

Pengalaman ini membuatkan saya terfikir satu perkara. Hospital Serdang adalah sebuah hospital baru yang besar dan mempunyai pelbagai kelengkapan. Jika kami terpaksa menunggu sehingga 12 jam, bagaimana agaknya nasib para pesakit yang hanya mempunyai akses ke hospital luar bandar yang tidak selengkap Serdang? Berapa ramai agaknya yang mati atau menjadi lebih teruk semasa menunggu?

Saya pernah melawat saudara mara yang sakit di beberapa hospital luar bandar. Suasananya menyedihkan. Ruangan wad agak sempit, kerusi pelawat tidak cukup, tandas tidak lengkap, dan para doktor dan jururawat kelihatan amat sibuk bekerja.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa kita harus menerima wujudnya perbezaan antara hospital swasta dan hospital kerajaan. Biasanya pengharapan kita direndahkan apabila berbicara mengenai hospital kerajaan. Bagi saya ini adalah salah. Kenapa pula perkhidmatan yang baik harus dimonopoli oleh mereka yang berduit sahaja?

Seharusnya kita menuntut kualiti yang tinggi daripada perkhidmatan awam. Seharusnya mereka yang tinggal di kampung Kapit dan Chini boleh mendapat layanan yang sama baiknya dengan yang diberikan kepada para menteri dan ahli politik yang tinggal di Damansara Heights.

Saya belum mempunyai cadangan penyelesaian yang konkrit. Niat saya menulis artikel ini ialah untuk menjemput pembaca sama-sama mencari penyelesaiannya.

Tetapi saya yakin bahawa cara kita berfikir mengenai pembiayaan sektor awam perlu dirobah. Sekarang, kerajaan membiayai hospital, doktor dan jururawat. Kita perlu membuat perubahan radikal agar yang dibiayai ialah pesakit yang menerima rawatan, bukan pemberi rawatan.

Hospital swasta perlu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pesakit kerana periuk nasi mereka bergantung kepada kepuasan pelanggan. Tetapi hospital kerajaan tidak hilang apa-apa jika mereka tidak melayan pesakit dengan baik. Saya yakin ada cara untuk memasukkan disiplin dan tekanan pasaran ke dalam sistem hospital kita, dan juga lain-lain sektor perkhidmatan awam.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan