Tanda Mata Chin Peng Yang Mungkin Tidak Dimiliki Oleh Sesiapa

Diterbitkan: Selasa, 17 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chin Peng (tengah) bersama dengan ahli PKM(dari kiri) Suriani Abdullah (dahulunya dikenali sebagai Eng Ming Ching dan isteri Abdullah), Rashid, Abdullah, Abu Samah Mohd Kassim, Ibrahim Chik dan Abdullah Sudin di Kem PKM Banglang, Betong, Thailand pada 1989.
Chin Peng (tengah) bersama dengan ahli PKM(dari kiri) Suriani Abdullah (dahulunya dikenali sebagai Eng Ming Ching dan isteri Abdullah), Rashid, Abdullah, Abu Samah Mohd Kassim, Ibrahim Chik dan Abdullah Sudin di Kem PKM Banglang, Betong, Thailand pada 1989.

HANYA baru seminggu yang lalu saya menyebut namanya dalam satu program di stesen radio tempatan dalam segmen “Bersama Wartawan”.

DJ yang bertugas telah bertanya tentang pengalaman penulis sebagai wartawan Malaysia yang pertama memasuki terowong komunis sepanjang 1.5km di sempadan tanah air pada tahun 1989.

Sebaliknya penulis menjawab yang penulis lebih teruja bertemu empat mata dengan orang yang bertanggungjawab mengarahkan pembinaan terowong tersebut iaitu Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Ini kerana dia adalah seorang legenda. Ketika penulis masih di sekolah rendah, kisah mengenainya boleh dibaca dalam buku sejarah darjah empat. Itu pun sejarah hitam.

Namanya hanya disebut beberapa kali dalam buku tersebut sebagai pemimpin komunis yang melancarkan perang gerila ke atas kerajaan British, kemudian Malaya dan selepas itu Malaysia selepas Jepun menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua.

Pada 29 Disember 1955 Chin Peng, Komander Regimen Ke-10 PKM, Rashid Maidin dan Komander Regimen Ke-12, Ah Sek telah keluar dari hutan Baling untuk berunding dengan Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Rundingan tersebut gagal dan mereka kembali ke hutan. Untuk rekod, Chin Peng menjadi setiausaha agung PKM pada tahun 1947.

Menarik sekali, 34 tahun kemudian iaitu pada 2 Disember 1989, ketiga-ketiga pemimpin komunis yang sama sekali lagi muncul dari hutan untuk menandatangani Perjanjian Damai bagi menamatkan konfrantasi yang telah mengorbankan lebih 10,000 ribu nyawa.

Dan pada awal pagi Isnin, 16 September 2013, pada hari Malaysia merayakan hari ulang tahunnya yang ke-50, berita dari Bangkok tiba yang melaporkan Chin Peng telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 90 tahun.

Maka berakhirlah satu era dalam sejarah. Rakan seperjuangannya Rashid Maidin meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 1 September 2006, juga di Thailand.

Songkla dan Bangkok adalah tempat mendiang Chin Peng menghabiskan sisa-sisa hidupnya selepas menandatangani Perjanjian Damai dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989.

Beliau mahu kembali ke Malaysia tetapi mendapat tentangan begitu banyak pihak khususnya dari kalangan keluarga bekas anggota perajurit yang terkorban bertempur dengan anggota PKM suatu ketika dahulu.

Kematian Chin Peng mengenangkan kembali peristiwa pertemuan penulis dengan mendiang sewaktu berlangsungnya majlis menandatangani Perjanjian Damai itu.

Penulis adalah sebahagian daripada beratus wartawan Malaysia dan luar negara yang berhimpun di Hatyai di selatan Thailand untuk membuat liputan bersejarah tersebut.

Sesuatu yang tidak mungkin dapat dilupakan sama sekali ialah ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut selesai, penulis telah bertanya kepada Chin Peng;

“Apakah saudara dan rakan-rakan saudara yang berada di dalam dewan ini (Siam Conference Room, Lee Gardens Hotel, Hatyai) masih berpegang kepada anutan dan fahaman Marxist-Leninist?”

Dan Chin Peng selepas menoleh ke arah dua lagi pemimpin PKM iaitu Pengerusinya, Abdullah CD dan Rashid Maidin, lalu kembali memandang ke arah penulis lalu berkata; “Ya! Kami masih lagi komunis. Kami hanya meletakkan senjata. Menamatkan konfrantasi dan meletakkan senjata...tapi kami masih lagi anggota PKM. PKM tidak dibubarkan. PKM hanya menamatkan konfrantasi dengan Kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong.”

Wajah Chin Peng yang bulat dan berwarna merah jambu (pinkish) tidak sama sekali mencerminkan reputasinya sebagai seorang gerila - tidak sepertimana Rashid Maidin dan Abdullah CD.

Sumber-sumber risikan Tentera Thailand memberitahu penulis yang Chin Peng memberi arahan kepada regimen-regimennya dari Beijing, China dan bukannya dari dalam hutan Malaysia mahupun Thailand.

Sebaik sahaja tamatnya sidang akhbar bersejarah itu, para wartawan telah menyerbu ke arah Chin Peng, Rashid Maidin dan Abdullah CD untuk mendapatkan reaksi lagi dan menghulurkan kertas, buku cenderamata malah ada yang menghulurkan wang kertas untuk mendapatkan tanda tangannya bagaikan seorang superstar.

Rashid dan Abdullah membisu bagaikan batu - tidak berganjak atau memberikan apa-apa reaksi walaupun di minta memberikan tanda tangan mereka.

Sebaliknya Chin Peng memperlihatkan sikap diplomatik yang tinggi termasuklah memenuhi permintaan penulis sendiri dengan menurunkan tanda tangannya di atas buku cenderamata majlis yang diadakan pada 2 Disember itu.

Sebaik sahaja dia menghulurkan tangan untuk menerima buku cenderamata yang diberikan penulis kepadanya, Chin Peng mengeluarkan pen dari kocek bajunya - pen yang sama yang digunakan untuk menandatangani perjanjian damai tersebut - lalu menurunkan tanda tangannya.

Mendiang Chin Peng mungkin tidak dapat kembali semula ke Malaysia sebagai destinasi terakhir perjalanannya di atas muka bumi ini.

Tetapi tanda mata kenang-kenangan yang ditandatanganinya itu tersimpan erat di dalam album peribadi penulis sebagai salah satu lipatan sejarah yang mungkin tidak dimiliki oleh sesiapa.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan