Kita Harap Pengumuman Sabtu Lepas Untuk Bumiputera Yang Layak Sahaja

Diterbitkan: Selasa, 17 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BARU-BARU INI, kami di IDEAS telah menerbitkan sebuah buku berjudul “Combatting Corruption: Understanding Anti-Corruption Initiatives in Malaysia”.

Buku berbahasa Inggeris ini telah berada di pasaran sekarang.

Kami juga sedang berusaha menerbitkan buku tersebut dalam versi Bahasa Malaysia. Syarikat percetakan yang biasa kami gunakan telah memberi sebutharga RM5,000 untuk mencetak 1,000 naskhah.

Tetapi kami tidak boleh menggunakan syarikat itu kerana pihak penaja mahukan syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Sebutharga yang kami terima daripada syarikat berdaftar itu bagaimanapun telah mengejutkan saya.

Kos mereka ialah RM13,500, iaitu hampir tiga kali ganda mahal berbanding harga yang kami perolehi sebelum ini.

Memanglah projek kami hanya projek yang kecil sahaja berbanding kontrak-kontrak kerajaan.

Tetapi pengalaman ini membuatkan saya terfikir, berapa banyakkah wang rakyat yang telah dibazirkan untuk membayar kontraktor berdaftar yang amat mahal yang mengambil kesempatan seperti itu?

Apabila bercakap mengenai kontrak kerajaan, dasar yang digunapakai digariskan dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 4 Tahun 1995.

Dokumen ini menggariskan bagaimana prinsip keistimewaan Bumiputera dipraktiskan dalam proses pemerolehan kerajaan.

Antara lain, dokumen tersebut menyatakan bahawa semua kontrak perbekalan dan perkhidmatan di bawah RM100,000 mestilah dikhususkan untuk kontraktor Bumiputera sahaja.

Manakala untuk kontrak-kontrak binaan hadnya ialah RM50,000.

Yang menariknya, dokumen ini menjelaskan bahawa tidak semua Bumiputera adalah sama. Ada satu kategori lebih istimewa di kalangan Bumiputera, iaitu kategori mereka yang menjadi ahli Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu.

Menurut dokumen tersebut, jika persaingan ialah antara dua syarikat Bumiputera, maka keutamaan hendaklah diberikan kepada kontraktor yang menjadi ahli mana-mana Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu.

Entah berapalah agaknya bilangan usahawan Melayu tulin yang didiskriminasi semata-mata kerana mereka tidak menjadi ahli mana-mana Dewan.

Jika kita meneliti isu ini semata-mata dari segi kesaksamaan ekonomi sahaja, maka jelas sekali dasar diskriminasi ini ialah satu dasar yang tidak bermoral.

Tetapi, seperti biasa, perkiraan politik mengatasi semua perkiraan lain. Untuk jangka masa yang terdekat, para peniaga bukan Bumiputera, dan peniaga Bumiputera yang tidak menjadi ahli mana-mana Dewan, terpaksa menerima hakikat bahawa mereka adalah rakyat kelas kedua. Inilah faktanya.

Kedudukan Bumiputera sebagai golongan tinggi dalam negara telah diperkukuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak dalam pengumuman beliau pada hari Sabtu lepas.

Beliau menjanjikan lebih banyak pemberian, peruntukan dan kedudukan untuk golongan Bumiputera. Saya sebenarnya tidak menemui apa-apa perkara yang radikal atau baru dalam pengumuman tersebut.

Memang banyak peruntukan baru. Tetapi semuanya hanyalah untuk melakukan lebih banyak perkara yang sama sahaja.

Sukar untuk dipercayai betapa jauh kita telah tersimpang daripada semangat asal Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun telah berlaku banyak kepincangan dalam perlaksanaannya, DEB diperkenalkan untuk merobah nasib seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Ia bertujuan untuk membasmi kemiskinan di semua peringkat, bukan di kalangan Melayu sahaja. Dan ia berhasrat menstrukturkan semula masyarakat agar rakyat kita yang pelbagai kaum tidak lagi hidup terasing antara satu sama lain.

Tetapi pengumuman pada hari Sabtu lalu terhad kepada satu kumpulan sahaja dan tidak menghiraukan kumpulan lain. DEB sendiri pun secara dasarnya tidak mendiskriminasi secara terbuka seperti yang dibuat pada hari Sabtu lepas.

Dan tiada gunanya kita cuba meletakkan pengumuman Sabtu lalu dalam konteks Model Ekonomi Baru (MEB).

Apabila MEB diperkenalkan oleh Najib pada tahun 2010, teras utamanya ialah meliberalisasikan ekonomi dan mengurangkan intervensi kerajaan.

MEB juga mahukan satu perubahan radikal daripada dasar afirmatif pro-Melayu kepada satu sistem yang lebih inklusif tanpa mengira warna kulit.

Mungkin juga Tun Dr Mahathir Mohamad betul apabila beliau mengatakan bahawa Melayu mudah lupa. Hanya dalam masa tiga tahun idealisme-idealisme dalam MEB telah dilupai.

Pada awalnya saya mengharapkan Najib akan mengumumkan dasar-dasar yang betul-betul boleh mentransformasi golongan Bumiputera seperti pelan konkrit untuk menamatkan layanan istimewa, mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan, dan pembentukan usahawan Bumiputera yang berdaya saing.

Semua ini masih belum ada. Banyak sekali peruntukan yang diumumkan pada hari Sabtu lalu, sehingga hampir pasti kita akan melihat terbentuknya satu generasi pemburu peruntukkan, bukan usahawan.

Namun demikian, saya sebenarnya seorang yang realistik. Memang benar saya mempunyai idealisme tersendiri. Tetapi kita memerlukan masa untuk mencapai ke tahap yang ideal.

Sementara itu, kita terpaksa hidup dengan dasar-dasar yang ada. Jadi fokus kita haruslah untuk memastikan pengumuman Sabtu lalu akan benar-benar memberi faedah kepada mereka yang layak.

Perkara itu tidaklah semudah yang disangka. Ada terlalu banyak kumpulan yang mempunyai kepentingan masing-masing dan mereka membuat tuntutan yang pelbagai.

Saya bersimpati dengan bebanan berat yang terpaksa dipikul oleh ahli politik kita dalam menyeimbangkan pelbagai tuntutan itu.

Saya berharap, dalam melaksanakan inisiatif baru untuk Bumiputera ini, kerajaan akan mengenalpasti para usahawan yang benar-benar layak untuk dibantu.

Pertama sekali, kerajaan perlu menilai semula senarai kontraktor mereka, agar kontraktor yang memeras wang rakyat dengan harga yang terlalu mahal (seperti yang saya sebutkan di atas) dikeluarkan daripada senarai.

Dan hanya mereka yang menawarkan perkhidmatan dan barangan yang berpotensi tinggi sahaja yang wajar disokong.

Semasa saya mengambil anak saya dari sekolah pada minggu lalu, dia memberitahu saya bahawa di sekolah ada air yang dijual dengan harga RM10 sebotol.

Katanya air ini telah dijampi agar ia boleh membantu menerangkan hati. Dan pada botol air itu, turut ditulis bahawa jika wang anda sering dicuri toyol, maka toyol itu boleh dihalau dengan merenjiskan air tersebut ke atas duit.

Air penerang hati yang boleh menghalau toyol memanglah satu produk yang dibuat dengan niat yang mulia. Tetapi jenayah toyol belum lagi menjadi masalah yang serius dalam negara kita.

Saya harap wang rakyat tidak digunakan untuk mensubsidi produk seperti ini.

Matlamat kita mestilah untuk membantu para pengeluar produk yang berpotensi berjaya di peringkat global, bukan di kawasan-kawasan yang banyak toyol sahaja.

Tetapi mungkin juga air ini patut direnjis ke atas wang rakyat untuk menghalau toyol-toyol Bumiputera yang sedang membuat perancangan.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan