Apa khabar 1Malaysia?

Diterbitkan: Selasa, 3 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Inisiatif 1Malaysia
Inisiatif 1Malaysia

KALI pertama saya mendengar frasa 1Malaysia ialah beberapa minggu sebelum laman blog Datuk Sri Najib (www.1Malaysia.com.my) dilancarkan.

Konsep 1Malaysia sudah pasti akan dikaitkan dengan Najib selama-lamanya, walaupun setelah beliau digantikan oleh orang lain sebagai presiden Umno dan perdana menteri. Ini kerana beliaulah yang melahirkan gagasan tersebut.

Semasa majlis pelancaran logo 1Malaysia pada 27 Jun 2009, Najib berkata “Apabila konsep 1Malaysia diperkenalkan maka ramai juga orang yang tertanya-tanya apakah maksud erti dan substance kepada konsep 1Malaysia.Saya dapati bahawa pada asasnya sebahagian besar rakyat Malaysia, menerima konsep 1Malaysia. Dalam pada mereka menerima konsep 1Malaysia, mereka ingin tahu apa dia makna, maksud, erti 1Malaysia ini.”

Walaupun ucapan tersebut disampaikan empat tahun yang lalu, kandungannya masih betul sehingga sekarang. Memang ramai yang akan menyokong gagasan 1Malaysia. Tetapi jika kita tanya mereka, apakah maksud sebenar 1Malaysia, mereka sendiri masih tertanya-tanya apa sebenarnya maksud 1Malaysia itu. Jika kita membaca dokumen “GTP Roadmap” yang pertama yang diterbitkan oleh Pemandu, pada bab 3 dan 4 mengandungi percubaan untuk menterjemahkan gagasan 1Malaysia kepada dasar dan tindakan.

Antara lain, ia menyebut bahawa di bawah 1Malaysia, kita akan menyaksikan perpaduan, kualiti hidup yang lebih baik dan peningkatan tahap kehidupan hasil daripada inisiatif untuk memperbaiki kemudahan asas kawasan luar bandar dan memberi lebih banyak peluang kepada isirumah yang berpendapatan rendah.

Bab 4 adalah bahagian yang lebih spesifik mengenai usaha membina 1Malaysia. Ia membicarakan tentang keperluan mengurus kepelbagaian, asas-asas 1Malaysia, dan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan untuk membentuk 1Malaysia.

Dokumen tersebut dengan jelas mengatakan bahawa matlamat 1Malaysia ialah untuk menjadikan Malaysia lebih bertenaga, lebih produktif serta lebih kompetitif – dan akhirnya menjadi sebuah negara yang lebih baik di mana setiap warga rakyatnya merasakan dirinya adalah rakyat Malaysia dahulu, dan meletakkan bangsa, kedudukan geografi dan tahap ekonomi mereka sebagai perkara kedua.

Untuk menguar-uarkan konsep 1Malaysia, telah ditubuhkan Yayasan 1Malaysia yang dikepalai oleh ahli akademi yang dikenali ramai, Dr Chandra Muzaffar. Yayasan ini menyatakan bahawa misi mereka ialah untuk membentuk, menyokong dan mendepani aktiviti dan program-program yang boleh mewujudkan perpaduan nasional.

Semua ini memang amat baik. Jika diikuti apa yang tertulis di atas kertas, maka agak jelas bahawa 1Malaysia ialah usaha membentuk perpaduan nasional.

Perkara ajaib di Malaysia ini ialah apabila tiba ke peringkat perlaksanaan.

Setelah empat tahun memberikan definisi dan melaksanakan konsep 1Malaysia, kelihatan konsep 1Malaysia telah tiba-tiba tertranformasi menjadi sesuatu yang tidak berkait terus dengan perpaduan nasional.

Di laman blog Najib, www.1Malaysia.com.my, apabila menceritakan mengenai bagaimana 1Malaysia dilaksanakan di peringkat akar umbi, ia berkata “setakat ini lebih daripada 1.5 juta rakyat Malaysia telah mendapat rawatan di klinik kesihatan 1Malaysia dengan bayaran sebanyak satu ringgit sahaja.

Program-program berfokuskan rakyat yang lain termasuklah Program Perumahan 1Malaysia dan PR1MA untuk membantu keluarga berpendapatan sederhana memiliki rumah mereka sendiri, serta Kedai Rakyat 1Malaysia dengan penjualan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.” Malahan laman blog itu juga mempunyai lakaran yang cantik mengenai inisiatif-inisiatif 1Malaysia, daripada menu rakyat 1Malaysia, klinik bergerak 1Malaysia, skim susu 1Malaysia, kedai ikan 1Malaysia dan tayar teksi percuma 1Malaysia.

Bagaimana semua program kebajikan ini akan melahirkan perpaduan nasional masih tidak jelas. Apa yang jelas ialah tatkala kita menyambut Hari Kebangsaan ke-56, perpaduan nasional masih kekal sebagai satu isu besar, jika bukan isu yang lebih besar berbanding sebelumnya.

1Malaysia yang bersatu padu yang diidamkan dalam ucapan-ucapan dan dokumen-dokumen kerajaan masih belum wujud, malahan seolah-olah menjadi semakin jauh.

Satu lagi perkara yang tidak jelas ialah bagaimana program-program kebajikan ini akan menjadikan Malaysia lebih bertenaga, lebih produktif serta lebih kompetitif seperti yang dinyatakan dalam dokumen GTP Roadmap yang pertama. Hakikatnya inisiatif berteraskan kebajikan (welfarism) jarang sekali membawa kepada produktiviti dan daya saing.

Apa yang sedang kita saksikan sekarang ialah, tatkala kita masih lagi menyambut ulang tahun ke-56 kemerdekaan, wujud proses untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang tidak pernah dibayangkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, iaitu sebuah negara kebajikan (welfare state).

Pada 8 Januari 1970, Almarhum Tunku menyatakan bahawa negara ini berpegang dengan prinsip keusahawanan pasaran bebas.

Malangnya kebanyakan inisiatif yang dijenamakan sebagai 1Malaysia tidak menuju ke arah melahirkan usahawan yang beriltizam dengan sistem pasaran bebas.

Sebaliknya kita lebih banyak membentuk masyarakat yang bergantung kepada kerajaan seperti dalam sebuah negara kebajikan.

Negara-negara kebajikan di Eropah sedang dilanda belenggu masalah setelah berdekad-dekad mengamalkan dasar negara kebajikan.

Masalah tidak datang serta merta kepada mereka. Greek misalnya dilanda musibah setelah lebih 30 tahun menjadi negara kebajikan. United Kingdom pula mengambil masa lebih 100 tahun.

Jadi, walaupun dasar kebajikan yang diperkenalkan sekarang mungkin tidak melahirkan kesan negatif dengan kadar yang serta merta, masalah hampir pasti akan melanda anak cucu kita nanti akibat daripada dasar yang diperkenalkan sekarang.

Malaysia memang merupakan sebuah negara yang memberikan kemungkinan tanpa penghujung. Dalam kita meraikan 56 tahun merdeka, baik juga kita memastikan bahawa kita tidak mewariskan kemungkinan untuk bankrup kepada anak-anak kita.

Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan