Apa Yang Telah Kita Pelajari Dari Kesesakan Lebuh Raya Di Musim Perayaan...

Diterbitkan: Isnin, 19 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Beginilah suasana di Lebuh Raya PLUS ketika warga kota pulang bercuti sempena sambutan Aidil Fitri baru-baru ini. Situasi seperti ini harus diatasi oleh pihak yang bertanggungjawab mengendalikan lebuh raya.
Beginilah suasana di Lebuh Raya PLUS ketika warga kota pulang bercuti sempena sambutan Aidil Fitri baru-baru ini. Situasi seperti ini harus diatasi oleh pihak yang bertanggungjawab mengendalikan lebuh raya.

RAYA datang dan raya pergi namun keperitan yang terpaksa dilalui oleh sebahagian besar pengguna lebuh raya di negara ini tetap sama saban tahun.

Ia seolah-olah mengambarkan yang pihak-pihak yang berkuasa ke atas pengendalian dan pemantauan pergerakan di lebuh raya hanya sekadar memantau dan memerhati.

Malangnya tiada tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh para pengguna lebuh raya.

Masalah yang dimaksudkan di sini ialah para pengguna terpaksa menempuh kesesakan yang di sangat luar biasa di atas lebuh raya ketika berhadapan dengan musim perayaan.

Kesesakan ini telah mencapai satu tahap di mana adalah tidak praktikal lagi untuk para pengguna menggunakan lebuh raya untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing.

Ahad baru-baru ini, Buletin Utama TV3 menyiarkan laporan dan lintas langsung dari pelbagai stesen pemerhatian sekitar lebuh raya utama di negara kita yang memantau pergerakan kenderaan yang kembali ke ibu kota ekoran cuti raya yang panjang.

Dalam laporan tersebut ada disebut jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya setiap hari mencecah kepada 300,000 pada satu-satu masa.

Laporan itu juga turut menemuramah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) selaku pihak yang menentukan polisi penggunaan lebuh raya di Malaysia dan juga pihak PLUS.

Namun ia sekadar memantau. Tiada sedikit pun di antara pihak-pihak ini yang menyebut bagaimanakah dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah kesesakan yang menjadi punca para pengguna terpaksa berada di atas lebuh raya sehingga lebih lapan jam malah ada yang sehingga 12 jam untuk perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Untuk perjalanan yang normal dengan kelajuan maksima yang dibenarkan, perjalanan sejauh itu sepatutnya memakan masa sekadar empat jam atau paling lama pun lima jam sahaja.

Penulis sendiri berhadapan dengan pengalaman ini Isnin lalu (12 Ogos) ketika dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang.

Bertolak dari tol Juru pada lebih kurang jam 3.55 petang, penulis hanya selamat tiba di ibu kota pada lebih kurang jam 12.45 tengah malam dengan kelajuan maksimum secara purata sekadar 50 hingga 60km sejam di sepanjang-panjang perjalanan itu.

Ketika pulang pada Hari Raya Haji tahun lalu, penulis juga berhadapan dengan situasi yang sama malah lebih teruk lagi dari minggu lalu.

Dan penulis dapati, 'ibu' kepada segala punca kepada kesesakan yang teruk di sepanjang perjalanan di atas lebuh raya PLUS itu tidak lain dan tidak bukan adalah disebab oleh R & R.

Tiada sebab lain yang penulis dapati melainkan puncanya ialah R & R.

Kesesakan yang berpunca dari R & R itu adalah kerana pengguna berpusu-pusu hendak memasuki kawasan ini atas sebab-sebab yang mereka sahaja yang tahu sehingga menyebabkan kenderaan berbaris berkilometer jauhnya sehingga menyekat laluan dan kelancaran kenderaan lain yang tidak memasuki kawasan R & R ini.

Bayangkan, dari tol Juru di Seberang Perai, Pulau Pinang sehingga Ipoh, kenderaan hanya mampu bergerak antara 50 hingga 60 kilometer sejam hanya disebabkan oleh R & R Bukit Gantang/Changkat Jering dan yang paling teruk ialah hentian Sg Perak.

Punca yang paling besar sebenarnya R & R Sg Perak kerana laluan menuju ke situ menjadi tirus kerana jambatan yang merentasi sungai berkenaan tidak sebesar mana.

Kenderaan yang beratur untuk memasuki R & R ini telah menyekat kelancaran kenderaan lain sehingga beratus kilometer jauhnya.

Selepas berjam-jam bergerak bagaikan kura-kura di atas lebuh raya, penulis akhirnya melihat hanya terdapat seorang anggota polis trafik yang mengawal pergerakan masuk ke laluan R & R Sg Perak.

Sungguh sedih dan sakit hati benar apabila mendapati yang menjadi punca kesesakan teruk di atas lebuh raya adalah kerana orang ramai berpusu-pusu mahu memasuki kawasan R & R.

Sebaik sahaja melepasi R & R Sg Perak, perjalanan kembali menjadi sedikit lancar tetapi perasaan gembira itu tidak bertahan lama.

Kami para pengguna lebuh raya yang setia berhadapan dengan satu lagi kesesakan yang panjang dan berjela-jela. Kereta sekejap berhenti sekejap bergerak. Itu pun dengan perlahan sekali.

Kali ini puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah satu lagi R & R iaitu hentian Tapah.

Jadi apakah natijah daripada ini semua?

Jawapannya ialah sikap tidak peduli PLUS dan orang-ramai menjadi penyumbang utama kepada kesesakan di lebuh raya.

Tidak mungkin PLUS tidak menyedari akan kesesakan yang dialami oleh para pengguna kerana musim perayaan tiba setiap tahun.

Mereka memantau sepertimana yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 tetapi memantau untuk apa jika tiada tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah ini.

Bagi PLUS cuma ada dua resolusi. Pertama tindakan jangka pendek dan kedua tindakan jangka panjang.

Bagi tindakan jangka pendek mereka perlu;

1. Meletakkan kakitangan yang lebih ramai untuk membimbing para pengguna supaya tidak terus berhenti di atas lebuh raya hanya kerana hendak memasuki kawasan R & R. Bukan sekadar memadai dengan meminta bantuan seorang polis trafik untuk mengendalikan suasana di pintu masuk R & R.

2. Mereka perlu lebih proaktif menggunakan media sosial untuk memaklumkan kepada pengguna R & R manakah yang telah sesak dan dengan itu memandu para pengguna ke R & R yang kurang sesak atau seterusnya. Bukan sekadar cukup dengan mengumumkan yang laluan sesak di kilometer berapa tanpa memberitahu punca kepada kesesakan tersebut.

3. Jika perlu, PLUS perlu menutup R & R di musim perayaan supaya kenderaan tidak cenderung untuk berhenti atas tujuan yang mereka sahaja ketahui.

Untuk pelan jangka panjang pula, PLUS perlu;

1. Membina lebih banyak kawasan R & R di sepanjang lebuh raya yang mana dari pemerhatian kasar pengguna, kami tidak nampak pun sebarang usaha ke arah itu buat masa ini. Pembinaan lebih banyak kawasan R & R akan membantu menyebarkan taburan kenderaan yang berhenti di lebuh raya.

2. Melebarkan lorong dari lebuh raya dua lorong kepada tiga lorong. Buat masa ini hanya kawasan tertentu sahaja yang mempunyai kemudahan tiga lorong misalnya dari Slim River ke Kuala Lumpur.

Namun cadangan kedua ini lebih mahal dari segi kos berbanding dengan membina lebih banyak kawasan R & R. Oleh yang demikian membina kawasan R & R baru adalah lebih kos efektif daripada membina lorong baru.

Kepada para pengguna pula, mereka juga harus mengambil iktibar kerana mereka turut menjadi penyumbang utama kepada kesesakan di lebuh raya.

Misalnya mereka harus;

1. Memastikan tangki minyak diisi penuh sebelum memasuki lebuh raya kerana hasil daripada pemerhatian penulis dapati sebahagian besar pengguna cuba memasuki kawasan R & R kerana hendak mengisi semula minyak khususnya di hentian Sg Perak dan Tapah. Ini menunjukkan yang mereka memasuki lebuh raya tanpa tangki yang penuh. Kenapakah ini terjadi? Ia ada kena mengena dengan sikap tidak peduli atau mengambil mudah tanpa menyedari mereka menyumbang kepada kesesakan dan menjadi punca trafik bergerak perlahan di sepanjang lebuh raya.

2. Pengguna juga seboleh-bolehnya jangan berhenti untuk makan di R & R. Sebaliknya bawalah bekalan makanan sendiri yang boleh dimakan ketika di dalam perjalanan. Ini akan banyak membantu mengurangkan kesesakan ekoran hendak masuk ke kawasan rehat kerana hendak berhenti makan.

Jadi kesimpulannya, PLUS haruslah bertindak dari sekarang. PLUS kena ada perancangan. PLUS harus ingat mereka mempunyai obligasi untuk memuaskan hati para pengguna kerana pengguna membayar harga yang tinggi untuk menggunakan lebuh raya.

Pengguna tidak menggunakan lebuh raya secara percuma. Kami membayar untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan ini.

Maka itu, bayaran yang kami hulurkan itu haruslah setimpal dengan kemudahan yang kami nikmati.

PLUS mengutip beratus juta ringgit setahun hasil daripada tol yang dikenakan ke atas kami para pengguna. PLUS tidak pernah rugi membuat perniagaan konsesi lebuh raya ini.

Tetapi sebahagian kecil daripada hasil kutipan itu tidak digunakan untuk melabur kembali demi kemudahan para pengguna di lebuh raya PLUS. Adil kah ini?

Adilkah membiarkan para pengguna terseksa setiap kali memasuki lebuh raya di musim perayaan? Memadaikah dengan sekadar memantau kesesakan setiap tahun? Memantau untuk apa? Untuk melaporkan kesesakan? Itu tidak memadai. Itu adalah sikap tidak peduli sebenarnya. Kerana itu hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga.

Maka jawapannya adalah tidak adil.

Tolong fikirkan sama kemudahan dan keselesaan para pengguna. Tunjukkan sedikit sikap peduli ke atas para pengguna. Bukan sekadar mahu mengutip hasil dari poket para pengguna semata-mata.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan