TPPA: Fokus Haruslah Kepada Rakyat Biasa

Diterbitkan: Rabu, 7 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan panel yang terlibat pada forum yang diadakan pada hari terbuka Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement, TPPA) anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 1 Ogos yang lalu.
Barisan panel yang terlibat pada forum yang diadakan pada hari terbuka Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement, TPPA) anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 1 Ogos yang lalu.

SAYA menghadiri Hari Terbuka Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement, TPPA) anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 1 Ogos yang lalu.

Acara tersebut bermula dengan satu pembentangan mengenai perkembangan terkini siri rundingan yang telah berjalan, diikuti oleh sesi forum dan seterusnya perbincangan dalam kumpulan kecil.

Sebenarnya beberapa hari sebelum majlis tersebut berlangsung, saya dijemput oleh pihak kementerian untuk menjadi pengerusi sesi forum dalam hari terbuka itu.

Tetapi ada ahli panel yang membantah.

Agaknya mungkin kerana saya menolak perlindungan ekonomi, terutamanya apabila ia berteraskan faktor bangsa.

Tetapi dalam suasana politik hari ini, saya memahami bantahan tersebut dan tidak keberatan untuk berundur.

Semasa sesi dalam kumpulan, saya menyertai perbincangan mengenai perolehan kerajaan, hak Bumiputera, persaingan dan syarikat milik kerajaan. Ini merupakan kumpulan yang paling popular dan bilangan peserta melebihi bilangan kerusi yang disediakan.

Ramai juga peserta dalam kumpulan itu yang mendakwa mewakili persatuan usahawan Bumiputera atau Melayu. Mesej mereka hampir sama. Mereka percaya jika TPPA ditandatangani, maka perniagaan mereka akan terjejas dan mereka menuntut kerajaan melindungi perniagaan mereka.

Menarik juga memerhatikan gelagat kumpulan “usahawan” ini. Mereka tidak segan silu mengakui bahawa untuk berterus berniaga, mereka perlukan perlindungan politik. Saya sangkakan “usahawan” adalah mereka yang mendapat keuntungan setelah berusaha. Rupa-rupanya ada juga yang mendapat keuntungan setelah berpolitik.

Untuk berlaku adil, perlu saya katakan bahawa ada juga di antara mereka yang bangun bercakap dalam sesi itu yang benar-benar ikhlas menyuarakan pandangan. Tetapi bagi saya, adalah salah sekiranya kita memperdebatkan bagaimana untuk menggunakan kuasa politik untuk melindungi golongan peniaga berkepentingan. Seharusnya kuasa politik digunakan untuk melindungi kebajikan rakyat terbanyak.

TPPA ialah satu perjanjian perdangangan bebas yang sedang dibincangkan oleh 12 buah Negara - Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Jepun, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Jika kesemua 12 buah negara menandatangani perjanjian tersebut, maka satu pasaran yang mempunyai 800 juta orang bakal pembeli dengan jumlah keseluruhan KDNK sebanyak AS$27.5 trilion akan terbuka untuk kita.

TPPA berfungsi secara dwihala. Maksudnya, jika perjanjian itu ditandatangani, maka 800 juta orang, dengan semua perniagaan yang mereka usahakan, akan boleh menawarkan barangan dan perkhidmatan mereka kepada kita rakyat Malaysia.

Adakah TPPA akan memberi impak kepada para peniaga di Malaysia? Sudah pasti sebahagiannya akan terkesan. Para usahawan tulin akan mendapat akses kepada pelanggan yang jauh lebih ramai. Dan dengan itu mereka boleh mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan serta keuntungan yang lebih banyak di Malaysia.

Tetapi peniaga yang menawarkan barangan berkualiti rendah akan kehilangan pelanggan kerana pelanggan akan memilih barangan yang lebih baik yang ditawarkan oleh syarikat lain, baik dari dalam mahupun luar negara.

Peniaga yang tamak tidak lagi boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana rakyat kini mempunyai pilihan yang lebih murah.

Dan mereka yang memonopoli pasaran akan hilang taringnya kerana mereka terpaksa bersaing dalam pasaran yang lebih kompetitif.

Kemuncaknya, rakyat biasa seperti saya dan anda akan mendapat manfaat besar daripada peningkatan pilihan dan persaingan. Kita boleh memilih barangan berkualiti lebih tinggi yang harganya lebih murah dan pilihan kita tidak lagi terhad.

Jika para peniaga yang tidak berdaya saing tidak boleh menawarkan barangan berkualiti tinggi dengan harga lebih murah, kenapa pula kerajaan perlu melindungi mereka? Kerajaan tidak seharusnya menggalakkan mereka ini memeras duit keringat rakyat bawahan. Biar sahaja mereka tutup kedai.

Hanya dengan cara itu para usahawan tulin yang tidak berselindung disebalik kuasa politik akan benar-benar berjaya. Mereka boleh menawarkan barangan yang diperlukan oleh rakyat pada harga yang lebih berpatutan.

Fenomena ini pernah dibincangkan oleh pakar ekonomi, Joseph Schumpeter dalam buku beliau “Capitalism, Socialism and Democracy” yang diterbitkan pada tahun 1942.

Schumpeter menggunakan terma “pemusnahan kreatif” (creative destruction) untuk menerangkan bahawa untuk membangunkan ekonomi sudah pasti akan berlaku kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan yang tidak berdaya saing.

Fasa “pemusnahan kreatif” ini mungkin perit, tetapi ia perlu berlaku demi membolehkan ekosistem kita dibersihkan daripada peniaga kroni. Dalam jangka masa panjang, pemusnahan kreatif memberi manfaat kepada rakyat terbanyak kerana kita akan boleh mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang lebih baik dan lebih murah, mendapat peluang pekerjaan baru yang memberikan gaji lebih tinggi dan juga mewujudkan tahap sosioekonomi yang secara umumnya lebih baik untuk semua rakyat.

Sudah pasti para peniaga yang berkepentingan akan menentang pemusnahan kreatif kerana periuk nasi mereka akan terganggu. Sebab itulah mereka melobi untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan politik.

Tetapi kerajaan perlu memfokuskan terhadap kebajikan rakyat terbanyak, para pekerja dan orang miskin. Bukannya terus menerus melayan peniaga berkepentingan dan pelobi politik ini. Cara terbaik untuk menjaga kebajikan rakyat terbanyak ialah dengan membuka ekonomi kita agar berlaku persaingan yang lebih sengit, walaupun mungkin ada kroni-kroni yang membantah dengan kuat.

Saya tidaklah mengatakan semuanya baik belaka dengan TPPA ini. Proses dialog dengan masyarakat dijalankan amat lewat dan pihak kerajaan juga tidak begitu cekap dalam menangani kritikan yang dilontarkan. Dan sebenarnya saya tidaklah terlalu menyokong perjanjian perdagangan bebas kerana saya lebih percaya bahawa liberasasi secara unilateral adalah lebih baik.

Tetapi janganlah pula kita dakwa liberalisasi ekonomi adalah buruk semata-mata kerana terdapat kelemahan dalam cara kerajaan menangani TPPA. Ini adalah dua perkara yang berbeza.

Pokoknya sebuah sistem ekonomi yang terbuka, telus dan liberal adalah jauh lebih baik daripada sistem ekonomi yang memperkayakan golongan yang rapat dengan orang politik sahaja. Sistem ekonomi yang lebih terbuka adalah lebih bermanfaat untuk orang biasa seperti saya dan anda.

Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan