Perlu dan Wajarkah Kebebasan Bersuara Tanpa Sempadan

Diterbitkan: Rabu, 7 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MALAYSIA merupakan sebuah negara majmuk dari segi agama, kaum atau ras dan budaya yang sedang membangun. Kepelbagaian ini telah mendorong berlakunya hak dalam bersuara.

Hakikatnya, kebebasan hak asasi manusia di Malaysia dan hak kebebasan bersuara di Malaysia dapat dilihat mengalami proses evolusi.

Dalam konteks ini, hak kebebasan asasi manusia dan hak kebebasan bersuara perlu dilihat dan difahami dengan lebih jelas supaya dapat dilihat keperluan dan kehendak yang perlembagaan perjuangkan supaya kesepaduan masyarakat di Malaysia dapat dicapai kerana Malaysia mendukung perlembagaan yang berteraskan perpaduan serta keharmonian masyarakat yang berada dalam Malaysia.

Saya terpanggil untuk mengulas tentang isu penghinaan yang dilakukan oleh masyarakat tidak kira bangsa dan agama terhadap Agama Islam yang begitu ketara baru-baru ini. Melihat pada sejarah, sejak merdeka dari tahun 1957, kesemua bangsa di Malaysia telah duduk bersama dan kenal akan budaya dan agama bagi setiap kaum di Malaysia yang mengamalkannya.

Masa kian berlalu, dan Malaysia terus bergerak maju. Pelbagai ideologi, pola pemikiran dan metodologi yang disebar dengan penuh meluas di Malaysia yang tercinta ini.

Antara ideologi yang paling kuat dan nyata yang dapat diserap di setiap minda rakyat Malaysia baik kaum Melayu atau Cina mahupun India adalah: (a) ideologi demokrasi (b) ideologi liberalisasi.

Dari dua ideologi inilah yang telah melahirkan satu penakrifan baru terhadap definisi perkataan "Hak" dan "Kebebasan".

Apabila ideologi demokrasi dan liberalisasi telah berkembang di setiap pelusuk tanah air, mulai kedengaran pula pelbagai slogan yang dilaungkan serta dibincangkan seperti: (a) hak kebebasan bersuara

(b) hak sama rata

(c) hak rakyat.

Bertitik tolak dari sinilah ramai di antara rakyat Malaysia yang tidak memahami “gist” perlembagaan telah mencetuskan kontroversi di laman-laman sosial seperti facebook / twitter / instagram mahupun youtube.

Hakikatnya, apa yang mereka mahu lakukan sekadar meraih populariti dan mendapatkan perhatian dan dengan itu boleh menjana kewangan mereka. Sebagai contoh peraih populariti yang menggunakan akaun YouTube, Twitter dan Facebook pastinya mengharapkan dengan mencetuskan kontroversi mereka akan mendapat beratus ribu subscriber ataupun 'like'.

Dari situ mereka boleh menjana RATUSAN ringgit disamping pengikut setia mereka.

Kebebasan Bersuara

Kebebasan bersuara ialah kebebasan menyatakan pandangan mahupun fikrah tanpa batas atau penapisan tentang apa yang ingin diperkatakan. Semua masyarakat mempunyai hak kebebasan bersuara tanpa mengira kaum atau pangkat dan sebagainya.

Kebebasan bersuara merupakan satu hak yang seseorang itu menyampaikan apa yang difikirkan, apa jua pandangannya mengenai sesuatu dan idea mengenai sesuatu sama ada melalui lisan, tulisan, slogan, lakonan ataupun ekspresi.

Ironinya, hak kebebasan bersuara tidak pernah bersifat mutlak di mana-mana negara sekalipun di dunia ini hatta di Amerika Syarikat dan lazimnya hak ini dihadkan.

Namun begitu, hak kebebasan bersuara diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR).

ICCPR mengiktiraf hak kebebasan bersuara sebagai "hak mendapatkan pendapat tanpa gangguan dan kesemua manusia akan mempunyai hak untuk menyatakan pendapat". Di Malaysia, perkara 10(1)(a) dari Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa ‘tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara’.

Malangnya, ramai di antara pendukung kebebasan bersuara ini gagal memahami impak yang berlaku dalam meraikan kelonggaran yang diberikan.

Lihat sahaja akhir-akhir ini, apabila kebebasan bersuara telah disalahgunakan di Malaysia, maka telah berlakulah keretakan perkauman apabila terdapat beberapa individu peraih populariti yang khilaf.

Mereka ini amat mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat menyebabkan berlakunya keretakan perpaduan. Lembaran sejarah telah membuktikan, kebebasan bersuara yang tidak rasional serta bersifat melulu juga menimbulkan pergaduhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 iaitu peristiwa ketidakpuasan kaum terhadap kaum lain di Malaysia.

Kebebasan penggunaan perkataan berunsur tidak sopan dan lucah jelas boleh menimbulkan pergaduhan dan hura hara di negara kita. Tidakkah kita belajar apa-apa dari sejarah?

Akta Keharmonian Kaum

Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak telah mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Keputusan untuk memansuhkan itu dibuat untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga Malaysia dan keperluan menangani masalah kemajmukan yang wujud di negara ini.

Melalui akta baru ini, beberapa perkara dari Akta Hasutan dikekalkan iaitu yang berkaitan dengan kuasa kerajaan dalam tiga perkara iaitu:

(a)Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;

(b)Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia dan

(c)Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan istimewa, kedaulatan atau keistimewaan sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh Peruntukan Bahagian III atau Perkara 152,153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk meneliti perkara ini. Pada dasarnya, Akta Keharmonian Nasional membawa pendekatan yang lebih longgar untuk rakyat melemparkan kritikan atau ketidakpuasan hati dengan syarat ia tidak membawa niat jahat dan menghasut.

Justeru, dengan jaminan kerajaan untuk mengekalkan kuasa bagi menghalang berlakunya ketegangan yang mungkin berpunca dari kelonggaran ini, tidak ada sebab untuk rakyat terus merasa musykil mengenai akta baru ini.

Tetapi yang menjadi persoalannya ialah sejauh manakah penguatkuasaan yang akan diambil untuk terus menjamin kebebasan bersuara ini kekal di samping mengukuhkan keharmonian kaum yang sedia ada.

Kesimpulan

Bekas Pengerusi Suhakam, Musa Hitam (2001) berpendapat bahawa tidak wujud apa yang dikenali sebagai kebebasan media yang mutlak. Beliau menyetujui kebebasan media harus diikat dengan tanggungjawab dalam menyampaikan laporan dan penghasilannya.

Jika media serta pengamalnya saling melagakan masyarakat yang berbilang kaum, maka penduduk di Malaysia akan berada dalam keadaan tidak aman serta rakyat akan menjadi keliru dan hidup dalam penuh kebencian.

Adakah maruah negara, bangsa dan agama merupakan satu benda remeh yang boleh dipermainkan oleh siapa sahaja untuk mencakna kebebasan bersuara?

Adakah ini yang kita mahukan, kebebasan tanpa batasan!

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri adalah Timbalan Pengarah, Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan