Artis Masuk Politik Janganlah ‘Buta’ Isu

Diterbitkan: Khamis, 25 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Penulis (kiri) bersma teman wartawan dalam satu temubual dengan  Aishah di Jempol pada 10 April lalu.
Penulis (kiri) bersma teman wartawan dalam satu temubual dengan Aishah di Jempol pada 10 April lalu.

ADOIII

BAHANG Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) semakin hangat dan membara. Para artis di kalangan yang menyokong pembangkang dan kerajaan juga pun dua kali lima sibuknya untuk turut membantu berkempen.

Saya tidak banyak peluang menyaksikan kempen-kempen politik tetapi ada juga berborak dengan beberapa rakan artis yang mendapat jemputan untuk menyertai kempen.

Seperti biasalah... masa inilah ahli-ahli politik kita akan menggunakan sepenuh tenaga para artis untuk “mengumpan” orang ramai agar datang ke kempen mereka.

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) juga sibuk dengan penganjuran konsertnya di beberapa lokasi tertentu untuk mengajak orang ramai agar menyokong Barisan Nasional (BN).

Begitu juga dengan artis-artis veteran kita juga sibuk dengan projek di beberapa lokasi panas di Kedah, bersama BN.

Ada seorang artis berkata kepada saya, syukurlah ada PRU-13 ni. Lepaslah juga sesak hujung bulan.

Maknanya sepanjang PRU-13 ini kalau tak ada undangan “show” pun tak jadi masalah kerana artis-artis kita tak akan “mati” kebuluran. Mereka masih ada wang yang dibayar sebagai upah mereka bekerja menyertai kempen.

Baguslah... itu semua rezeki. Bak kata pepatah, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Pada pendapat saya, tak kiralah parti politik mana sekali pun, kalau ada yang sanggup membayar, pergilah demi sesuap nasi.

Tetapi dengan satu syarat, aris-artis yang ikut berkempen itu haruslah ada pendirian masing-masing dan faham matlamat yang hendak mereka perjuangkan.

Saya dapati, kebanyakan artis kita “buta” isu terutamanya hal-hal politik. Kalau ada yang bijak pun, hanya boleh dikira dengan jari sahaja.

Daripada sudut ini sahaja kita boleh lihat bagaimana mentaliti dan corak pemikiran mereka. Artis kita tidak bijak sebenarnya dalam membawa dan menangani isu. Mereka hanya pandai menyanyi dan berlakon. Itu pun tak semua juga.

Selebihnya mereka tak tahu apa-apa. Kalau kita minta mereka beri komen mengenai isu semasa pun, ramai yang akan ternganga selain tidak mampu memberi pendapat yang bijak.

Saya berpeluang mengikuti kempen penyanyi Aishah, calon PAS bagi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada 10 April lalu.

Saya bertanya kepada Aishah, sekiranya dia terpilih sebagai Ahli Parlimen, apakah perkara yang hendak dia perjuangkan?

Kata Aishah, dia mahu memperjuangkan isu artis, hak-hak artis serta royalti artis. Ia merupakan isu utama yang hendak dibangkitkan atas kapasitinya sebagai seorang artis yang berhijrah (berubah imej).

Aishah akan menentang calon BN iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Saya juga bertanyakan soalan yang sama kepada penyanyi 80-an Dayangku Intan yang merupakan calon pilihan PKR bagi Parlimen Pengerang, Johor.

Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid akan menentang penyandangnya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Mohd Azaman Johari (Bebas).

Kata Dayangku Intan, pengalamannya dalam dunia artis, melihat bagaimana artis di negara ini hidup susah, antara agenda yang akan dia perjuangkan.

Dayangku Intan sama juga seperti Aishah yang mahu dunia artis diberi perhatian.

Kata Dayangku Intan, semasa dia susah, PKR-lah parti yang datang menolong. Sebab itulah di sokong PKR.

Artis-artis di negara ini hidup daif dan dia perlu mewakili suara mereka untuk memperjuangkan hak-hak itu di parlimen.

Saya nak senyum pun tidak mampu selepas mendengar jawapan itu. Adakah ia jawapan yang cerdik bagi seorang Ahli Parlimen sekiranya mereka bergelar Yang Berhormat (YB)?

Daripada apa yang diperkatakan itu saya melihat mereka adalah antara calon YB yang buta isu serta tidak faham peranan sebagai seorang wakil rakyat.

Isu artis adalah satu isu yang terpencil dan hanya untuk kepentingan satu kelompok sahaja iaitu golongan karyawan seni.

Kepada saya, tak perlu nak jadi Ahli Parlimen jika sekadar isu itu yang hendak diperjuangkan. Cukuplah menjadi Presiden Seniman atau pun Presiden Karyawan.

Malah isu berkenaan juga sudah dibawa oleh persatuan seni kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dan sebahagiannya sudah dilaksanakan.

Kedua-dua calon Ahli Parlimen itu seharunya melihat kepentingan yang lebih luas. Suara mereka itu mewakili seluruh rakyat Malaysia yang bukan sahaja di kalangan artis tetapi petani, tukang sapu sampah, pekerja kilang sehinggalah kepada profesional yang lain.

Sebagai contoh, angkatlah isu bagaimana hendak memperjuangkan hak-hak wanita, menghapuskan kes-kes sosial dengan pendekatan Islam seperti penderaan kanak-kanak dan isteri, kes-kes kelahiran anak luar nikah yang semakin meningkat serta menyalurkan bantuan kepada rumah-rumah perlindungan yang daif.

Contoh itu dilihat lebih luas, kuat serta berkepentingan untuk semua berbanding isu royalti dan kebajikan artis yang hanya untuk sekelompok kecil itu.

Dalam hal ini saya memuji calon Bebas bagi Parlimen Tanjong Karang iaitu penyanyi Herman Tino yang akan menentang penyandangnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (BN) dan Mohamad Rashdi Deraman (PAS).

Walaupun Herman Tino tidak malu untuk menyatakan dia hanya berpendidikan sehingga di peringkat menengah tetapi tiga manifestonya iaitu jambatan kasih sayang, perdamaian politik dan jaga harta benda adalah lebih luas fokusnya.

Dengan jujurnya kata Herman Tino dia mungkin tidak dapat menjanjikan pembangunan pesat di Tanjong Karang tetapi dia mahu membentuk masyarakat yang mampu hidup harmoni menerusi manifesto itu.

Berdasarkan kepada apa yang saya perjelaskan, dapatlah kita bayangkan artis kita sebenarnya belum bersedia untuk bergelar ahli politik.

Mereka hanya digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk meraih publisiti atau populariti berdasarkan kedudukan mereka sebagai individu yang dikenali.

Kata teman saya dalam pojoknya, artis kita mungkin hendak menjadi seperti bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada dan bekas Presiden Amerika Syarikat iaitu Ronald Reagan yang merupakan seorang pelakon sebelum diangkat memegang kuasa negara.

Sayangnya semasa Reagan menjadi pelakon, apakah filem-filemnya yang hebat? Begitu juga Joseph Estrada yang hanya diminati oleh mereka berkasta rendah.

Mereka bernasib baik kerana populariti tetapi gagal dalam dunia seni.

Akhirnya apakah yang terjadi? Kedua-dua contoh pemimpin ini terpaksa menerima hakikat ditolak oleh rakyat.

NIEZAM: Pilih pemimpin yang bijak dan tinggi agamanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan