Fokus Calon PKR: Dua Nama Wajar Diberi Perhatian Di S’gor - Dr Aziz Bari di Sabak Bernam dan Khalid Jaafar Di Hulu S’gor

Diterbitkan: Isnin, 15 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Aziz Bari
Dr Aziz Bari

“Saya cabar Aziz (Bari) bertanding pilihan raya di Kulim-Bandar Baharu atau di mana-mana kawasan yang dia suka jika benar dia mahu menjadi ahli politik. Dia mesti berani meletak jawatan sebagai ahli akademik dan bertanding atas nama parti apa sekali pun.

“Saya tiada halangan dan bersedia menanti Aziz bertanding pada pilihan raya akan datang. Dia akan tahu untung nasibnya dan boleh balik ke kampungnya di Sabak Bernam,” demikian kata bekas ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkfili Noordin sebagaimana yang tersiar dalam akhbar Berita Harian pada 18 Oktober 2011.

Hakikatnya, 18 bulan kemudian, Dr Aziz Bari, bekas profesor undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa benar-benar diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk kerusi Parlimen Sabak Bernam mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedangkan Zulkifli masih belum diketahui duduk letak dirinya di mana.

Zulkifli membuat cabaran itu ekoran kenyataan-kenyataan Dr Aziz berhubung institusi raja-raja yang disifatkan sebagai tidak wajar dan juga kecenderungan fahaman politiknya.

Kini seluruh negara ternanti-nanti apakah Zulkifli akan menelan cabarannya itu atau benar-benar akan turun bertanding di Sabak Bernam sebagaimana yang dicabarnya 18 bulan yang lalu kerana nampaknya Dr Aziz telah menunjukkan kejantanannya dengan menyahut cabaran tersebut. Setakat ini Zulkifli diam membisu.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak pada malam Ahad (14 Apr) berhubung senarai calon-calon parti itu untuk kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di Selangor, terdapat dua nama yang wajar diberi perhatian.

Pertama ialah Aziz Bari dan kedua ialah bekas setiausaha akhbar Anwar sendiri iaitu Khalid Jaafar.

Buat Aziz Bari, ini adalah pilihan raya umumnya yang pertama sebagai calon setelah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam dunia akademik sedangkan Khalid Jaafar adalah seorang veteran dengan pengalaman tiga kali bertanding dalam pilihan raya umum.

Menariknya, kedua-dua mereka adalah muka baru yang diperkenalkan di Negeri Selangor.

Pencalonan Aziz untuk bertanding di kerusi itu adalah sesuatu yang natural. Pertama, beliau berasal dari Sabak Bernam. Kedua, Ketua PKR Cabang Sabak Bernam, Dr Badrolamin Baharon berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman dan peribadi yang menyukarkan pucuk pimpinan parti itu untuk mencalonkannya semula.

Ketiga, PKR melihat peluang mereka untuk merampas kerusi Sabak Bernam jauh lebih cerah kali ini kerana bekas wakil rakyat kawasan itu, Abdul Rahman Bakri dari Barisan Nasional (BN) telah didapati bersalah kerana membuat tuntutan palsu dan dihukum penjara enam tahun serta denda RM400,000 baru-baru ini.

Makna kata, BN akan berhadapan dengan cabaran yang sangat besar untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pengundi dan PKR mahu mencuri peluang tersebut dengan meletakkan seorang calon yang bukan sahaja tidak tercalar dari segi moral malah bersih daripada sebarang isu rasuah atau salah guna kuasa.

Keyakinan Dr Aziz dan PKR juga bersandarkan hakikat bahawa pada pilihan raya yang lalu, Abdul Rahman hanya menang dengan majoriti 1,335 undi sahaja.

Abdul Rahman memperolehi 12,055 undi manakala calon PKR iaitu Badrulamin Bahron memperolehi 10,720 undi.

Terdapat 37,000 pengundi di kawasan parlimen itu dengan 83% adalah pengundi Melayu, Cina (12%) dan selebihnya pengundi keturunan India.

Seorang lagi calon PKR Selangor yang akan menarik perhatian ramai ialah pencalonan bekas setiausaha akhbar Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dahulu iaitu Khalid Jaafar, 58.

Khalid adalah orang Melaka. Beliau telah bertanding tiga pilihan raya sejak 1999 di negeri kelahirannya sendiri iaitu di Batu Berendam dan Bukit Katil tetapi kalah kesemuanya. Kali ini, beliau telah diumumkan sebagai calon PKR untuk kerusi parlimen Hulu Selangor.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (think tank PKR) itu pertama kali bertanding atas tiket PKR ialah pada pilihan raya umum 1999 menentang veteran Umno, Tun Abdul Ghafar Baba untuk kerusi Parlimen Batu Berendam dan tewas dengan majoriti 7,105 undi.

Kemudian pada pilihan raya 2004 Parlimen Batu Berendam telah dipecah dua ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya menjadi Bukit Katil dan Tangga Batu.

Khalid bertanding untuk kali yang kedua dan kali ini di Bukit Katil - menentang Datuk Mohd Ruddin Abdul Ghani. Beliau tewas teruk. Mohd Ruddin menang dengan majoriti 27,252 undi.

Dan pada pilihan raya yang lalu, beliau sekali lagi turun di gelanggang yang sama dan tewas untuk kali yang ketiga - kali ini di tangan Datuk Md Sirat Abu. Tetapi kali ini kalah tipis - hanya 1,758 undi sahaja.

Selepas tiga kali bertanding di Melaka, kenapa kali ini beliau memilih Selangor?

Ini ada kaitan dengan situasi semasa. Beliau telah menetap di Bukit Beruntung sudah lebih 10 tahun dan sejak April 2011, telah dilantik sebagai kordinator untuk kawasan Batang Kali untuk memastikan polisi negeri dilaksanakan di daerah itu.

Hulu Selangor mempunyai 83,000 pengundi dan separuh daripadanya bermastautin di daerah Batang Kali manakala 20,000 lagi pengundi tertumpu di Kuala Kubu Baru dan lagi 20,000 di Ulu Bernam.

Khalid dan PKR melihat beliau mempunyai peluang yang lebih cerah jika diletakkan bertanding menentang penyandang kerusi itu, wakil BN dari MIC iaitu P Kamalanathan.

Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 selepas kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abiden Ahmad dengan menewaskan Datuk Zaid Ibrahim (PKR).

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan