Menarik ke Hua Hin? Ketahui 5 tarikan destinasi pilihan keluarga diraja Thailand ini - Cerita | mStar

Menarik ke Hua Hin? Ketahui 5 tarikan destinasi pilihan keluarga diraja Thailand ini

Diterbitkan: Rabu, 24 Oktober 2018 9:00 AM

Dibina ketika pemerintahan Raja Rama IV, stesen kereta api ini merupakan salah satu stesen tertua dan tercantik di Thailand.

(Ubah saiz teks)

HUA HIN, Thailand, memang benar tidak sepopular Bangkok, Phuket, Krabi mahupun Chiang Mai. Namun, destinasi percutian ini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia setelah penerbangan tambang murah, AirAsia memperkenalkan perjalanan terus ke daerah ini.

Apa istimewanya Hua Hin? Terletak kira-kira tiga jam pemanduan dari kota Bangkok, Hua Hin sebenarnya destinasi percutian hujung minggu kegemaran keluarga diraja Thailand, mahu pun penduduk Bangkok. Jika hujung minggu ataupun hari-hari cuti kelepasan am, Hua Hin pasti akan dibanjiri oleh pengunjung tempatan.

Dek kerana itulah, banyak hotel-hotel bertaraf antarabangsa boleh ditemui di sini. Begitu juga dengan hotel-hotel bajet. Di malam hari, meski pun tidak ‘sehidup’ Bangkok, Hua Hin menjadi lebih hidup dengan adanya pasar malam atau 'night market' yang menawarkan pelbagai produk tempatan.

Stesen Keretapi yang menjadi ikon pelancongan di Hua Hin.

Tidak ketinggalan, deretan restoran yang menyajikan makanan laut terbaik.

Bagi yang sedang berkira-kira untuk membawa keluarga bercuti penghujung tahun ini, mungkin boleh mempertimbangkan Hua Hin sebagai lokasi percutian seterusnya.

Percayalah anda tidak akan menyesal. Selain boleh menikmati keindahan pantai atau membeli-belah, anda juga boleh habiskan masa dengan mengunjungi tarikan-tarikan lain yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

Berikut ini beberapa tarikan di Hua Hin. Setiap lokasi ada keistimewaan tersendiri.

1. Stesen Keretapi Hua Hin

Ikon pelancongan ini mesti dikunjungi jika sudah menjejakkan kaki di Hua Hin. Dibina ketika pemerintahan Raja Rama IV, stesen ini merupakan salah satu stesen kereta api tertua dan tercantik di Thailand. Seni binanya terinspirasi dari Mrigadayavan Palace yang terletak di Cha Am, daerah Petchaburi. Tarikan utama di stesen ini ialah Bilik Menunggu Diraja yang sehingga kini masih digunakan oleh kerabat diraja.

Rantai kunci dan penanda buku yang boleh ditulis nama juga dijual di Cicada Market.

Stesen keretapi ini sentiasa dipenuhi pelancong, terutamanya di hujung minggu. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar bagi dijadikan kenang-kenangan. Berhadapan stesen keretapi ini terdapat sebuah muzium yang menempatkan sejarah pembinaan stesen ini. Jika punya masa, boleh ambil trip semalam ke Bangkok dari sini.

2. Hua Hin Night Market

Pasar malam ini terletak di sepanjang Petchkasem Road. Dibuka dari pukul 6 petang hingga lewat malam, di sini anda boleh membeli ole-ole untuk dibawa pulang serta menikmati pelbagai jenis makanan tempatan yang membuka selera seperti pulut mangga, mangga kering, pulut ayam dan juga ais krim kelapa ala-ala Sangkaya.

Pemandangan matahari terbenam yang memukau pandangan.

Selain itu terdapat juga deretan restoran makanan laut. Cuma tidak ada yang berstatus halal kerana restoran-restoran ini menghidangkan arak kepada pengunjung. Jika anda tidak kisah, boleh mencuba makanan laut di sini kerana selain dijual dengan harga murah, rasanya juga sangat enak.

3. Cicada Market

Jika anda berada di Hua Hin pada hujung minggu, jangan sesekali lepaskan peluang ke Cicada Market. Terletak di Khao Takieb – Hua Hin Road, night market ini sangat menarik untuk dikunjungi.

Merupakan singkatan dari Community of Identity Culture Arts & Dynamics Activities, pasar seni yang merupakan tempat berkumpul bagi bakat-bakat kreatif ini menjual berbagai produk yang lain daripada lain. Apa yang ada di Cicada Market tidak terdapat di Hua Hin Night.

Antara produk yang boleh dibeli di Cicada Market.

Barangan di sini unik dan istimewa. Jadi, kalau sudah berkenan dengan produk yang terjual di sini, jangan banyak fikir, beli sahaja. 

Takut nanti terkilan kerana tidak boleh didapati di tempat lain.

Selain itu terdapat juga kedai yang menjual makanan halal yang menjual ‘signature dishes’ Thailand seperti phad Thai, seafood bakar, tomyam, pulut mangga, ais krim kelapa, dan banyak lagi. 

4. Hua Hin Beach

Pantai Hua Hin tidak kurang hebatnya. Pemandangannya cantik dan banyak aktiviti pantai dan laut yang boleh dilakukan. Membina istana pasir bersama anak-anak pasti menyeronokkan. Selain itu, ada juga aktiviti pantai lain yang ditawarkan oleh operator pantai seperti menaiki jet ski, banana boat dan parasailing.

Hua Hin merupakan percutian tepi pantai yang cukup popular di kalangan penduduk Thailand.

Satu lagi aktiviti yang sangat menarik untuk diikuti ialah menunggang kuda, dengan bayaran THB$300 (RM37.90) anda akan dibawa bersiar-siar sepanjang pantai selama 30 minit.

Alang-alang sudah sampai di sini, jangan sesekali lepaskan peluang untuk menikmati keindahan matahari terbit (sunrise). Magik alam ini cukup mempesona. Sesekali apa salahnya korbankan waktu tidur untuk merakam keindahan alam ini. Percayalah anda akan berasa cukup bahagia dan bertuah.

5. Mrigadayavan Palace

Mrigadayavan Palace yang terletak kira-kira setengah jam dari pusat bandar ini juga tidak kurang menarik untuk dikunjungi. Istana yang dibina sekitar tahun 1923 - 24 untuk Raja Rama VI (memerintah 1910 - 1925) ini direka oleh seorang arkitek Itali.

Mrigadayavan Palace yang menampilkan gabungan senibina Eropah dan Thailand.

Merupakan Istana tepi pantai yang dikenali sebagai The Palace of Love kerana ketika itu Raja Rama VI sangat berharap akan memperolehi zuriat sebagai pewaris takhta. Istana ini sudah tidak digunakan lagi dan kini dibuka kepada orang ramai untuk melihat keindahan senibinanya.

Caj masuk ke sini ialah THB30 (RM3.80).

Perlu diingatkan anda hendaklah berpakaian sopan. Pengunjung yang berseluar pendek atau memakai skirt pendek akan diberikan kain sarung untuk dipakai. Begitu juga dengan mereka yang memakai baju terdedah, ada baju yang perlu disarung sebelum masuk ke kawasan istana.

Tags / Kata Kunci: Hua Hin , jelajah #mstarjelajah
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan