"Cantik, penuh misteri! Patutlah pengarah Kong: Skull Island pilih Quang Binh, Vietnam" - Cerita | mStar

"Cantik, penuh misteri! Patutlah pengarah Kong: Skull Island pilih Quang Binh, Vietnam"

Diterbitkan: Khamis, 27 September 2018 10:09 AM

Set penggambaran 'Kong:Skull Island' yang masih terjaga rapi menjadi spot kegemaran pengunjung untuk mengambil gambar.

(Ubah saiz teks)

MEMASUKI bulan Oktober, pasti ramai yang sudah mula merancang untuk menghabiskan cuti tahunan yang masih berbaki. Jika poket tebal, bolehlah mengintai ke lokasi yang tukaran mata wangnya lebih tinggi seperti, Paris, London, Amsterdam atau Venice.

Bagi yang punya bajet agak terhad, pilih sahaja destinasi dalam negara atau Asia untuk bercuti. Contohnya Hanoi, Vietnam. Destinasi yang terkenal dengan Halong Bay ini punya pelbagai tarikan lain yang semestinya menjanjikan keseronokan.

Banyak pakej percutian yang boleh anda pilih jika ke Hanoi. Cuma perlu berhati-hati dan tahu gaya percutian yang anda mahukan. Seperti di kebanyakan negara Asia, memang banyak ‘travel scammer’ di Hanoi.  Nak selamat, rujuk dulu laman web TripAdvisor sebelum menempah mana-mana pakej percutian. 

Trip ini memberi peluang peserta berbasikal kira-kira 12 kilometer.

Salah satu pakej yang berbaloi untuk diikuti ialah pakej Citadel, Karst And Cycles yang mengambil masa sehari suntuk. 

Trip berharga USD75 (RM310) ini memberi kepuasan kepada mereka yang mahu melihat keindahan bumi Vietnam. 

Biar pun perlu berbasikal kira-kira 12 kilometer selama 30 minit, namun hamparan landskap yang menghijau serta keunikan bukit-bukau batu kapur di sepanjang trek cukup mengasyikkan.

Malah, peluang menelusuri jalan-jalan di perkampungan tradisional juga cukup menarik. Senyuman dan lambaian mesra daripada penduduk kampung mengalu-alukan kehadiran anda di tanah tumpah darah mereka.

Aktiviti utama trip ini pastinya aktiviti menaiki sampan di daerah Quang Binh, Vietnam yang menjadi latar filem Kong : Skull Island. Mengambil masa kira-kira tiga jam setengah, aktiviti ini seakan-akan membawa pengunjung ke satu alam berbeza.

Pemandangan alam yang pastinya mengasyikkan sepanjang trek berbasikal.

Magik alam memberi pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Sepanjang perjalanan menyusuri sungai, mata terpukau dengan keindahan alam ciptaan tuhan.

Tidak keterlaluan jika digambarkan ia seperti mengembara ke dunia yang berbeza. Sementara tangan tidak berhenti-henti menekan butang kamera bagi merakam memori.

“Patutlah pengarah Jordan Vogt-Roberts memilih lokasi ini. Bukan sahaja cantik, tetapi penuh misteri!” itu kata-kata yang bermain di fikiran penulis.

Selesai mengintai ke beberapa buah gua, pengunjung dibawa ke set perkampungan orang asli yang menjadi tempat perlindungan watak-watak utama daripada diserang oleh makhluk-makhluk berbahaya di Skull Island. 

Perkampungan Orang Asli yang menjadi latar filem Kong - Skull Island

Biarpun penggambaran telah lama tamat, perkampungan ciptaan pengarah ini masih terjaga rapi. Siapa sangka keputusan pihak berwajib Vietnam mengekalkan lokasi penggambaran ini membuahkan hasil kepada industri pelancongan tempatan.

Siapa yang tidak teruja melihat sendiri lokasi penggambaran filem yang dibintangi oleh Samuel L Jackson, John Goodman, Tom Hiddleston dan Brie Larson ini bukan?

Terdapat lebih dari 10 buah ‘rumah’ orang asli yang didirikan. Selain itu ada juga kemudahan tandas bagi pengunjung yang mahu menggunakannya. Alatan-alatan yang digunakan juga masih terjaga rapi oleh pihak bertanggungjawab. 

Tambah menarik, ada penduduk kampung yang lengkap berpakaian seperti di dalam filem menyambut kehadiran anda.

Ninh Binh di Vietnam merupakan salah satu tarikan lokasi penggambaran Kong: Skull Island. Foto: Chong Ying Fang.

Jadi, bolehlah bergambar untuk dijadikan kenangan. Tapi, perlu diingatkan, sedikit sumbangan perlu dihulurkan selepas anda bergambar bersama mereka. Pendek kata, ia bukannya percuma.

Apa salahnya bukan? Lebih-lebih lagi sumbangan yang diberikan adalah untuk menampung kos penyelenggaran set penggambaran ini.

Untuk maklumat lanjut tentang trip ini, boleh hubungi Urban Advantures.

Tags / Kata Kunci: Hanoi , #mstarjelajah , vietnam , travel
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan