Perghh...sedapnya makanan tempatan Maghribi! - Cerita | mStar

Perghh...sedapnya makanan tempatan Maghribi!

Diterbitkan: Rabu, 19 September 2018 9:00 AM

Pelbagai jenis sosej dijual di pasar malam.

(Ubah saiz teks)

MENIKMATI masakan tempatan menjadi kemestian setiap kali keluar menggembara terutama di negara Islam yang makanannya tidak diragui status halalnya.

Antara negara yang mempunyai juadah yang unik dan enak adalah Maghribi.

Kepelbagaian juadah yang dihidang dan dijual di negara itu disebabkan pengaruh budaya masyarkat Berber, Arab, Perancis dan Yahudi.

Penggunaan daging dan kambing sebagai asas masakan serta ditambah dengan pelbagai rempah ratus serta minyak zaitun serta sayuran segar, menambah keunikan dan keenakan juadah negara ini.

Mari kita tengok juadah yang boleh dicuba jika berada di Maghribi.

Tajin dimasak dalam periuk tanah liat

Tajin adalah masakan tradisi di Maghribi. Ia diambil nama sempena periuk tanah liat yang dikenali sebagai tajin.

Tajin ayam yang dimasak dengan minyak zaitun.

Periuk unik itu direka dengan penutup berbentuk piramid. Rekaan itu membolehkan aroma masakan menyerap di dalam ayam atau kambing yang dimasak dengan minyak zaitun serta rempah ratus.

Ayam atau kambing bagi masakan tajin biasanya dimasak sekali dengan kentang dan lobak merah.

Dimakan bersama roti atau tepung suji atau couscous yang dikukus, tentunya membuka selera dan sesuai untuk dimakan waktu tengahari hari atau makan malam.

Di mana-mana saja, pelancong boleh mendapatkan masakan tajin ini kerana dijual di restoran dan gerai tepi jalan.

Periuk tajin sebagai cenderahati atau digunakan untuk memasak.

Periuk tajin juga boleh dibawa pulang sebagai cenderahati atau digunakan untuk memasak.

Ingatkan pasta, rupanya pai daging merpati

Kali pertama penulis berkunjung ke negara ini , kami memesan masakan yang dinamakan Pastila kerana menyangkakan ia seumpama pasta.

Tetapi sebaik tiba juadah itu di meja makan, barulah kami tahu ia adalah pai daging merpati.

Lebih menggelikan hati, pelancong di meja sebelah juga memesan juadah sama kerana menyangkakan ia pasta.

Sebaik disuap ke dalam mulut, Pastila mempunyai rasa kombinasi manis dan berempah. Ini kerana di atas pastrinya ditaburkan gula halus.

Bukan saja daging merpati, ada juga Pastila menggunakan
daging ayam sebagai intinya.

Walaupun, rasanya agak berbeza daripada pai yang sering disajikan di kedai di Malaysia, tidak rugi untuk mencuba.

Sosej berempah pembuka selera


Brochettes ini adalah sosej ayam, daging atau kambing yang diadun dengan rempah menambahkan keenakannya.

Dibakar dengan arang tentunya menambahkan keenakannya.

Brochettes ini banyak dijual di gerai jalanan dan pasar malam terutama di Dataran Jemaa El Fna.

Memang enak makan panas-panas sambil duduk di meja yang disediakan dengan kepulan asap dari arang yang dibakar untuk memasak sosej ini.

Sup siput legakan selesema dan demam

Sup siput banyak dijual terutama di kawasan pasar di seluruh Maghribi. Enak dimakan di musim sejuk kerana ia direbus dengan halia dan sarat rempah sesuai untuk merawat demam dan masalah penghadaman.

Sup siput banyak dijual di pasar Casablanca.

Tetapi bagi yang geli kerana rupanya seakan akan siput babi tentunya menolak untuk mencuba walaupun harganya semangkuk agak murah.

Roti canai ala Maghribi, tak cukup sekeping!


Roti Msemen atau dikenali sebagai Rghaif atau Mlawi ini boleh didapati di pasar Fes. Ia diadun meggunakan tepung gandum dan minyak zaitun.

Rupanya seperti roti canai tetapi nipis dan sangat besar serta lembut.

Ia dimasak di atas tungku batu yang dibakar dari bawah. Dimakan begitu saja untuk sarapan atau minum petang, keenakan roti ini boleh menyebabkan kita teringat-ingat sekembali ke tanah air.

Kepala kambing kukus atau bakar

Memang agak unik apabila melihat gerai menjual kepala kambing kukus atau bakar. Walaupun agak pelik tetapi sekali cuba, tentunya nak cuba lagi.

Bahagian pipi kambing dan daging di sekitar tengkoraknya dengan hanya dicicah dengan jintan putih dan garam kasar, benar benar terasa keenakannya.

Nah, apa lagi jika berpeluang berkunjung ke negara sarat budaya dan keindahan landskapnya ini, jangan lepaskan peluang mencuba masakan dan juadah tempatan yang sangat enak dan sihat serta bahan yang digunakan segar.

Tags / Kata Kunci: melawat Maghribi , halal , makanan Magribi
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan