Taman Tema Shinhwa di Jeju 'syurga' kanak-kanak, cas adrenalin pengunjung dewasa - Cerita | mStar

Taman Tema Shinhwa di Jeju 'syurga' kanak-kanak, cas adrenalin pengunjung dewasa

Diterbitkan: Selasa, 18 September 2018 10:10 AM

Satu-satunya taman tema yang menampilkan karakter animasi 3D popular Larva, Wingcle Bear, Buck, dan Oscar.

(Ubah saiz teks)

BANYAK orang banyak ragam. Ada yang melancong kerana gemar melihat keunikan budaya setiap negara, ada yang mahu menikmati hidangan tempatan yang menambat selera, malah ada juga yang punya misi untuk menjejak taman tema yang digemari.

Universal Studio, Disneyland merupakan dua taman tema yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Buat yang fanatik dengan taman tema, kesempatan berhibur di kedua-dua taman tema ini merupakan satu pencapaian yang memuaskan hati. Bahkan, ramai juga yang berasa bangga kerana senarai teman tema yang berjaya dijejaki telah bertambah.

Tapi, pernahkah anda dengar tentang Shinhwa Theme Park? Taman tema yang terletak di Pulau Jeju, Korea Selatan ini mula beroperasi pada 30 September 2017 dan ia menjanjikan keunikan yang tidak ada di tempat-tempat lain.

Kalau Disneyland boleh berbangga dengan Mickey Mouse, Snow White dan Shrek, Shinhwa Theme Park yang dibangunkan dengan kerjasama TUBAn, salah satu syarikat animasi utama Korea, ini mempertaruhkan karakter animasi 3D popular seperti Larva, Wingcle Bear, Buck, dan Oscar.

Dancing Oscar, satu-satunya roller coaster yang ada di Pulau Jeju.

Karektor-karektor ini mungkin tidak begitu dikenali oleh golongan dewasa di Malaysia, tetapi jika anda punya anak, mereka pasti pernah ketawa melihat aksi lucu si Larva Kuning dan Merah.

Animasi tanpa dialog ini memperlihatkan aksi-aksi mencuit hati dua ekor larva ini bersama teman-teman dan juga musuh mereka. Bukan hanya mengundang tawa kanak-kanak, malah golongan dewasa juga akan ketawa berdekah-dekah.

Terletak di dalam kawasan Jeju Shinhwa World, Seogwipo-si, perjalanan ke taman tema ini mengambil masa kira 45 minit ke satu jam pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju.

Terbahagi kepada tiga zon, Larva's Adventure Village, New World Oscar dan Rotary Park, terdapat 15 permainan yang boleh dicuba.

Keriangan berterusan di di Larva Adventure Village.

Tidak ketinggalan, pameran bertema dan juga persembahan secara langsung secara berjadual.

Jadi, apa permainan yang mesti dicuba?

Untuk golongan dewasa, ada beberapa permainan yang mengundang letusan adrenalin. Pertama, jangan lepaskan Oscar ‘s Spin ‘N Bump yang terdapat di Oscar’s New World.

Permainan ini walaupun nampak macam biasa-biasa sahaja, namun pengalamannya cukup berbeza apabila mencubanya sendiri. Saat tubuh melambung tinggi di udara memang terasa kecut perut.

Tak mustahil ada yang memejam mata sepanjang masa. Tapi awas! Mereka yang berpenyakit jantung, hamil atau mempunyai darah tinggi tidak dibenarkan menaiki Oscar ‘s Spin ‘N Bump.

Oscar ‘s Spin ‘N Bump mesti cuba jika sukakan ketinggian dan kelajuan.

Satu lagi tarikan yang mesti dicuba di zon ini ialah Dancing Oscar. Roller Coaster yang satu-satunya di Pulau Jeju ini merupakan tarikan yang paling popular. Ketika meluncur laju, ambil peluang menjerit sekuat hati. Luahkan apa yang terbuka di hati. Sekurang-kurangnya hilang tekanan yang disimpan selama ini.

Menjeguk ke Larva’s Adventure Village, zon ini sebenarnya menempatkan permainan-permainan yang lebih sesuai untuk kanak-kanak.

Bagaimanapun, ada permainan yang masih boleh dicuba oleh golongan dewasa iaitu Flying Larva. Permainan berbentuk sebuah Carousel ini membuai laju sehingga diri terasa terbang melayang.

Bagi yang kurang berani , bolehlah mencuba Larva’s Space Adventure. Permainan menembak ini memerlukan pengunjung memakai kaca mata 3D dan menembak musuh di paparan skrin besar.

Selain itu, terdapat juga skrin besar yang memainkan episod-episod animasi Larva. Kanak-kanak pasti terleka dibuatnya. Jadi ibu bapa apa lagi? Curi masa untuk berehat seketika.

Taman tema ini bagaikan 'syurga' untuk kanak-kanak.

Maklumlah bukan mudah membawa anak-anak kecil ke taman tema. Pasti memenatkan, lebih-lebih lagi jika anak-anak aktif berlari ke sana-sini.

Sambil berehat, hiburkan hati dengan aksi Larva Kuning dan Merah yang mencuit hati.

Selain permainan yang disebutkan di atas, sebenarnya masih banyak lagi tarikan yang boleh dicuba. Antaranya ialah Larva Space Adventure, Larva Sweet Carousel, Flying Whirl, Bumping Tube Car dan Dancing Oscar.

Seperti taman-taman tema lain, di sini anda juga berpeluang untuk bergambar dengan karektor-karektor animasi yang akan menyapa kedatangan pengunjung.

Biarpun saiz taman tema ini tidak seluas Taman Tema Universal Studio atau Disneyland, tetapi percayalah anda memerlukan masa sehari suntuk di sini untuk mencuba semua tarikan yang ada.

Jadi tunggu apa lagi? Jika tiket penerbangan ke Pulau Jeju sudah dibeli, apa kata masukkan Shinhwa Theme Park dalam senarai lokasi yang ingin dilawati.

Tiket untuk dewasa berharga 39,000 Won (RM143.95) dan untuk kanak-kanak berharga 35,000 Won (RM129.20).

Taman tema ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6.00 petang pada setiap hari.

Jika punya masa, boleh juga berhibur di Shinhwa Water Park dan Transformers Autobots Alliance yang terletak di dalam komplek yang sama.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan