Pendaratan sukar dilupakan jika anda mendarat di 20 lapangan terbang paling indah di dunia ini! - Cerita | mStar

Pendaratan sukar dilupakan jika anda mendarat di 20 lapangan terbang paling indah di dunia ini!

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2018 9:00 AM

Lapangan Terbang Wilkins Runway, Antartika turut tersenarai dalam 20 lapangan terbang paling indah di dunia. -foto: AP

(Ubah saiz teks)

SETIAP kali bercuti ke destinasi-destinasi pelancongan di seluruh dunia, perkara pertama yang perlu ada tempuhi adalah lapangan terbang.

Walau hanya sekadar menjadi lokasi persinggahan sebelum anda memulakan penerokaan, lapangan terbang yang indah pastinya akan memukau pandangan mata anda.

Berikut 20 lapangan terbang paling indah di dunia.

1. Lapangan Terbang Paro, Bhutan

Terletak di Himalaya, lapangan terbang ini menawarkan pemandangan rumah-rumah kecil yang didirikan di kaki bukit.

Biarpun agak sukar untuk juruterbang melakukan pendaratan, panorama air berwarna biru di sungai Paro dan kehijauan persekitaran pastinya menghilangkan debaran penumpang sewaktu mendarat di sana.

Lapangan Terbang Paro, Bhutan

2. Lapangan Terbang Princess Juliana, Sint Maarten

Landasannya terletak beberapa kaki sahaja dari laut, lantas menjadikan ia agak unik dan menakutkan sebenarnya.

Lapangan Terbang Princess Juliana, Sint Maarten

3. Lapangan Terbang Antarabangsa Malé, Maldives

Lapangan terbang yang terletak di Pulau Hulhulé ini menawarkan pemandangan menakjubkan gugusan kepulauan yang terletak di Lautan Hindi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Malé, Maldives

4. Lapangan Terbang Antarabangsa Cristiano Ronaldo, Portugal

Terletak di Madeira, ia dikelilingi banjaran gunung dan lautan indah.

Namun, ia seringkali memberi kegusaran kepada juruterbang kerana cuaca di kawasan itu yang sentiasa tidak menentu.

Ia dinamakan sempena pemain bola Cristiano Ronaldo.

5. Lapangan Terbang Barra, Scotland

Mula dibuka pada 1936, ia merupakan satu-satunya lapangan terbang yang menggunakan pantai sebagai landasan.

Lebih unik, waktu penerbangan pula berubah-ubah mengikut arus air di pantai itu.

Lapangan Terbang Barra, Scotland

6. Lapangan Terbang Courchevel Altiport, Perancis

Hanya juruterbang yang berkemahiran tinggi sahaja dibenarkan untuk melakukan pendaratan di sini kerana mereka perlu melewati lembah yang curam dan pergunungan yang sangat mencabar.

Lapangan Terbang Courchevel Altiport, Perancis

7. Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran, Nevada, Amerika Syarikat

Yang paling menarik pastinya penumpang pesawat akan menyaksikan cahaya yang menerangi Las Vegas sewaktu menghampiri lapangan terbang ini.

Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran.

8. Lapangan Terbang Wilkins Runway, Antartika

Biarpun kelihatan indah, lapangan terbang ini tidak dibuka untuk penerbangan komersial sebaliknya hanya untuk tujuan ekspedisi saintifik sahaja.

9. Lapangan Terbang Nice Côte d'Azur, Perancis

Sewaktu berada di sini, penumpang pesawat bakal disajikan dengan pemandangan indah di sekitar perairan French Riviera.

Lapangan Terbang Nice Côte d'Azur

10. Lapangan Terbang London City, England

Lapangan terbang ini menawarkan panorama kota London seperti roda feris gergasi London Eye, Big Ben dan Queen Elizabeth Olympic Park.

11. Lapangan Terbang Jackson Hole, Wyoming, Amerika Syarikat

Terletak di Taman Negara Grand Teton, ia menyajikan keindahan Gunung Teton yang diselaputi salji sekali gus memberi satu pengalaman penerbangan yang tidak boleh dilupakan oleh penumpang.

Lapangan Terbang Jackson Hole

12. Lapangan Terbang Gustaf III, Saint Barthélemy

Landasan lapangan terbang ini hanyalah sepanjang 650 meter sahaja. Biarpun penerbangan di situ agak terhad, panorama indah laut yang berwarna biru firus pastinya bakal memukau pandangan mata anda.

Lapangan Terbang Gustaf III

13. Lapangan Terbang Queenstown, New Zealand

Ia sememangnya dikenali ramai kerana keindahannya.

Malah, Tasik Hayes dan lembah Sungai Kawarau serta gunung yang diselaputi salji menjadi paparan utama saat pesawat mendekati lapangan terbang itu.

14. Lapangan Terbang Antarabangsa Gibraltar

Terletak 1,312 kaki sahaja dari pusat bandar Gibraltar, landasan lapangan terbang ini terletak begitu hampir dengan jalan darat yang sesak dengan kenderaan orang awam.

15. Lapangan Terbang Skiathos, Greece

Sewaktu mendarat, anda bakal terpesona dengan pemandangan indah termasuklah bot-bot yang lalu lalang di sekitar lapangan terbang itu.

Lapangan Terbang Skiathos

16. Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Jepun

Dibina di pulau buatan manusia di Teluk Osaka, ia bersambung dengan kawasan darat menerusi jambatan sepanjang 2.9 kilometer. Yang menjadi tumpuan tentunya keindahan air laut yang berwarna biru di sekitar kawasan itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai

17. Lapangan Terbang Juancho E. Yrausquin, Saba

Dikenali sebagai lapangan terbang yang memiliki landasan paling pendek di dunia (396 meter), ia dikelilingi lautan Caribbean dan hanya digunakan oleh pesawat kecil dan helikopter.

18. Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Thailand

Kehijauan yang ada di sekeliling lapangan terbang ini menjadi tarikan utama dan pastinya menyejukkan mata penumpang saat pesawat mendekati lokasi ini.

19. Lapangan Terbang Billy Bishop Toronto City, Kanada

Kombinasi bangunan pencakar langit yang megah berdiri serta keindahan alam semulajadi menjadikan pengalaman mendarat di lapangan terbang ini sesuatu yang unik dan sukar untuk dilupakan.

Lapangan Terbang Billy Bishop Toronto City

20. Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town, Afrika Selatan

Sewaktu pesawat menghampiri lapangan terbang ini, penumpang bakal disajikan dengan panorama indah Gunung Table. - MSN

Tags / Kata Kunci: lapangan terbang , indah
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan