Aksi memukau, energetik, puas hati tengok The Moscow Circus! - Cerita | mStar

Aksi memukau, energetik, puas hati tengok The Moscow Circus!

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2018 9:09 AM

Persembahan penuh memukau yang menjanjikan kepuasan buat setiap penonton yang hadir.

(Ubah saiz teks)

KUNJUNGAN The Moscow Circus yang hadir untuk membuat persembahan dan menjelalajah 10 bandar di Malaysia dalam tempoh lapan bulan sehingga tahun depan tidak seharusnya dipersiakan rakyat di negara ini.

mStar Online baru-baru ini turut berkesempatan menyaksikan persembahan mereka yang bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya.

Jika anda tertanya-tanya apa yang menarik mengenai The Moscow Circus, berikut merupakan tujuh segmen utama yang dipersembahkan oleh mereka.

Dibawakan dari Moscow, Rusia, persembahan hampir dua jam ini pasti memberikan pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

The Moscow Circus Clown

Persembahan sarkas itu dimulakan dengan kemunculan seorang badut lelaki terkenal dari Rusia, Armen Asiryants.

Dia bukan sahaja membuat persembahan pembukaan malah turut menghiburkan pengunjung sewaktu sesi selingan antara segmen.

Biarpun tidak menggunakan sebarang dialog, aksi yang dipertontonkan cukup membuat anda tidak kering gusi sepanjang persembahan itu berlangsung.

Malah, dia juga membawa beberapa penonton ke pentas utama untuk turut serta memeriahkan persembahan itu.

Tidak kering gusi menyaksikan persembahan Armen Asiryants.

Illusionist

Mungkin ada dalam kalangan anda yang pernah menyaksikan helah ilusi menukar pakaian dalam tempoh beberapa saat di laman Youtube sebelum ini.

Jadi inilah masanya untuk anda menyaksikan sendiri secara langsung bagaimana mereka melakukan aksi hebat penuh memukau itu.

Penonton terpaku menyaksikan trio ini menukar pakaian dalam tempoh beberapa saat sahaja.

Master Juggler (The Incredible Semion Krachinov)

Dengan tubuh tinggi lampai, berwajah tampan dan aksi lincah menangkap bola-bola yang dibaling ke udara, Semion Krachinov ternyata berjaya mencuri hati penonton yang hadir.

Kemas dalam persalinan serba merah, aksi tangkas Semion mendapat tepukan gemuruh penonton.

Biarpun ada ketikanya dia gagal menyambut bola yang dilambung, dia masih tersenyum dan terus menghiburkan penonton.

Aksi lincah Semion Krachinov yang menghiburkan penonton.

Flying Trapeze

Tidak lengkap persembahan sesebuah sarkas jika tiada aksi ini.

Dipersembahkan oleh The Tokmachev Troupe, mereka lincah berayun di udara sambil berpaut pada tali.

Aksi penuh mendebarkan ini cukup memukau sehingga penonton terdiam dan terpaku di tempat duduk mereka.

Roller Skaters

Beralih ke segmen seterusnya, seluruh mata tertumpu kepada dua figura sama cantik sama padan di pentas utama.

Duo Romanov menggabungkan elemen persembahan kasut beroda dengan tarian sekali gus menjadikan ia sebagai highlight utama dalam keseluruhan persembahan The Moscow Circus.


Persembahan penuh energetik duo Romanov yang menggabungkan elemen kasut beroda dengan persembahan tarian.

High Wire

Tidak kurang hebatnya, duo Svezhov turut membuat seluruh mata terpaku menyaksikan aksi mereka meniti tali yang digantung di udara.

Sambil memegang besi pengimbang, mereka berjalan merentasi tali itu dengan penuh berhati-hati, malah sempat melakukan pelbagai aksi 'tidak masuk akal' sebelum disambut dengan sorakan gemuruh penonton.

Seram, aksi berjalan di atas titian halus di udara cukup untuk membuat seluruh penonton terdiam seketika.

The Russian Swing

Dipersembahkan oleh The Skokov Troupe, mereka mempamerkan aksi penuh bertenaga sambil melompat dari dua buaian yang diletakkan di kiri dan kanan pentas.

Diselang-seli dengan elemen tarian sambil dipancar dengan limpahan lampu laser berwarna-warna, ia kelihatan persis persembahan penghibur terkenal, Beyonce.

Mereka akan berada di Petaling Jaya sehingga 2 September depan sebelum meneruskan jelajah ke Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Ipoh, Kuantan dan Klang.

Tidak seperti kebanyakan sarkas lain yang dikelola ringmaster lelaki, The Moscow Russia menampilkan Karina Peace sebagai ringmistress.

Dengan tiket serendah RM50 sehingga RM280, anda yang berminat boleh mendapatkannya menerusi laman web www.ticketpro.com.my.

Tags / Kata Kunci: The Moscow Circus , Sarkas
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan