Infak Ramadan makin rancak di Masjidil Haram - Cerita | mStar

Infak Ramadan makin rancak di Masjidil Haram

Diterbitkan: Selasa, 12 Jun 2018 9:50 AM

(Ubah saiz teks)

KIRA-kira 2,000 pek sahur berisi shawarma, laban, dadih dan roti diagihkan secara percuma kepada jemaah umrah di sekitar Masjidil Haram menerusi projek Infak Ramadan Masjidil Haram yang mula dilaksanakan pada 2015.

Menurut penyelaras projek itu, Amera Sabrena Ahmad Sobri, pengagihan itu bermula pada jam 12.30 tengah malam iaitu selepas solat sunat terawih di masjid berkenaan dan sebahagian besar jemaah yang memperolehinya adalah dari Turki, Mesir, Afrika, India, Pakistan dan Indonesia.

Beliau berkata, kemuncak sedekah adalah pada setiap Khamis dan Jumaat sehinggakan beliau perlu mendapat bantuan daripada rakan yang bertugas di Jeddah dan Makkah kerana tidak menang tangan untuk mengagihkan 2,000 pek sabil sahur.

Katanya, pada hari-hari biasa, pek sabil sahur yang diagihkan adalah di antara 200 dan 500 pek berisi shawarma dan laban. Beliau dibantu oleh suami dan anak untuk agihan itu.

"Sumbangan wang untuk menjayakan projek itu adalah daripada warga Malaysia yang disalurkan ke dalam akaun khas yang saya buka khusus untuk projek serta aktiviti kebajikan seumpama itu," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Setiap pek sabil sahur berisi shawarma dan laban berharga SR12 manakala pada hujung minggu pek sabil sahur berisi shawarma, laban, roti dan epal berharga SR15 setiap satu.

Lokasi pengagihan pek sabil adalah berbeza pada setiap hari tetapi di sekitar Masjidil Haram sama ada di dataran masjid, depan pintu King Fahd dan King Abdullah, Misfalah Street dan bahagian belakang kawasan Safa serta Marwah.

Amera Sabrena adalah warga Malaysia yang tinggal di Tanah Suci Makkah kerana mengikut suaminya, Hairul Nizam bertugas di sana.

Projek kebajikan itu bermula apabila Amera Sabrena menjadi orang tengah dalam kalangan rakan-rakan FB yang mahu bersedekah tamar di Masjidil Haram.

Berikutan sambutan di luar jangkaan dan atas cadangan serta permintaan, sedekah tamar bertukar kepada pek sabil iftar iaitu roti, laban dan epal.

Pada hari pertama projek itu dijalankan, sejumlah 1,000 pek iftar diedarkan pada setiap minggu dan disebabkan tidak menang tangan untuk mengagihkan pek sabil iftar, Amera Sabrena mendapat bantuan daripada kakitangan suaminya yang bertugas di Tanah Suci Makkah sejak 2010.

"Oleh sebab ramai penduduk Arab Saudi menyumbang pek sabil iftar kepada jemaah umrah di sekitar Masjidil Haram, saya ubah kepada pek sabil sahur bermula 2016," katanya yang pernah mengagihkan pek iftar pada jam 5.30 petang.

Bagaimanapun, pada 2017, beliau dan suami menyambut Ramadan di Malaysia tetapi usaha infak Ramadan diteruskan kerana permintaan daripada rakan-rakan FB berterusan.

Justeru, beliau mengadakan Infak Kembara Sufrah Ramadan di beberapa negeri seperti Langkawi, Pulau Pinang dan Selangor untuk jemaah masjid dan pelarian Rohingya serta Afghanistan.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan