Fuh! Berzikir naik 'chair lift bogel' ke Gunung Chimgan - Cerita | mStar

Fuh! Berzikir naik 'chair lift bogel' ke Gunung Chimgan

Diterbitkan: Rabu, 30 Mei 2018 9:00 AM

(Ubah saiz teks)

ADA orang gementar apabila menaiki kawasan tinggi.

Gayat, fobia dan takut memandang ke bawah apabila berada di tempat tinggi apatah lagi jika menaiki kereta kabel yang membawa anda pada ketinggian beribu meter.

Pengalaman menaiki kereta kabel atau dikenali sebagai ‘chair lift’ di Uzbekistan meninggalkan perasaan yang bercampur baur.

Bimbang, gayat dan seronok. Begitu yang saya rasakan dan sebahagian besar rakan-rakan lain.

Mulanya,semua teruja dan tidak sabar menunggu masa untuk ke Gunung Chimgan, pusat peranginan ski yang terletak di jajaran pergunungan Tian Shan berhampiran Chirchiq di Uzbekistan.

Perjalanan kami bermula dari The Regal Palace, Samarkand yang mengambil masa kira empat jam perjalanan menaiki bas.

Sebelum berangkat, ramai yang membawa sedikit bekalan untuk mengalas perut sekiranya lapar dalam perjalanan.

Apabila tiba di kawasan kaki gunung, semua perlu menaiki kereta kabel untuk sampai ke kawasan pergunungan Chimgan yang setinggi 3,309 meter.

Tidak diketahui rupa bentuk kereta kabel pada mulanya kerana semua dikehendaki beratur menunggu giliran untuk naik ke puncak.

Namun, sejurus berada di tapak untuk menaiki kereta kabel, ramai yang terkejut dan tidak sangka kerana tiada ciri-ciri keselamatan yang dititikberatkan kerana ia 'bogel' (tidak bertutup) dan difahamkan ‘chair lift’ itu sudah berusia lebih 30 tahun.

Biarpun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan atau kerosakan setakat ini, namun, langkah-langkah keselamatan perlu diberi perhatian demi keselesaan pelancong.

Bukan sahaja tidak bertutup, palang yang berada di bahagian depan anda tidak berkunci malah jika ditarik atau ditolak, maka pelancong berisiko untuk terjatuh.

Sepanjang menaiki gunung Chimgan penulis berzikir sehingga tiba di puncak. Anda dilarang mengambil gambar di atas chair lift kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan.

Malah, menurut pemandu pelancong, ada kumpulan pelancong yang mahu bergambar ketika menaiki kereta kabel tetapi kameranya terjatuh dan sudah semestinya tidak dapat ditemukan lagi.

Anda juga dilarang membawa barang-barang berat dan besar ketika menaiki gunung Chimgan kerana ‘chair lift’ hanya muat untuk tubuh anda saja dan jika membawa tas tangan, letakkan di bahagian depan dan bukan di belakang.

Ramai yang gayat dan tidak kurang juga terkejut lantas menjerit sejurus menaiki ‘chair lift’ itu.

Jika anda fobia pada ketinggian, adalah dinasihatkan tidak menaiki ‘chair lift’.

Namun, mungkin terasa rugi jika tidak menaikinya kerana pemandangan di sekitar kawasan gunung sangat indah apatah lagi pada musim dingin kerana salji memutih di seluruh kawasan pergunungan.

Pengalaman lapan minit menaiki ‘chair lift’ ketika naik dan lapan minit lagi ketika turun tidak dapat saya lupakan.

Pelbagai perasaan bermain di hati dan fikiran. Namun, ia pengalaman yang cukup menyeronokkan.

Tip Kembara

- Pastikan anda membawa botol air ke mana-mana saja anda pergi, untuk minum dan kegunaan di dalam tandas.

- Tisu basah untuk kegunaan di tandas.

- Bawa botol semburan wuduk.

- Bawa bekas plastik kecil (boleh dijadikan gayung) untuk kegunaan di dalam bilik hotel. (Tiada getah paip atau ‘spray gun’ di dalam tandas bilik hotel).

- Jika membawa anak kecil, bawa ‘cool fever’.

- Jika anda pergi pada musim dingin, sebaik-baiknya bawa dua pasang kasut (jika bawa anak kecil).

- Had muatan bagasi untuk kelas ekonomi hanya 20 kg jika menaiki Uzbekistan Airways. Jadi, hadkan barangan anda.

- Tukar Ringgit Malaysia kepada USD di tanah air. Wang Uzbekistan disebut Som dan boleh ditukar di pengurup wang di sana dengan bantuan pemandu pelancong.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan