13 sebab kenapa perlu naik Shinkansen jika ke Jepun - Cerita | mStar

13 sebab kenapa perlu naik Shinkansen jika ke Jepun

Diterbitkan: Khamis, 24 Mei 2018 8:03 AM

-fotoAP

(Ubah saiz teks)

DALAM kesejukan dingin pagi dengan suhu serendah 0 darjah Selsius, penulis bersama-sama sekumpulan rakan dari Malaysia meninggalkan hotel di Kyoto menuju ke stesen kereta api untuk menaiki tren ke Tokyo.

Bagaimanapun, tren yang bakal dinaiki bukanlah mana-mana tren biasa, ia adalah Shinkansen atau tren berkelajuan tinggi yang juga dikenali sebagai 'bullet train' versi Jepun, yang selama ini saya hanya pernah dengar dan baca mengenainya, serta melihat di kaca televisyen.

Seperti juga rakan-rakan lain dalam kumpulan kami, saya juga tidak sabar untuk menaiki tren laju bak peluru itu.

Sebaik sahaja sampai di stesen bas, yang terletak berhadapan pintu masuk utara Stesen Keretapi Kyoto, berdepan Jalan Karasuma, rasa teruja begitu jelas sekali.

Bangunan stesen kereta api itu dengan seni binanya daripada kaca dan logam terserlah bagaikan baharu seperti kebanyakan bangunan lain di Jepun, yang membayangkan budaya penyelenggaraan dan penjagaan kebersihan yang baik di negara ini.

Dalam bangunan, keadaan agak sesak dengan penumpang dan orang ramai memandangkan stesen itu bersambung dengan pusat membeli-belah dan pelbagai kemudahan lain.

Stesen itu menjadi hentian bagi tren-tren pelbagai laluan termasuk Nara Line, Kyoto Line, JR Sagano Line, Hokuriku Line, Kinokuni Line, Biwako Line, Kosei Line, Tokaido/Chuo Line dan tren berkelajuan tinggi Tokaido Shinkansen dari Shin Osaka ke Tokyo.

Stesen Kyoto juga bersambung dengan jaringan kereta api bawah tanah di bahagian Timur melalui laluan bawah tanah.

MENAIKI TREN

Penulis berada di Jepun pada akhir Februari sehingga awal Mac untuk lawatan kerja anjuran Malaysia Nuclear Power Cooperation (MNPC) dengan kerjasama JAIF International Cooperation Centre (JICC) Jepun.

Pegawai JAIF Hiroki Takimoto yang mengiringi kumpulan kami telah terlebih dahulu menempah tiket perjalanan sehala Tokaido Shinkansen dari Kyoto ke Tokyo bernilai Yen 13,080 (kira-kira RM472) bagi setiap orang.

Harga tiket jauh lebih murah bagi pemegang Japan Rail Pass.

Memandangkan kumpulan kami sampai agak awal, kami berpeluang melihat beberapa buah Shinkansen yang lalu di stesen itu.

Tren-tren Shinkansen yang panjang, berwarna putih dan kepalanya mirip bentuk kepala ular menggamit perhatian kami semasa tiba dan berlepas di stesen itu.

Kelajuan tren itu jelas semasa meninggalkan stesen.

Ruang dalam tren agak luas dengan susunan tempat duduk 3+2 untuk kelas standard, dengan lorong laluan yang lebar, rak simpanan bagasi di bahagian atas dan ruang letak kaki yang luas dan selesa.

Penulis yang memilih tempat duduk di tepi tingkap agak terkejut apabila mendapati tidak ada tali pinggang keledar untuk penumpang.

Terlintas seketika apa akan berlaku kepada penumpang sekiranya tren terpaksa membrek ketika bergerak laju?

Lagipun, ironinya, ketika dalam perjalanan dengan bas beberapa hari sebelum itu, seorang lagi pengiring kami, iaitu Kiyonobu Yamashita sering mengingatkan kami, "Pasangkan tali pinggang keledar, jika kamu sayangkan isteri".

Dan, kini saya menaiki tren laju tanpa tali pinggang keledar! Macam mana ini!

Sebenarnya tidak perlu ada tali pinggang. Mustahil bagi tren itu berhenti secara mengejut kerana momentumnya yang tinggi dan Shinkansen beroperasi berdasarkan ciri Crash Avoidance, bebas daripada sebarang kemungkinan berlaku kemalangan.

Dan percaya atau tidak, rekod menunjukkan tidak pernah berlaku sebarang kecelakaan yang meragut nyawa sejak ia mula beroperasi 53 tahun lepas.

Tambahan pula, Shinkansen bergerak menggunakan landasan khusus dengan kelajuan maksimum 320 km/j, sama dengan tren berkelajuan tinggi TGV di Perancis dan ICE di Jerman.

Menurut Wikipedia, purata kelewatan yang dicatatkan oleh Central Japan Railway Company (JR Central) pada 2014 untuk Shinkansen adalah 54 saat.

Begitulah cekapnya perkhidmatan kereta api di Jepun!

PERJALANAN LANCAR

Penulis menaiki tren daripada siri N700, yang mempunyai kelajuan maksimum 285 km/j (177mph) dan berhenti di dua buah stesen - Nagoya dan Shin Yokohama - dalam perjalanan selama dua jam ke Tokyo.

Persinggahan di stesen-stesen itu membolehkan para penumpang untuk bertukar ke tren Shinkansen lain untuk menyambung perjalanan ke destinasi lain di seluruh Jepun.

Perjalanan bukan sahaja sangat lancar dan selesa malah menghidangkan pemandangan mendamaikan melalui tingkap ketika melalui beberapa buah bandar serta kawasan desa Jepun dengan panorama menarik.

Pemandangan di luar tingkap yang silih berganti dengan cepat sahaja dapat memberi gambaran akan kelajuan tren itu.

Terdapat papan maklumat elektronik di setiap gerabak yang menunjukkan stesen seterusnya, waktu dan suhu yang mencecah serendah 4 darjah Selsius.

Tempat duduk serta bahagian dalam gerabak kelihatan baharu dan bersih, sekali lagi pujian bagi budaya penyelenggaran dan penjagaan kebersihan masyarakat Jepun yang tiada tolok bandingannya.

Malah, tandasnya serba moden dan bersih, begitu juga bilik perokok.

Suasana dalam tren senyap daripada gangguan bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) yang sangat minimum, seperti ERL di Malaysia yang menyambungkan ibu negara dengan KLIA1 dan KLIA2 di Sepang.

Para penumpang yang kebanyakannya penduduk tempatan masing-masing membisu melayan perasaan sendiri, terlalu senyap bak kata orang jika pin terjatuh pun boleh didengari.

Bagaimanapun, keheningan itu berderai apabila kumpulan kami yang duduk di sebelah kiri bertukar riuh sebentar.

Ini berlaku ketika Gunung Fuji dengan puncaknya yang dilitupi salji muncul dari tingkap tren, sehinggakan penulis dan rakan-rakan terpukau melihat pemandangan indah itu.

Perjalanan itu berakhir di stesen Shinagawa di Tokyo.

Bagi saya, perjalanan dengan Shinkansen itu amat mengujakan serta penuh kenangan.

Walaupun tiket perjalanan itu agak mahal, saya tidak keberatan untuk menaiki tren itu sekali lagi.

TREN SHINKANSEN

Shinkansen adalah sistem rel berkelajuan tinggi yang pertama dibangunkan oleh sekumpulan jurutera tren Jepun dan mula beroperasi pada 1964 antara Tokyo dan Osaka.

Tren berkelajuan tinggi itu mempunyai rangkaian landasan menjangkaui 2,700 kilometer merentasi seluruh Jepun dan masih terus menambah lagi laluannya.

Shinkansen dilengkapi dengan teknologi tahan gegaran bumi di Jepun dan setakat ini berjaya mengharungi pelbagai skala gegaran yang pernah berlaku di negara itu.

Mungkin suatu hari saya akan berpeluang lagi untuk menaiki Shinkansen, kali ini di Malaysia pula sekiranya tren itu dipertimbangkan untuk Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
-Bernama

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan