Bercuti ke Macau? Jangan terlepas lawat 20 lokasi ini - Cerita | mStar
X Close

Bercuti ke Macau? Jangan terlepas lawat 20 lokasi ini

Diterbitkan: Khamis, 3 Mei 2018 11:32 AM

(Ubah saiz teks)

KALAU nak bercerita mengenai Macau, sampai esok pun tak habis. Pendek kata, destinasi pelancongan mesra Muslim ini sememangnya patut ada dalam 'bucket list' anda.

Sebenarnya, pengaruh Islam wujud di Macau sejak Dinasti Yuan lagi dan kesannya dapat dilihat menerusi beberapa bangunan bersejarah di kota itu.

Kali ini, mStar Online sekali lagi akan berkongsi kepada anda lokasi-lokasi wajib sekiranya anda berkunjung ke Macau.

Orang kata, kalau nak kenal Macau dengan lebih mendalam, eloklah berkunjung ke lokasi-lokasi bersejarah yang menyimpan khazanah serta legasi kota itu.

Antara lokasi yang patut dikunjungi ialah Muzium Macao, Lou Kan Mansion, Rumah Mandarin, Lilau Square, Moorish Barracks dan Muzium Maritim.

Di Muzium Macao, anda boleh mendalami sejarah serta budaya kota berkenaan.

Selain mengetahui tentang sejarah, anda juga boleh bergambar dalam rumah tradisional seni bina Kantonis di Lou Kau Mansion.

Tidak cukup dengan itu, Rumah Mandarin yang terletak 800 meter dari Senado Square pula menampilkan bangunan dengan ciri-ciri tradisional Guandong yang sangat unik.

Beralih ke Lilau Square, dataran kecil ini merupakan tapak warisan yang agak popular dalam kalangan pelancong.

Ini kerana ia merupakan daerah Portugis pertama di Macau dan ia menempatkan mata air semulajadi yang sering digunakan oleh penduduk setempat.

Di Muzium Maritim pula, anda dapat melihat koleksi model kapal serta pesawat laut yang digunakan dalam sejarah Maritim Cina dan Portugal menerusi pelbagai pameran interaktif.

Tak cukup dengan itu, anda boleh berkunjung ke Macau Museum of Art yang menempatkan tujuh galeri lukisan, seni kaligrafi dan kraf seramik Cina.

Dah penat belajar pasal sejarah Macau, apa kata anda beristirehat seketika di Anim' Arte Nam Yam.

Aduh, berbelit lidah nak sebut nama tempat ni.

Sebenarnya ia adalah pusat riadah sekeluarga. Kat sini ada galeri tepi tasik, pasar kraf dan kafe.

Nak naik bot pedal yang berbentuk angsa pun boleh tau. Tempat ni memang sesuai untuk bersantai waktu petang.

Itu aktiviti petang je, jangan terus balik, anda kena tunggu sampai malam untuk menyaksikan persembahan air pancut dengan iringan muzik oleh Wynn Macau Performance Lake.

Memang seronok gila, bukan sahaja pelancong tempatan, tapi tempat ni juga selalu dipenuhi pelancong dari luar negara.

Namun, jika anda kurang gemar dengan aktiviti meriah seperti itu, anda patut ke Coloane di hujung pulau Macau. Suasana perkampungan nelayan di situ sangat menenangkan.

Di tengah-tengah pekan Coloane, anda boleh menikmati makanan tempatan seperti hasil laut kering, tat telur Portugis dan macam-macam lagi.

Kalau dah sampai sini, memang wajib singgah ke Lord Stow's Bakery. Tat telur Portugis di kedai ini memang sangat popular.

Lokasi popular seterusnya ialah St. Francis Xavier Chapel.

Ia dibina pada 1928 dan merupakan gereja yang unik kerana binaannya mengandungi unsur seni bina Cina.

Malah, ia turut menyimpan lukisan keagamaan yang menarik di situ.

Jika berkelapangan, anda juga boleh melawat Tokong Kun Lam, Tokong Tam Kung, Tokong Sam Seng dan Tokong Tin Hau.

Tokong Tam Kung misalnya terletak berhampiran pantai. Jadi, panorama di situ sangat mendamaikan pandangan mata.

Bagi mereka yang suka melakukan aktiviti mendaki, mereka boleh ke Coloane Trail.

Ia merupakan laluan berjalan kaki yang merangkumi 8.1 kilometer laluan dalam bulatan di sekitar bukit-bukit Coloane.

Di sini, terdapat tiga pilihan laluan mengikut kesesuaian dan minat anda. Anda boleh memilih untuk berjalan di Coloane Trail sejauh 8.1km, Morro de Hac Sa (2.2km) dan Long Chao Kok Coastal Trail (1.2km).

Dah penat mendaki, bolehlah singgah sebentar di Pantai Hac Sa. Ia merupakan pantai semula jadi paling luas di Macau. Kat sini ada macam-macam aktiviti air yang boleh dilakukan tau.

Tak jauh dari pantai ni, ada sebuah tempat dinamakan Hac Sa Reservoir Country Park. Kalau nak BBQ, sewa bot kayuh dan berkanu, kat sini la tempatnya. Nak berkelah dan berkemah pun boleh.

Kalau ada yang nak romantik-romantik dengan pasangan, boleh juga ke Cotai. Lagi cantik kalau datang pada waktu malam.

Setelah puas berjalan-jalan di Coloane dan Cotai, anda patut meneruskan penerokaan anda ke Macau Peninsular.

Khusus untuk peminat bunga, Lou Lim Leoc garden adalah destinasi yang wajib dikunjungi.

Dikelilingi tembok tinggi dan landskap tasik, bunga-bungaan di situ kelihatan persis taman klasik Cina yang sering dipaparkan dalam filem.

Berdekatan taman itu terletaknya Macao Tea Culture House. Di situ, anda boleh mempelajari adat, seni, dan hal berkaitan teh mengikut budaya Macau, Cina dan barat. Nak rasa pelbagai jenis teh pun boleh kat sini.

Bagi mereka yang suka pemandangan semula jadi, bolehlah berkunjung ke Taipa Grande Nature Park. Aktiviti paling seronok kat sini ialah bergelongsor menuruni bukit. Malah, anda juga boleh menyusuri nature trail yang mengelilingi taman itu.

Asyik jalan-jalan je, jom kita cari makan pula. Bagi peminat street food, Cunha Street adalah sasaran utama mereka. Deretan kedai dan gerai di sini menjual pelbagai snek tempatan serta cenderahati.

Antara makanan yang wajib dicuba jika singgah di sini ialah biskut badam, biskut syiling emas dan serradura.

Nak yang lagi sedap? apakata pergi ke Dong Lai Shun Muslim Restaurant. Ia merupakan restoran Islam yang popular dengan hidangan kambing hot-pot.

Makanan halal juga boleh didapati di Loly Indonesian Food dan Indian Garden. Soal rasa, memang tak perlu dipertikaikan lagi. Restoran-restoran ini sememangnya sentiasa menjadi buruan pelancong Muslim yang datang ke Macau.

Dah kenyang apa kata kita berhibur pula. Di teater House of Dreams Macau, anda akan dihiburkan dengan persembahan House of Dancing Water iaitu pertunjukan air menerusi pelbagai visual interaktif yang menggabungkan akrobatik, tarian, teater dan muzik.

Dalam pada itu, antara acara yang bakal memeriahkan Macau pada tahun ini ialah 29th Macao Arts Festival yang berlangsung pada April dan Mei.

Macau turut dimeriahkan dengan kehadiran artis antarabangsa Bruno Mars yang mengadakan konsertnya di kota itu pada 24 April lalu di Cotai Arena, The Venetian Macao.

Bagi penggemar watak adiwira Batman pula, Studio City adalah lokasi yang wajib dikunjungi.

Di sini, mereka boleh merasai simulasi 4D yang akan membawa mereka menerokai dunia Batman dengan lebih realistik.

Di Golden Reel Studio pula, anda boleh menaiki roda Ferris berbentuk nombor lapan yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 130 meter.

Buat mereka yang belum berkemampuan untuk ke Paris, kat Macau pun ada Eiffel Tower. Kat sini, mereka akan disajikan dengan pertunjukan cahaya yang sangat mempersonakan. Memang rugi kalau tak datang.

Yang terakhir ialah Menara Macau. Orang kata, apa guna melancong ke Macau kalau tidak singgah ke Menara Macau.

Kalau anda penggemar sukan ekstrem, anda boleh melakukan Bungy Jump, Sky Jump dan Sky Walk kat sini.

Pendek kata, serba lengkap kat Macau ni. Nak tengok panorama indah, nak makan sedap-sedap, nak belajar sejarah dan budaya, nak main aktiviti best, semua ada.

Jadi apa tunggu lagi, tempah tiket penerbangan anda segera. Macau menanti dengan tangan terbuka.

Dapatkan maklumat lanjut di sini: http://www.muslimcuti.com/

Tags / Kata Kunci: menarik Macau , melawat Macau , mesra Muslim
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan