Indah dan mempesona, tak rugi lawat Uzbekistan! - Cerita | mStar

Indah dan mempesona, tak rugi lawat Uzbekistan!

Diterbitkan: Selasa, 1 Mei 2018 9:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEGARA empat musim sering menjadi tumpuan warga Malaysia untuk bercuti.

Selain menjanjikan keindahan mempesona, terutama pada musim dingin dan bunga, negara itu juga tentu mempunyai kelebihan tersendiri yang menjadikannya menarik untuk dilawati.

Pada Februari lalu, penulis berpeluang berkunjung ke Uzbekistan, yang terletak di Asia Tengah dan dikenali sebagai negara laluan sutera.

Lawatan dari 14 hingga 21 Februari 2018 begitu mengujakan kerana musim dingin yang masih bersisa membuka peluang kepada peserta rombongan Jejak Iman Uzbekistan menyaksikan salji di Tashkent, Bukhara dan Samarkand.

Perjalanan bermula dari KLIA pada jam 7.35 malam menerusi pesawat Uzbekistan Airways dan transit satu setengah jam di Singapura.

Perjalanan diteruskan ke Tashkent hampir jam 10.30 malam.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent hampir jam 3 pagi waktu tempatan.

Sejurus tiba, kami disambut dengan kedinginan hujan renyai dan suhu ketika itu ialah -2 darjah Celsius.

Setelah semua urusan menuntut bagasi selesai, kami bergerak menaiki bas yang terletak tidak jauh dari balai ketibaan.

Jauh berjalan luas pemandangan. Begitulah yang sering kita dengar. Berjalan, mengembara dan melancong ke negara orang memang menyeronokkan tetapi lebih menarik serta bermanfaat jika disulami dengan pelbagai peristiwa silam mengenai keagungan sejarah Islam.

Uzbekistan menempatkan 12 wilayah. Suatu ketika dahulu Uzbekistan adalah satu daripada republik Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun, pembubaran kesatuan pada 1991 menandakan pencapaian kemerdekaan dan kelangsungan itu menyebabkannya dikenali sebagai Republik Uzbekistan.

Pemandu pelancong, Shamsutdinov Khayrulla yang dilantik oleh Abda Travel menyambut kedatangan kami dengan senyum lebar.

Terdahulu, sambutan meriah diberikan kepada kumpulan kami kerana menjadi warga asing pertama yang berkunjung ke Uzbekistan tanpa visa berikutan pemansuhan visa pada 10 Februari 2018.

Setengah jam kemudian kami tiba di Lake Park Hotel.

Hujan renyai masih membasahi bumi Tashkent, ibu negara Uzbekistan.

Setelah kunci bilik diserahkan oleh ketua rombongan, Datuk Seri Zainal Abidin Yusof, masing-masing masuk ke dalam bilik untuk berehat. Lena seketika sebelum bersarapan.

Sejurus menuruni tangga di hotel berkenaan, suasana putih menutupi sebahagian besar bahagian luar hotel.

Ketika itu, salji agak lebat sehingga menyebabkan kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan di depan hotel.

Kakitangan hotel menasihatkan kami agar berhati-hati kerana bimbang tergelincir atau terjatuh sebab keadaan licin di beberapa tempat terutama di laluan masuk ke lobi.

Persekitaran di Lake Park Hotel memutih. Semua kelihatan terpesona dan girang apatah lagi mereka yang baru kali pertama melihat dan memegang salji.

Puas bermain salji, kami berkunjung ke Kompleks Masjid Imam Khazrat, pusat agama yang menjadi destinasi pelancongan terkemuka di kota lama Tashkent.

Dataran kompleks ini terletak berhampiran makam imam pertama di Tashkent iaitu Hazrati Imam atau nama penuh beliau Abu Bakr Muhammad Kaffal Shashi.

Mengambil sempena nama Hazrati Imam, kompleks bersejarah itu turut menyimpan naskhah al-quran mushaf Uthmani tertua dengan tulisan kufi dan difahamkan helaian al-Quran itu tidak lengkap.

Kompleks itu turut menempatkan pelbagai cenderahati porselin dan perhiasan kayu umpama rehal diperbuat daripada walnut.

Jika hendak berbelanja di situ boleh saja kerana apabila anda ke tempat lain, barangan yang dijual berbeza kualiti dan harganya.

Mata wang Uzbekistan dikenali sebagai Som tidak boleh ditemui di Malaysia dan anda perlu menukar Ringgit Malaysia kepada dolar Amerika sebelum berangkat.

Untuk berbelanja, anda boleh menggunakan mata wang Som atau dolar Amerika namun di bazar kecil sebaik-baiknya gunakan mata wang Som.

Makam Imam Bukhari di Samarkand


Apabila menyebut nama Muhamad bin Ismail al-Bukhari, tentu ramai yang tidak mengetahui dan mungkin tertanya siapa gerangannya.

Beliau adalah cendekiawan Islam, pengumpul dan perawi hadis tersohor, Imam Bukhari.

Dilahirkan di Bukhara, Uzbekistan. Dikurniakan daya ingatan yang tajam. Kehebatannya tidak dapat ditandingi terutama kerana usahanya mengumpulkan hadis Rasulullah SAW.

Pada usia 18 tahun, beliau menerbitkan buku pertama mengenai sahabat Rasulullah.

Selepas itu, beliau menulis buku sejarah bertajuk Al-Tarikh Al-Kabir.

Kesungguhannya terhadap sejarah menyebabkannya merakamkan hadis Rasulullah di dalam buku Al-Jami al-Sahih.

Beliau turut menjalankan penyelidikan 16 tahun untuk meneliti 600,000 hadis sebelum memilih 7,525 daripadanya yang difikirkan menepati takrif kesahihan.

Keunggulan beliau meriwayatkan hadis mengagumkan.

Justeru, hasil karya Sahih Muslim diguna pakai sehingga sekarang. Disebabkan kebijaksanaannya, Imam Bukhari diusir dari Bukhara dan meninggal dunia pada malam Aidilfitri.

Kami turut menziarahi makam beliau. Sekitar kompleks dikawal rapi dan persekitaran tampak tenang.

Rezeki menyebelahi kami kerana berpeluang memasuki ruang dalam yang menempatkan makam atas usaha ketua rombongan.

Lazimnya, pengunjung hanya bergambar di tugu makam tetapi keinginan Datuk Seri Zainal Abidin untuk memasuki ruang makam tertunai.

Kompleks itu terletak di perkampungan Hartang di daerah Payaryk, kira-kira 25 km dari Samarkand.

Di Samarkand juga anda boleh menziarahi makam sepupu Rasulullah, iaitu Qusam ibni Abbas.

Ruang makam Qusam terletak di dalam perkarangan kompleks makam Shahi Zinda.

Jika anda pernah ke Taif di Arab Saudi, tentu pernah ziarahi makam dan masjid Abdullah ibni Abbas. Qusam adalah adik kepada Abdullah.

Seni bina di kawasan kompleks makam sungguh mengagumkan.

Dengan rona kebiruan, kelompok bangunan tampak mirip tetapi hakikatnya berbeza.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan