Kereta kabel Sarajevo dibuka semula selepas 26 tahun - Cerita | mStar

Kereta kabel Sarajevo dibuka semula selepas 26 tahun

Diterbitkan: Selasa, 17 April 2018 9:00 AM

-foto AFP

(Ubah saiz teks)

KERETA kabel Sarajevo kini dibuka semula, 26 tahun selepas ia dimusnahkan sewaktu bermulanya pengepungan kota itu sekitar 1990-an.

Ratusan penduduk kota itu menyerbu tarikan berkenaan bagi menikmati pemandangan menakjubkan dari gunung Trebevic pada hari pembukaannya yang cerah dan nyaman, awal bulan ini.

Malah, kunjungan mereka pada hari itu seolah-olah mengimbau kembali memori sebelum perang dingin negara tersebut.

"Ia membolehkan kita melihat keseluruhan pemandangan bandar ini," kata penyanyi Zijo Rizvanbegovic dari kumpulan rock Valentino yang popular ketika Bosnia masih lagi sebahagian dari Yugoslavia.

"Terdapat beberapa simbol penting di kota ini, tapi saya percaya, kereta kabel dan perpustakaan kebangsaan adalah yang paling penting.

"Saya tidak pernah menghantar satu pun poskad dari Sarajevo tanpa foto kereta kabel," katanya kepada AFP sebelum menaiki salah sebuah daripada 33 kabin baharu di situ.

-foto REUTERS

Kereta kabel itu mula terjejas pada Mac 1992 apabila pengawalnya, Ramo Biber menjadi mangsa pembunuhan pertama perang Bosnia yang meletus dari tahun itu hingga 1995.

Konflik antara orang Croatia, penganut Islam dan Serbia dalam tempoh itu mengorbankan hampir 100,000 nyawa.

Kereta kabel itu yang dinamakan sebagai memperingati Biber, bermula pada ketinggian 538 meter (1,900 kaki) dan akan naik ke altitud 1,260 meter di stesen paling atas.

Ia terletak di pergunungan Trebevic yang mana menjadi lokasi pendudukan tentera Serbia Bosnia sewaktu pengepungan Sarajevo.

Edmond Offermann, seorang doktor Amerika Syarikat yang berasal dari Belanda dan berkahwin dengan seorang wanita Bosnia sebelum perang merupakan orang penting dalam projek kereta kabel itu.

"Pada 1998 saya datang semula ke Sarajevo, saya sedar betapa pentingnya untuk menghubungkan puncak gunung dengan bandar," katanya.

Ia sekali gus memberi motivasi kepadanya dalam usaha pembinaan semula simbol kota itu yang musnah.

Akhirnya, Offerman, 58, mendermakan sebanyak AS$4 juta (RM15 juta) untuk pembinaan semula kereta kabel itu.

Malah, jumlah yang didermakannya menjangkaui separuh dari harga keseluruhan pembinaan.

"Kita telah membina semula simbol Sarajevo yang musnah," kata Datuk Bandar Abdulah Skaka.

Katanya pembaikan semula kereta kabel itu tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa bantuan Offerman dan isterinya, Maja dan menyifatkan ia sebagai monumen cinta mereka berdua.

Pengepungan Sarajevo selama 44 bulan, yang paling lama dalam sejarah perang moden mengorbankan lebih 11,000 nyawa.

Mangsa termasuklah 1,600 kanak-kanak dan remaja.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan