Ini tip berguna lawat air terjun 7 tingkat, tasik bertukar warna di Croatia! - Cerita | mStar
X Close

Ini tip berguna lawat air terjun 7 tingkat, tasik bertukar warna di Croatia!

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2018 10:41 AM

(Ubah saiz teks)

NAMA Croatia mungkin jarang didengari tetapi ia agak popular sekitar 1990-an berikutan peperangan di rantau Balkan.

Namun, keindahan negara ini tidak dapat dinafikan.

Bersempadan dengan Bosnia, Taman Negara Plitvice, taman negara tertua dan terbesar di Croatia adalah satu destinasi wajib dikunjungi jika berpeluang ke Croatia.

Ditemui sekitar tahun 1949, taman ini terletak di kawasan pergunungan di tengah Croatia dengan keluasan kira-kira 300 kilometer persegi.

Kehijauan tasik yang indah.

Keindahan taman ini berbeza pada setiap musim terutama di bahagian tasiknya kerana kandungan mineral batu kapur yang menjadikan air tasik boleh berubah warna, adakala hijau, ada kala biru dan kelabu.

Pada musim bunga dan panas misalnya ia lebih kelihatan cerah dan serba serbinya hijau termasuk tasiknya yang jernih, di musim luruh pula semua yang hijau bertukar kuning, sesekali merah dan memutih berkaca ketika di musim sejuk.

Air terjun kecil yang indah

Peluang berkunjung ke taman ini di musim berbeza iaitu bunga dan luruh memberikan peluang kepada penulis merakamkan keindahan yang berlainan indahnya.

Bagi pelancong dari Malaysia, kebanyakan pakej pelancongan ke Balkan yang ditawarkan ejen pelancongan berdaftar dan sah turut memasukkan lokasi ini sebagai destinasi yang dikunjungi.

Jadi, tidak perlu pening-pening memikirkan bagaimana cara untuk ke sini.

Tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, taman negara ini mempunyai 16 tasik yang dihubungkan dengan banyak air terjun, tetapi lazimnya pengunjung hanya berpeluang ke beberapa tasik saja kerana luasnya taman ini.

Tetapi di sini, penulis ingin berkongsi beberapa tips yang perlu dielakkan atau yang boleh dicuba jika berpeluang ke taman ini.

Pilih pintu masuk sesuai dengan kekuatan fizikal

Walaupun laluan untuk ke lokasi utama di taman negara ini iaitu air terjun setinggi tujuh tingkat landai dan pelantar kayu dibina bagi memudahkan pelancong berjalan, namun ada juga laluan yang berbukit.

Bergambar di depan air terjun tujuh tingkat.

Taman Negara Plitvice ini mempunyai dua pintu masuk iaitu Entrance 1 dan Entrance 2.

Laluan di Entrance 2,  di bahagian bawah dan tasik lebih mudah kerana lebih banyak menurun dan kurang menggunakan fizikal, sesuai bagi pelancong warga emas.

Namun, Entrance 1 juga ada keistimewaanya apabila kita akan berjumpa dengan air terjun tujuh tingkat terlebih dulu.

Mendaki tetapi santai.

Mana-mana pun ok cuma pastikan stamina kuat serta bagi yang ada masalah kesihatan seperti asma atau jantung , perlu lebih berhati-hati kerana cuaca dan suhu di taman itu berbeza berbanding di luar.

Hati hati dengan penyeluk saku

Dua hingga tiga jam berjalan kaki santai sambil merakam keindahan tasik dan air terjun lazimnya membuatkan kita leka kerana keindahan.

Dalam dek asyik melihat keindahan taman negara ini, pastikan barangan penting seperti pasport dan wang dijaga dengan baik.

Gembira berjaya ke air terjun setinggi tujuh tingkat.

Dalam ramai-ramai bersesak sesak dengan pelancong terutama di waktu puncak atau musim cuti, ada juga kumpulan penyeluk saku yang mengambil kesempatan ketika pelancong asyik bergambar.

Antara taktik yang digunakan termasuk membuka payung di hadapan kumpulan pelancong sambil membuka beg pengunjung di hadapan.

Nah, apa lagi sebaiknya beringat sebelum terkena.

Pakai pakaian terang

Untuk menghasilkan gambar yang menarik, tentunya pakaian memainkan peranan.

Setiap musim berbeza warna, jadi elakkan memakai baju bewarna hijau ketika musim bunga kerana bimbang sepadan dengan warna bukit bukau dan tasik.

Di musim luruh pula, elakkan memakai pakaian berwarna suram dan pudar kerana suasana cuaca ketika itu sudah menggambarkan keadaan.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan