Bangkok umpama 'bandar hantu' menjelang Songkran - Cerita | mStar
X Close

Bangkok umpama 'bandar hantu' menjelang Songkran

Diterbitkan: Isnin, 9 April 2018 11:58 AM

Wraga Thailand dan pelancong ketika menyambut pesta Songkran tahun lepas. -fotoEPA

(Ubah saiz teks)

KESIBUKAN serta keadaan hiruk pikuk yang menjadi kebiasaan di Bangkok, Thailand kini bertukar menjadi sunyi sepi umpama 'bandar hantu' apabila kebanyakan 10 juta penghuni bandaraya metropolitan itu termasuk pekerja pendatang asing beransur-ansur pulang ke kampung halaman menjelang sambutan pesta air atau 'Songkran' minggu hadapan.

Songkran yang menandakan bermulanya tahun baharu tradisi Thai merupakan sambutan paling penting bagi masyarakat negara itu dan tahun ini disambut  bermula 11 hingga 17 April.

Penghuni bandaraya termasuk pekerja asing mengambil peluang daripada cuti panjang bermula Jumaat untuk memulakan perjalanan jauh ke kampung halaman atau tempat percutian  bagi menyambut pesta yang meriah itu.

Pengguna jalan raya di Bangkok yang saban hari dibelenggu oleh kesesakan trafik kini dapat melihat pemandangan jalan raya kosong yang terbentang luas.

Lapangan terbang serta terminal keretapi pula dikerumuni oleh orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman.

Ketika jutaan kenderaan meninggalkan ibu kota Bangkok untuk sambutan Songkran, pihak kerajaan  menjangkakan peningkatan ketara jumlah kemalangan serta kematian ekoran jalan serta lebuh raya utama sesak dengan kenderaan mereka yang ingin merayakan  Sonkran bersama anggota keluarga.

Setiap tahun sebanyak 400 kematian dan 4,000 kecederaan berpunca kemalangan jalan raya dilaporkan ketika sambutan Songkran sehingga pihak berkuasa menyifatkan cuti panjang itu sebagai 'Tujuh Hari Kematian' ekoran junmlah korban kemalangan jalan raya yang tinggi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggap jalan raya di Thailand sebagai jalan raya yang  paling berbahaya di dunia.

Sehubungan itu Perdana Menteri  Gen Prayut Chan-o-cha dan timbalannnya  Gen Prawit Wongsuwan telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa negeri-negeri supaya menguatkuasakan peraturan lebih ketat bagi menjamin keselamatan jalan raya serta keselamatan orang ramai sepanjang sambutan Songkran.

Salah satu langkah keselamatan termasuk melarang kenderaan berat termasuk bas dan trak daripada memasuki lebuh raya ketika Songkran.

Sementara itu, aktiviti  penyeberangan sempadan di Mae Sot di utara Thailand yang bersempadan dengan Myanmar juga sibuk dengan pekerja pendatang dari Myanmar pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut perayaan serupa yang dipanggil "Thingyan" di negara mereka.

Pekerja Laos di Thailand juga pulang ke kampung bagi menyambut Songkran.

Thailand menggaji lima juta pekerja pendatang asing terutama dari Kemboja, Myanmar dan  Laos. -Bernama


   

Cari Pakej

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan