Daging bakaq harimau menangis padu! - Cerita | mStar
X Close

Daging bakaq harimau menangis padu!

Diterbitkan: Ahad, 8 April 2018 12:19 PM

Abang Zan dan isteri, Hasnisuria sedia lokasi selesa untuk kumpulan motosikal Y15.

(Ubah saiz teks)

JITRA: Sebut sahaja daging bakar, pasti kita terbayang keenakan daging yang dihidangkan bersama air asam dan juga nasi putih.

Tetapi jika daging bakar itu adalah bahagian daging yang paling sedap dan lembut, pasti rasanya bertambah enak bukan?

Itulah yang dilakukan sepasang suami isteri yang juga pemilik gerai makan Port Bike di sini yang mempertaruhkan nasi daging bakaq harimau menangis tempatan sebagai menu 'meletup' di gerai mereka.

Menurut Mohd Shahrizal Ramli, 33, resipi daging bakar itu adalah hasil air tangan isterinya, Hasnisuria Johari, 32, yang menggabungkan resipi tradisional dan juga moden.

“Untuk sos perapan daging, isteri saya belajar dengan mak dia...macam air asam, cabai kicap memang mai dari idea dia sendiri,” katanya ketika ditemui di gerai makannya yang terletak bersebelahan stesen minyak Shell Kubang Lembu, di sini.

Dia yang lebih mesra dipanggil Abang Zan berkata, pada awalnya gerai makannya ini dibuka sekadar suka-suka untuk menyediakan tempat berkumpul kepada kelab-kelab motosikal Y15.

“Gerai saya ni pun baru sebulan lebih saja buka, tapi tak sangka sambutan daripada pelanggan yang bukan dari kelab motor pun sangat menggalakkan.

“Depa mai cari nasi daging bakar ni la, menu ni memang popular selain menu lain macam mi tulang.

“Daging bakar ni kita hidang dengan nasi yang dimasak dengan air daun pandan, sebab tu dia wangi dan berwarna hijau dan ditambah pula dengan air asam dan juga cabai kicap," katanya.

Abang Zan yang juga Presiden Kelab Jitra Crew Bikers berkata, dia terpaksa menyediakan 20 kilogram daging pada hari biasa dan 30 kilogram setiap hujung minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurutnya, dia sangat mementingkan kualiti daging dalam masakannya.

Nasi yang dihidangkan bersama daging bakar yang pasti membuatkan sesiapa sahaja terliur.

“Sebab itu saya guna daging tempatan dan ambil bahagian daging yang kita panggil harimau menangis...bahagian ni la yang paling sedap dalam seekor lembu.

“Daging ni kami ambil terus dari kandang penyembelihan jadi jangan risau, memang segar dan kualiti daging dijaga,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di gerainya mendapati orang ramai mulai memenuhi meja jam 8 malam.

Seorang pelanggan, Fhirdhaus Abd Rahman, 34, yang datang dari Sungai Petani berkata, daging bakar di sini mempunyai kelainan dan keistimewaan yang tersendiri.

“Ni kali pertama saya mai makan di sini, lepas ni kena mai lagi la, daging dia memang lembut, makan pula dengan air asam, cabai kicap memang kena (sedap) la,” katanya.

Bagi Ahmad Irfannudin Jamaluddin, 23, rasa daging bakar di gerai ini sama seperti rasa daging bakar di negara jiran.

“Tak payah pi Dannok dah, mai sini saja, sini pun sedap kita sokong perniagaan orang kita,” katanya.

Nasi Daging Bakaq Harimau Menangis Tempatan ini dijual  RM8 sepinggan dan beroperasi setiap hari kecuali Selasa dari jam 6 petang sehingga 1 pagi.-SinarHarian

Tags / Kata Kunci: Port Bikers , Abang Zan
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan