Bimbang 'tak bersih', terminum air cuci tangan, seronokkah bercuti ke India? - Cerita | mStar
X Close

Bimbang 'tak bersih', terminum air cuci tangan, seronokkah bercuti ke India?

Diterbitkan: Khamis, 5 April 2018 11:25 AM

Madurai lebih sibuk dari Chennai.

(Ubah saiz teks)

MENGHARUNGI perjalanan lebih 2,000km dari Chennai di Tamil Nadu hingga Cochin di Kerala dengan coaster bermuatan 15 tempat duduk begitu mengujakan.

Destinasi itu terletak di India Selatan mungkin bukan pilihan lokasi percutian ramai kerana pelbagai tanggapan dan persepsi negatif terhadap negara dunia ketiga itu.

Namun, hanya mereka yang sudah berkunjung ke India akan tahu keseronokannya.

Tidak dinafikan, ada juga yang tidak mahu mengulangi kunjungan ke India apatah lagi jika ke bahagian selatan kerana disifatkan kotor dan tidak selamat untuk dilawati bersama-sama keluarga. Banyak cerita yang saya dengar mengenai India.

Ada yang tidak suka ke sana kerana bimbang mengenai tahap kebersihan makanan dan minuman, kes melibatkan jenayah, penipuan dan pelbagai lagi yang tidak enak didengar.

Terminum air cuci tangan


Si kecil ini yang mengikut ibunya berniaga bijak berposing di depan sebuah kuil di Chennai.

Masyarakat kita sering menitikberatkan kebersihan, apatah lagi jika mengembara ke negara orang. Makan minum dijaga rapi untuk memastikan perut tidak meragam. Begitu jugalah dengan saya ketika kali pertama berkunjung ke Delhi.

Ketika itu saya duduk di sekitar kawasan South Extension di tengah-tengah pusat bandar yang sibuk. Menjelang senja, saya menikmati hidangan enak masakan India. Ketika suami memesan makanan, satu jag air kosong yang dingin dihidangkan di depan saya.

Menghilangkan kehausan, saya terus menuang air di dalam gelas dan meneguknya. Sejurus suami duduk di sisi, dia terus mengatakan air di dalam jag itu untuk mencuci tangan dan bukan untuk minum.

Saya terkejut. Namun, oleh sebab perut sudah lapar, chicken tikka dan roti habis saya makan. Beberapa jam kemudian, perut memulas. Saya tersandar di atas katil setelah keluar masuk tandas beberapa kali.

Seharian tubuh menjadi lemah. Bermula detik itu saya sangat berhati-hati. Pastikan hanya minum air mineral atau air botol jika di India. Usah silap terminum air basuhan tangan kerana jag disediakan umpama jag di meja makan majlis perkahwinan.

Selain itu, pengembara wanita usah berjalan bersendirian. Mintalah bantuan rakan lelaki yang mungkin menyertai pakej kembara untuk membeli-belah terutama di bazar di kaki lima. Pastikan pakaian anda juga tidak menjolok mata kerana dikhuatiri mencuri pandangan lelaki.

Jaipur – bandar merah jambu

Tidak keterlaluan dikatakan, ramai masyarakat negara ini memilih Delhi, Agra dan Jaipur yang dikenali sebagai Golden Triangle untuk bercuti.

Delhi, bandar besar menjadi pilihan kerana kaya dengan sejarah dan budaya. Untuk berbelanja barangan berasas kulit, Delhi tempatnya.

Agra pula tidak menghampakan pengunjung kerana di situ tersergam megah Taj Mahal yang menjadi lambang cinta abadi Shah Jahan terhadap isterinya, Mumtaz Mahal. Di Agra juga, usah lupa membeli manisan atau halwa dengan pelbagai perisa buah.

Jaipur, yang terletak di wilayah Rajasthan terkenal dengan jolokan Pink City atau bandar merah jambu.

Penjaja jalanan mudah ditemui.

Ia menjadi antara destinasi tarikan pelancong kerana menempatkan bangunan berseni bina unik dan halus. Indah lagi mempesona. Tidak jemu memandangnya. Antara istana dan kubu yang boleh dilawati ialah Jal Mahal, Diggi Palace, City Palace dan Amer Fort.

Sesungguhnya, ketiga-tiga destinasi itu menjanjikan pengalaman menarik. Jadi tidak hairan ia menjadi pilihan pengembara.

Kashmir, Otty dan Mumbai juga kerap disebut-sebut sebagai destinasi menawan kerana menjanjikan pemandangan menarik, cuaca nyaman dan keindahan mempesona tatkala tiba musim bunga serta dingin.

Kehebatan Chennai dan Kerala

Savera Hotel menjanjikan masakan India Selatan yang enak.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, saya dan rombongan singgah di sebuah masjid di College Road, Nanganallur untuk menunaikan solat Subuh yang berkumandang pada jam 5.20 pagi waktu tempatan.

Usai solat, kami menikmati sarapan di sebuah hotel berhampiran. Bufet pagi yang sarat dengan makanan. Saya mengambil hidangan vegetarian. Tidak susah mengenalinya kerana di sisi setiap hidangan diletakkan sekeping kad dan penanda hijau. Bagi masakan bukan vegetarian, ada penanda merah.

Hidangan tengah hari pula dinikmati di The Savera Hotel di Radhakrishanan Road.

Thali, hidangan beralas daun pisang yang membangkitkan selera.

Thali, hidangan di dalam dulang beralas daun pisang yang di atasnya diletakkan 10 mangkuk kecil berisi pelbagai jenis lauk dan sayur. Di tengah-tengah dulang diletakkan idiapam (putu mayam)prata (roti canai) dan capati.

Bergambar kenangan di Fort Museum, Chennai.

Fort Museum dan Chennai Mall menjadi destinasi seterusnya. Singgah di Mahabalipuram yang terletak kira-kira 70 km dari Chennai untuk makan tengah hari di Confluence Banquet & Resort. Ada pelbagai pilihan, tetapi saya memilih masakan India selatan. Selepas itu ke India Seashell Museum di Mamallapuram.

Seashell Museum di Mamallapuram.

Muzium terbesaar di Asia dan pertama di India itu menempatkan 40,000 koleksi cengkerang yang mula dikumpulkan sejak 33 tahun lalu. Terletak di kawasan seluas 0.6 hektar dan menempatkan Mamalla Fish World, Coral Reef dan Maya Bazar. Dibuka setiap hari di antara 8 pagi hingga 8 malam.

Berkunjung pula ke Pondicherry dan Madurai yang menjanjikan tekstil menarik, terutama di Chennai Silk. Murah, cantik dan layanan kakitangannya cukup saya kagumi. Manis tutur kata dan lembut menyapa pelanggan.

Madurai dengan keluasan 3,696 km persegi dan populasi penduduk kira-kira tiga juta orang jauh lebih sibuk daripada Chennai. Dua malam di Madurai, kami ke Tirumalai Naicker Palace Museum yang diperbuat dari batu granit dan batu kapur.

Reka bentuk oleh warga Itali, Antony Romano dan dibina pada 1636. Muzium itu mengambil masa tujuh tahun untuk disempurnakan. Namun, di sebalik keindahan seni bina muzium itu, ia tidak dipelihara rapi.

Tirumalai Naicker Palace Museum mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Singgah sebentar ke Menakshi Temple yang menjadi perhatian sebahagian besar masyarakat Hindu  tempatan dan luar negara. Gandhi Memorial Museum di Tallakuram Road wajar dikunjungi bagi pencinta sejarah.

Muzium berwarna putih gading itu menempatkan pelbagai ilustrasi, manuskrip, foto dan barangan kegunaan Mahatma Gandhi.

Dari Madurai ke Kerala. Destinasi paling dinantikan kerana peluang menaiki boat house dan menyusuri Tasik Vembanad. Boat house ada ruang tamu, ruang makan, bilik tidur dan dapur. Jika pergi dengan keluarga atau rakan, bawa bahan bacaan atau sebarang indoor games untuk mengelakkan kebosanan.

Warna warni India di Dutch Palace di Kochi.

Tidak lengkap perjalanan di Kerala tanpa berkunjung ke Cochin seperti Dutch Palace, Jew Street dan pesisir pantai Fort Cochin.

Di Dutch Palace anda boleh melihat sejarah pemerintah di Kerala manakala Jew Street menampilkan pelbagai hiasan, pakaian siap, sandal dan ole-ole.

Seronok ke India? Ya. Paling penting barangannya murah, makanannya sedap dan sesuai dengan selera  manakala layanan diterima menyebabkan terasa begitu dihormati serta disenangi.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan