Tak kenal maka tak cinta... Segalanya ada di Macau, paling penting mesra Muslim - Cerita | mStar
X Close

Tak kenal maka tak cinta... Segalanya ada di Macau, paling penting mesra Muslim

Diterbitkan: Jumaat, 30 Mac 2018 9:30 AM

(Ubah saiz teks)

DALAM ribuan destinasi pelancongan global, Macau tidaklah sepopular Paris, London atau Tokyo.

Tapi, tak bermakna Macau tak ada apa-apa tarikan. Kata orang, tak kenal maka tak cinta!

Sebenarnya, untuk pelancong yang pernah ke Macau, mereka pasti sedar destinasi ini penuh dengan tempat-tempat menarik, termasuklah sesuai untuk pelancong Muslim.

Ada lokasi hiburan, ada tempat 'shopping', ada pemandangan indah, ada tempat bersejarah dan yang penting ia penuh warna-warni pada waktu malam.

Pendek kata, memang cukup lengkap, sesuai untuk yang masih 'single' atau yang dah berkeluarga!

Tak keterlaluan juga dikatakan Macau adalah destinasi pelancongan mesra Muslim. Jadi, umat Islam tidak perlu ragu-ragu untuk berkunjung ke sana kerana kemudahan untuk mereka sudah tersedia di sana.

Kalau anda nak tahu, Macau ni dekat je dengan Hong Kong dan ia terbahagi kepada tiga wilayah iaitu semenanjung Macau, Pulau Taipa dan Pulau Coloane.

Yang seronoknya, nak ke sini tak perlu ambil cuti panjang-panjang sebab Macau ni taklah luas sangat, nak teroka keseluruhan tiga wilayah tu pun sangat mudah.

Kali ni, mStar Online nak kongsi beberapa tempat menarik di Macau yang boleh dikunjungi pelancong Muslim, juga bukan Muslim. Kalau ada yang berhajat nak bercuti ke sana nanti, artikel ini mungkin membantu anda.

Masjid Macau dan tanah perkuburan Islam



Di Macau, ada sebuah masjid lama yang dibina pada tahun 1980-an. Masjid ini dipercayai dibina oleh umat Islam yang datang bersama askar Portugis.

Malah, di sini juga ada tanah perkuburan yang berusia ratusan tahun. Bila datang sini, dapatlah kita selami sejarah mengenai kedatangan Islam ke Macau suatu ketika dahulu.

Selepas penat berjalan, mulalah perut berkeroncong kan? Pengunjung Muslim khususnya tidak perlu risau di mana mahu makan kerana terdapat banyak restoran halal di sini.

Antara restoran halal atau tidak menghidangkan daging babi (pork free) yang sering menjadi tumpuan pelancong Muslim apabila datang ke sini ialah restoran Golden Peacock, Cafe Panorama, Lou Lan Islam Restaurant, Taste of India, Indian Garden (pork free) dan Indian Spice Express (pork free).

Senado Square


Disebabkan penjajahan lampau, maka banyaklah tinggalan seni bina Portugis kat sini. Bangunan kat sini semuanya cantik-cantik belaka, macam apa yang kita selalu tengok dalam filem.

Kalau nak dapatkan lebih 'feel', anda bolehlah pilih berkunjung ke sini pada waktu malam. Oh ya, kalau anda nak tahu Senado Square ni dikenali sebagai 'urban center' di Macau.

Cahaya yang memantul di setiap penjuru bangunan memberi satu 'feel' yang berbeza, memang lawa kalau nak ambil gambar. Lepas tu terus 'upload' di Instagram atau Facebook tau, 'belanja' kawan-kawan yang tak dapat ikut serta dalam percutian anda.

Ruins of St. Paul


Kalau Senado Square tu dah lawa, kat sini tahap lawanya lebih melampau. Bagi pecinta sejarah, Ruins of St. Paul ni boleh dikatakan tempat wajib datang kalau melancong ke Macau.

Ia sebenarnya adalah struktur runtuhan sebuah kompleks abad ke-16. Malah, ia juga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Selesai pusing-pusing kawasan ni, bolehlah menyinggah ke kedai cenderamata. Bersedialah untuk 'pening' pilih keychain, fridge magnet, ukiran, beg dan macam-macam lagi barangan yang dijual di sini.

Harga kat sini agak murah, jadi bolehlah beli hadiah untuk kawan-kawan di Malaysia. Takkanlah sekadar 'belanja' mereka gambar-gambar percutian sahaja!

Venetian Macau


Lokasi romantik ni sangat sesuai bagi pasangan bercinta ataupun yang sudah berkahwin. Tambah-tambah kalau datang berbulan madu. Pendek kata, bertambahlah kehangatan cinta antara anda dan si dia tersayang tatkala berada di sini.

Tapi kalau datang seorang diri pun tak salah. Boleh berangan dulu, lain kali bila dah ada pasangan boleh datang sekali lagi.

Kalau anda nak tahu, pemandangan kat sini ala-ala kat Itali. Kalau yang bajet kurang, masih belum mampu ke Itali, ke sini pun dah kira OK!

Selain menempatkan resort hotel mewah dan kasino, di sini juga ada pusat beli-belah, restoran dan teater.

Nak makan? Jangan risau sebab di sinilah letaknya restoran Golden Peacock yang mendapat penarafan Michelin. Bagi memudahkan anda mencarinya, ia terletak berdekatan dengan lobi arah selatan.

Golden Peacock dibuka untuk makan tengah hari (11 pagi - 3 petang) dan makan malam (6 petang - 11 malam).

Satu je nak pesan! Tempat ni memang besar, boleh sesat kalau jalan seorang diri. Ia dimodelkan oleh resort kasino kembarnya The Venetian Las Vegas dan merupakan bangunan ketujuh terbesar di dunia dari segi keluasan lantai.

Mungkin ada yang belum tahu ia juga adalah kasino terbesar di dunia dan bangunan hotel struktur tunggal terbesar di Asia.

Hiasan hotelnya jangan cakaplah, siap ada syiling yang disaluti emas, sekali pandang dah macam istana pun ada!

Tapi yang paling best ialah pelayaran menaiki gondola. Masa kat atas gondola tu, ada pendayung yang menyanyi dengan suara yang sangat merdu. Ala, macam anda selalu tengok dalam filem tu, memang syok sangat naik gondola ni.

Pada masa sama, dapat juga melihat binaan yang unik di sekitar kiri dan kanan laluan gondola. 
 
Mount Fotress


Kalau anda suka elemen pelancongan sejarah, Macau memang lokasi yang tepat. Mount Fotress ialah kubu pertahanan tentera Portugis seluas 10 ribu meter persegi.

Selain jalan-jalan di kawasan kubu yang luas ni, anda juga boleh melawat muzium di sini dan melihat keindahan kota Macau dari ketinggian Mount Fotress.

Menara Macau


Haa, ini antara yang paling best kat Macau. Memang lokasi wajib buat semua pelancong. Apa guna datang sini tapi tak pergi Menara Macau yang mempunyai ketinggian 338 meter ini?

Walaupun menggigil lutut masa kat puncak, semua debaran hilang lepas dapat tengok pemandangan indah seluruh Macau dari menara ni. Fuh, memang memukau.

Kalau anda sukakan aktiviti yang ekstrem, boleh juga cuba terjunan Bungy atau SkyJump kat sini.

Perlu diberitahu, terjunan Bungy di sini adalah yang tertinggi di dunia pada kelajuan 200/jam untuk terjunan meluru ke bawah.

Bagi yang nak buat Skyjump pula, ia membolehkan anda terbang di udara pada kelajuan 75km/jam tanpa melantun, sebelum kelajuan merosot untuk mendarat dengan selesa sebelum mencecah tanah.

Ada satu lagi aktviti 'gila' kat sini iaitu jalan-jalan kat luar rim menara utama - Skywalk X. Boleh tercabut jantung buat aktiviti ni.

Kalau tak suka benda ekstrem, anda boleh buat aktiviti hiburan lain sebabnya ada empat tingkat pusat hiburan dalam menara ni.

Flora Garden


Kalau ada lebih masa, bolehlah pergi ke satu tempat yang dinamakan Flora Garden iaitu Istana Flora dengan reka bentuk ala-Eropah di Bukit Guia. Ia pada asalnya adalah sebuah rumah besar bangsawan Portugis.

Nak ke sini, anda boleh naik kereta kabel yang bermula dari pintu taman. Memang seronok datang sini dapat tengok pokok-pokok hijau dan bunga berwarna-warni.

A-Ma Cultural Village


Lokasi ini adalah kompleks budaya yang meraikan lagenda Dewi Pelaut. Kalau melawat kat sini, ada Menara Loceng, Menara Gendang dan boleh lihat altar ukiran marmar.

Lepas tu anda boleh mendaki ke Patung A-Ma yang terletak kat atas bukit. Selain patung tu, anda boleh tengok pemandangan pulau dari puncak bukit tu.

Nam Van Lake Cybernatic Fountain


Kalau suka hiburan waktu malam, kat sini adalah lokasi yang tepat.

Sambil duduk di tepi sungai, anda boleh tengok pemandangan indah, lampu berwarna-warni dan tengok persembahan air pancut setinggi 80 meter yang memancar dengan pelbagai cahaya.

Anda pasti leka dan tidak jemu memandangnya kerana ada 86 jenis semburan disediakan untuk tatapan anda.

Zoo Keriangan Warner Bros


Kalau datang dengan keluarga dan anak-anak kecil, wajib datang sini.

Selain permainan tunggangan, kat sini juga ada permainan interaktif. Dengan keluasan 4,000 kaki persegi, satu hari pun belum tentu memadai.

Macam-macam ada kat sini. Antara yang menarik ialah Tom & Jerry Picnic Playgorund. Tempat ni memang dipenuhi dengan kanak-kanak yang teruja melakukan aktiviti seronok seperti menyusun blok keju gergasi dan macam-macam lagi.

Macau Giant Panda Pavilion


Tempat ni ada dua kawasan aktiviti iaitu kawasan pameran dan kediaman panda. Memang seronok khususnya kalau bawa anak-anak kecil.

Malah, kawasannya agak luas. Walaupun ramai pengunjung, tempat ini masih lapang dan selesa untuk pengunjung bersiar-siar.

Pendek kata, bukan sahaja hiburan, semua ada kat Macau. Maka tidak hairanlah kenapa ia digelar sebagai 'Las Vegas Asia'.

   

Cari Pakej

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan