Walaupun sesak, cuba juga 'menyelit' demi hidangan di Restoran Karim, Old Delhi - Cerita | mStar

Walaupun sesak, cuba juga 'menyelit' demi hidangan di Restoran Karim, Old Delhi

Diterbitkan: Khamis, 29 Mac 2018 10:39 AM

-foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Restoran Karim di Delhi begitu terkenal sehinggakan mereka yang menggemari masakan Mughlai pasti pernah berkunjung ke sana, sekurang-kurangnya sekali.

Meskipun restoran ini mempunyai banyak cawangan di sekitar bandar raya itu, pencinta makanan lebih suka pergi ke restoran asal yang memulakan perniagaannya pada 1913 di Old Delhi.

Restoran Karim yang asal ini terletak di lorong yang sempit bertentangan dengan jalan raya ke Masjid Jama yang tersohor dan dibina pada abad ke-17.

Melawat bahagian Delhi yang kaya dengan sejarah ini adalah pengalaman yang begitu indah bagi sesiapa yang menjejakkan kaki ke sana.

Hari ini Old Delhi adalah salah sebuah ibu negeri India yang paling sesak, berbanding ketika ia mula dibina dan dikenali dengan nama Shahjahanabad.

Bandar ini dibina oleh Maharaja Shah Jahan sebagai pusat pentadbirannya yang menonjolkan kekuasaan serta kemewahan.

-fotoBERNAMA

Era Mughlai melihat kemunculan sejenis makanan India yang kemudiannya menjadi begitu terkenal dan pemilik Restoran Karim membuat tuntutan hak milik kepada juadah ini yang terdiri daripada pelbagai jenis dan perasa Asia Selatan.

Antara juadah Mughlai yang dihidangkan di Restoran Karim dan menjadi kegemaran ramai ialah gorma kambing, seekh kebab, roti naan dan biryani.

Setakat ini restoran ini masih mengekalkan hidangan asli Mughlai meskipun semakin banyak makanan lain yang digemari pengguna moden.

"Mereka yang datang ke restoran ini mahu menikmati juadah asli Mughlai, jadi kami masih mengekalkan juadah ini. Kalau hendak diikutkan, banyak lagi yang kami boleh buat tetapi kami tak lakukan," Kamaaluddin, anggota kanan keluarga yang memiliki rangkaian restoran itu memberitahu Bernama.

"Fokus kami ialah pada menu asal. Kami tak akan mengubah piawai juadah Mughlai. Ayam goreng dan juadah lain amat popular di kawasan ini tetapi kami tak hidangkannya," kata beliau.

Makanan yang dihidangkan di restoran mereka mungkin menjadikan keluarga ini terkenal tetapi keadaan ini tidaklah membuatkan mereka mahu mengembangkan perniagaan tanpa kawalan.

"Ramai ahli perniagaan datang berjumpa kami mahu memohon francais. Kami tak ikut cara perniagaan seperti ini kerana kami tak mampu untuk menguatkuasakan kualiti dalam urusan perniagaan francais. Semua cawangan kami diselia oleh anggota keluarga," kata Kamaaluddin.

-foto Facebook

Malahan resipi setiap juadah Restoran Karim dikawal ketat dan keaslian makanan dikekalkan di seluruh rangkaian restoran berkenaan.

Ramai pelancong asing yang melawat tapak bersejarah Old Delhi termasuk Red Fort pasti akan singgah di Restoran Karim untuk menikmati makanan Mughlai yang popular itu.

Salah seorang pengunjung restoran, rakyat Malaysian Nor Azib Mohd Noh datang dengan keluarganya untuk makan malam.

Beliau mendapat tahu tentang restoran ini daripada orang lain dan teruja untuk mencuba sendiri juadah yang disajikan.

"Memang enak makanan yang mereka hidangkan dan sesuai dengan cita rasa orang Malaysia," kata Nor Azib.

Ada pelancong yang datang ke restoran itu sebagai sebahagian daripada lawatan untuk menikmati juadah tempatan.

Kalau diperhatikan nampak sangat kawasan di sekitar restoran itu tidak teratur dengan kesesakan lalu lintas.

Keadaan ini menyebabkan tidak ramai yang mahu ke tempat itu.

Sekiranya anda tidak suka dengan kawasan sesak dan keadaan lalu lintas yang membingitkan telinga, elok sekiranya pergi ke cawangan restoran Karim yang lain.

-foto Facebook

Bagaimanapun, restoran Karim di lokasi baru tidak setanding dengan restoran asal di Old Delhi dari sudut keadan dalam restoran yang unik dengan aroma makanan yang dimasak serta bau asap daging yang sedang dipanggang.

Semuanya itu menjadikan restoran berkenaan destinasi warisan yang menggamit pengunjung untuk datang menikmati juadah yang dihidangkan.

Pembinaan kereta api metro baru-baru ini dengan stesen di Masjid Jama amat dialu-alukan bagi mereka yang gemar berkunjung ke Old Delhi untuk menikmati pelbagai makanan tempatan yang terdapat di situ.

Bermula dengan sarapan, restoran ini menghidangkan dua makanan yang sungguh sedap iaitu nihari and paya, kedua-duanya sebahagian daripada makanan tradisi Mughlai Selatan Asia.

Nihari ialah hidangan daging, sebagai contoh daging paha yang dimasak dengan kuah pekat dan berempah sementara untuk juadah paya, kuahnya lebih cair.

Hidangan daging kambing serta ayam yang dihidangkan di restoran ini sememangnya kuat rempahnya dan mereka yang tidak tahan pedas eloklah jangan mencuba makanan ini.

Makanan tradisi Mughlai meminjam banyak daripada Asia Tengah dari segi cara memasak, ramuan serta hidangan.

Restoran Karim menggunakan resipi pengasasnya, Haji Karimuddin yang diwarisi anak-anak lelakinya.

Terdapat sekurang-kurangnya 14 anggota keluarga ini, sesetengahnya generasi kelima dan terlibat secara langsung menguruskan perniagaan restoran ini.

Mereka bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka cawangan di luar Delhi dan kawasan kejiranannya.

Menurut Kamaaluddin, pihaknya tidak ada pun rancangan untuk membuka cawangan di luar negara.

Beliau adalah generasi keempat keluarga Karim.

"Sukar untuk mengekalkan formula makanan di negara lain tanpa kehadhiran anggota keluarga kami. Kami semua amat sibuk di Delhi," katanya.
-Bernama
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan