Lubuk Bangku 'Macam Mak-Mak Masak' - Cerita | mStar

Lubuk Bangku 'Macam Mak-Mak Masak'

Diterbitkan: Selasa, 21 November 2017 10:00 AM

Lubuk Bangku mempertaruhkan menu 'macam mak-mak masak' yang sinonim dengan masakan kampung Negeri Sembilan.

(Ubah saiz teks)

SUASANA hujan renyai, tapak khemah yang basah dan lokasi kabin yang sedikit tersorok dari jalan utama tidak menghalang pelanggan setia untuk mengunjungi Lubuk Bangku.

Sebelum sampai ke sini, terdetik di hati yang Cik Dhia mungkin sudah salah jalan dan perlu berpatah balik.

Mujurlah Cik Dhia terpandang ke arah sebuah kawasan lapang yang sedikit terlindung dengan rimbunan pohon. Rupanya di sinilah letaknya lubuk lauk ala kampung atau lebih tepat lagi di Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar.

Selepas mencari tempat letak kereta yang berdekatan, laju Cik Dhia menuju ke Lubuk Bangku. Tidak sabar rasanya nak menceritakan pengalaman mencuba menu di Lubuk Bangku kepada pembaca bagi segmen Dhia Datang kali ini.

Kalau nak tahu, idea untuk membuka Lubuk Bangku ini timbul selepas pemiliknya, yang merupakan pasangan suami isteri ternampak sebuah kontena lama yang tidak digunakan di tanah lapang tidak jauh dari kawasan kediaman mereka.

Nama Lubuk Bangku diilhamkan daripada tempat yang menawarkan pelbagai makanan lazat di Danau Meninjau, Sumatera Barat.

Kemudian, tercetus idea untuk membuka kedai makan kecil-kecilan yang menyajikan makanan tradisi  Melayu kampung bagi mengubat kerinduan warga kota, khususnya yang menggemari hidangan Negeri Sembilan.

Pasangan kreatif ini berjaya mengubah suai kontena terbiar tersebut kepada sebuah kedai makan.

Dari meja seorang jurubank ke meja dapur, Rouzieda Abd Ghani, 49, yang pernah bekerja selama 26 tahun di institusi perbankan di ibu negara itu beralih cinta kepada bidang masakan setelah mendapat kepercayaan daripada kenalan rapat untuk memulakan bisnes kedai makan.

Anak jati Kuala Pilah itu mempertaruhkan resipi turun temurun keluarganya untuk menambat hati pelanggan yang rata-ratanya menetap di Lembah Klang.

Aroma gulai lemak daging salai yang diperasapkan dengan bara arang, tempurung dan sabut kelapa begitu menusuk deria sekali gus mampu membangkit selera dan 'memuaskan' perut yang sudah berkeroncong sejak tadi.

Gulai lemak daging salai dijual pada harga RM7 hingga RM8 sepinggan.

Tahukah anda bahawa rahsia keenakan daging salai terletak pada kulit sabut kelapa? Maka tidak hairanlah rasa daging salai di Lubuk Bangku mempunyai sedikit rasa ‘asap’, sekali gus menjadikan hidangan ini lain dari yang lain hanya kerana dagingnya disalai menggunakan arang.

Kata Rouzieda yang mesra dipanggil Kak Ida ini, dia dan suaminya, menyalai sebanyak 40 kilogram daging selama dua jam untuk menghasilkan daging salai yang betul-betul menepati cita rasanya.

“Kalau tiada sabut kelapa yang berkulit tu, memang tak menjadi rasa daging salai ini. Nak salai pun tak boleh terlalu lama, nanti daging keras pula.

“Kami akan mengambil sabut kelapa di Kuala Pilah setiap dua minggu sekali. Kalau tiada sabut kelapa, kami rela tidak sajikan gulai lemak daging salai,” katanya kepada Cik Dhia.

Terkejut juga Cik Dhia mendengar kisah daging salai dan sabut kelapa ini yang saling berkait rapat, sehingga boleh diibaratkan seperti 'irama dan lagu' yang tidak dapat dipisahkan.

Ayam kampung goreng cili padi ini sangat 'berapi' kerana digaul sebati dengan bawang, cili api merah dan hijau yang dikisar kasar.

Andai terpisah, maka pincanglah resipi gulai lemak daging salai hasil air tangan Kak Ida.

Gulai lemak daging salai ini antara menu yang wajib dicuba kerana rasa santannya yang cukup berlemak dan sebati dengan hirisan daging salai dan pucuk paku membuatkan Cik Dhia terkenang masakan ibu sendiri di kampung.

Rupa-rupanya, bukan Cik Dhia seorang yang rasa begitu. Sudah ramai pelanggan memuji masakan Kak Ida dan Lubuk Bangku sendiri terkenal dengan slogan 'macam mak-mak masak'.

Penggunaan pinggan bercorak bunga yang biasanya terdapat di kampung-kampung dan konsep hidangan di dalam dulang memang mampu mengubat kerinduan sang perantau terhadap desa tercinta, atau setidak-tidaknya membangkit nostalgia zaman kanak-kanak.

Tambah Kak Ida, bagi menjaga kualiti makanan yang dihidangkan di Lubuk Bangku, dia terpaksa menutup operasi sekiranya terdapat urusan yang tidak dapat dielakkan.

Ha...sambal terung balado ini pula cuma RM5 sepinggan.

“Kami mahu menjaga kualiti dan rasanya kerana pelanggan ni bila dia kurang berpuas hati, dia tak akan datang lagi.

“Jadi kenalah tutup sementara kalau ada urusan. Kami syorkan pelanggan yang ingin ke Lubuk Bangku untuk tengok updates di Facebook kami sebelum datang,” katanya.

Pengusaha Lubuk Bangku ini juga akan memuat naik jenis lauk yang disediakan pada hari tersebut di laman Facebook bagi memudahkan lagi para pelanggan ‘mengintai’ lauk tengah hari kegemaran mereka.

Selain gulai lemak daging salai, menu kampung lain yang biasanya tditawarkan di Lubuk Bangku adalah ayam kampung goreng cili padi, gulai jantung pisang, terung goreng balado, asam pedas ikan pari dan cendawan kukur.

Alamat:
Lubuk Bangku D Cabin Cafe, Jalan Lengkok Abdullah, 59000 Bangsar.

Waktu Operasi:
Setiap hari kecuali Ahad bermula pukul 7 pagi hingga 6 petang.

Tags / Kata Kunci: Dhia Datang , Lubuk Bangku
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan