Daki Bukit Keluang, Dapat Main Air! - Cerita | mStar

Daki Bukit Keluang, Dapat Main Air!

Diterbitkan: Isnin, 13 November 2017 11:02 AM

Dari puncak, pendaki dapat melihat Laut Cina Selatan yang luas terbentang. Pulau Rhu dan Pulau Perhentian juga dapat dilihat dengan jelas. -fotoRahimiRamli

(Ubah saiz teks)

JIKA anda gemar menikmati pemandangan matahari terbit dan lautan terbentang luas, Bukit Keluang pastinya menjanjikan satu pengalaman berbeza.

Untuk menikmati saat keemasan itu, anda perlu mendaki bukit yang berketinggian 300 meter dari aras laut.

Apa yang istimewa, Bukit Keluang yang terletak di Besut, Terengganu ini turut menawarkan pemandangan memukau Laut Cina Selatan dari puncaknya.

Dari puncak itu juga, anda dapat melihat Pulau Perhentian dan Pulau Rhu dengan jelas.

Pemandangan memukau dari Bukit Keluang yang berketinggian lebih 300 meter. -FotoRahimiRamli

Untuk melihat matahari terbit, pendakian haruslah dimulakan pada awal pagi.

Namun, itu pastinya bukan satu masalah kerana anda boleh menginap di Bukit Keluang Beach Resort yang terletak hanya 200 meter dari lokasi tersebut.

Pendakian ke puncak biasanya mengambil masa antara 30 hingga 40 minit sahaja.

Laluan pendakian juga tidak mencabar dan sesuai untuk semua golongan usia dari kanak-kanak sehingga warga emas.

Setibanya di atas, pendaki boleh melepaskan lelah di sebuah pondok besar yang disediakan untuk kemudahan pendaki.

Papan tanda yang memaparkan nama-nama kota dunia sering menjadi pilihan pendaki untuk merakam foto kenangan. -fotoRahimiRamli

Istimewanya di situ, terdapat papan tanda yang memaparkan nama ibu negara serata dunia dan ia sering menjadi pilihan utama pendaki untuk bergambar.

Sambil merakam foto dan beristirehat, anda juga dapat melihat aktiviti luncur udara yang sentiasa menghiasi pemandangan langit biru di kawasan itu.

Ini kerana Bukit Bubus yang terletak bersebelahan dengan Bukit Keluang adalah tapak luncur udara paling popular di Besut.

Setelah turun dari puncak, anda akan tiba di kawasan pantai. Di situ, anda boleh mencuba aktiviti banana boat. Jika takut untuk menaiki banana boat, pengunjung juga boleh menaiki bot biasa dan dibawa bersiar-siar ke Pulau Rhu yang hanya mengambil masa kurang 10 minit perjalanan dari Bukit Keluang.

Di Pulau Rhu pula, pengunjung boleh melakukan aktiviti snokerling dan jelajah pulau.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Rhu setelah turun dari Bukit Keluang. -fotoRahimiRamli

Harga yang ditawarkan untuk aktiviti itu juga sangat rendah iaitu RM15 bagi setiap seorang.

Jika anda berkunjung ke sana, memori manis itu pastinya akan sentiasa memanggil supaya anda kembali lagi.

Selain aktiviti pendakian dan aktiviti air, Bukit Keluang sering menjadi lokasi pilihan untuk pengantin menjalankan sesi fotografi perkahwinan.

Bagi mereka yang mahu berkunjung ke Bukit Keluang, ia hanya mengambil masa dua jam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Terengganu dan 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan.

Bukit Keluang juga terletak berdekatan dengan pantai-pantai lain seperti Pantai Air Tawar, Pantai Dendong, dan Pantai Bisikan Bayu di sempadan Terengganu-Kelantan.

Selain itu, Bukit Keluang juga begitu dekat dengan Kampung Pachakan, lokasi membeli keropok lekor popular Terengganu selain Kampung Losong.

Tags / Kata Kunci: Bukit Keluang , aktiviti mendaki
   

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

iklan

Iklan