X Close

Percutian Dipayungi Jutaan Bintang

Diterbitkan: Rabu, 8 November 2017 4:57 PM

Keindahan alam semula jadi bukit batu kapur berdiri megah berusia lebih 400 juta tahun dilitupi tumbuh-tumbuhan hijau serta tasik asli yang sudah wujud sebelum kurun ke-19, menanti mereka yang menyertai aktiviti Glamping yang di sediakan oleh Lost World Of Tambun.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Cantik, tenang dan menarik. Itu yang dapat diungkapkan ketika menghabiskan cuti pada hujung minggu baru-baru ini.

Tatkala ramai mengimpikan tidur di hotel lima bintang, penulis bersama 10 rakan berpeluang merasai pengalaman 'mewah', tidur di bawah jutaan bintang.

Bukan itu sahaja, pemandangan pertama selepas terjaga dari lena adalah keindahan alam semulajadi bukit batu kapur berdiri megah berusia lebih 400 juta tahun dilitupi tumbuh-tumbuhan hijau serta tasik asli yang sudah wujud sebelum kurun ke-19.

Tambah menarik, aktiviti yang diisi sepanjang percutian selama dua hari satu malam itu tidak mungkin dapat dilupakan.

AKTIVITI HARI PERTAMA

Sebaik melepasi pintu masuk penulis dibawa menaiki buggy mengelilingi kawasan taman tema air Lost World Of Tambun  seluas 40 hektar.

Pelbagai tarikan dilihat mencuri perhatian ribuan pengunjung tidak kira kanak-kanak atau dewasa yang berada di sana, antaranya permainan air dan zoo yang mempunyai lebih 100 spesis haiwan termasuk badak air, harimau dan zirafah.

Tetapi yang menarik perhatian penulis adalah enam buah khemah yang terletak di bawah bukit batu kapur termasuk satu di atas tasik yang terletak di bahagian selatan taman tema itu.

Sesuai dengan nama yang diberi Glampingsingkatan bagi Glamorous Camping, setiap khemah dilengkapi pelbagai keperluan termasuk katil yang boleh memuatkan sehingga empat orang dengan harga pakej ditawarkan antara RM438 dan RM588.

MENEROKA GUA.

Aktiviti pertama dilakukan selepas mendaftar masuk ke Glamping adalah memanjat dinding batu setinggi 70 meter.

Mungkin ia tidak berada begitu tinggi namun sejujurnya penulis hampir berputus asa pada ketinggian 10 meter pertama.

Namun semangat dan dorongan yang diberikan instruktor, usaha diteruskan sehinggalah tiba di çheck point walaupun mengambil masa kira-kira 40 minit. Segala kepayahan itu dirasakan berbaloi apabila dapat turun dengan penuh bergaya dengan cara 'abseiling'.

Sesudah segala keringat diperah untuk memanjat dinding batu itu, perut mula terasa lapar tetapi apabila melihat hidangan makan malam yang disediakan dengan penulis pula gembira seperti kanak-kanak.

Menikmati hidangan barbeku di tepi tasik, di bawah langit luas dan diterangi cahaya lampu mentol kuning dipasang kelilingi tasik sambil ditemani bunyi serangga ia boleh dikatakan makan malam yang sempurna.

Selesai menjamu selera, penulis bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya iaitu memanjat Gua Datok atau Picasso Cave.

Cabaran ini juga menduga tahap kecergasan penulis apabila perlu mendaki 630 anak tangga sebelum tiba di Gua Datok.

Seperti kebanyakkan gua lain di negara ini Gua Datok juga dipenuhi dengan stalaktit dan stalagmit serta batu kristal, tetapi yang menjadi keistimewaan Gua Datok ini adalah sejarahnya.

Difahamkan, Gua Datok ini pernah menjadi tempat Datuk Panglima Kinta ke-lima, Datok Panglima Ngah Ghafar bertafakur. Tinggalan sejarah seperti tempat beliau beristirehat serta kerusi yang digunakannya untuk beribadat masih kukuh menghadap kiblat.

Selain itu, gua ini juga pernah menjadi kawasan perlombongan bijih timah sejak ratusan tahun dahulu.

Tamat pengembaraan selama tiga jam itu, penulis akhirnya dapat melepaskan lelah dalam Glampingdengan berbumbungkan jutaan bintang dilangit.

AKTIVITI HARI KEDUA

Membuka mata selepas menghilangkan penat di dalam suasana nyaman pada waktu pagi tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.  Sarapan pagi disediakan di tepi tasik juga dengan pelbagai pilihan makanan daripada makanan tradisional Melayu hinggalah ke selera barat.

Selesai bersarapan, aktiviti dimulakan dengan memasuki Terowong Batu Enam ataupun Six Miles Tunnel.  Kenapa Six Miles Tunnel? Kerana ia terletak di Batu Enam, Tambun dan perjalanan pergi dan balik juga sejauh enam batu ataupun kira-kira 9.6 kilometer.

Sepanjang perjalanan penulis diterangkan dan ditunjukkan sejarah gua yang mana ia pernah menjadi laluan pelombong bijih timah dan digunakan oleh pihak Komunis sebagai kubu ketika era peperangan dahulu.

Cabaran ini tidak terlalu menguji kecergasan mereka yang ingin mencubanya tetapi ia menguji tahap keberanian kerana gelap dan sempit, terdapat laluan berair dengan ketinggian air hampir menyamai paras dada dan terdapat satu gua kecil yang pernah menjadi sarang ular sawa.

Penulis kemudian mengharungi satu lagi cabaran adrenalin dengan melakukan 'flying fox' yang dinamakan 'zip line' dianggarkan sepanjang 150 meter merentasi Tasik Boga.

PERCUTIAN SINGKAT

Mungkin ramai yang tidak menyangka segala aktiviti menarik ini terdapat di Lost World Of Tambun yang menjanjikan seribu keriangan kepada pengunjung serta menjadi lokasi pilihan untuk bercuti pada hujung minggu atau destinasi pengembaraan yang menyeronokkan bersama keluarga.

Lost World of Tambun bukan sekadar taman tema air lokasi hiburan keluarga malah ia menawarkan pelbagai tarikan istimewa yang digabungkan bersama seperti pengembaraan yang menarik dan penuh aksi selain menyediakan permainan paling mendebarkan di Ipoh.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Lost World Of Tambun

Cari Pakej

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan