X Close

Kuih-Muih Nostalgia 'Senjata' Utama Umai Cafe

Diterbitkan: Jumaat, 15 September 2017 10:19 AM

(Ubah saiz teks)

BILA bercakap tentang kuih-muih tradisional, pasti ramai terbayangkan kelembutan cekodok pisang atau kerangupan pisang goreng panas yang kekal sebagai menu tradisi sejak zaman-berzaman.

Lebih nikmat lagi apabila hidangan ini 'ditemani' secawan teh O atau kopi O panas ketika minum petang bersama keluarga atau rakan-rakan.

Nikmat akan menjadi tidak terkata andai sesi minum petang itu dilatari lembayung senja di tebing tasik Putrajaya, sambil diiringi tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

Silap hari bulan, anda mungkin tenggelam melayan perasaan sewaktu menjamah menu nostalgik yang terdapat di Umai Cafe, Putrajaya.

Cekodok pisang ini sangat lembut dan tidak begitu berminyak.

Bukan sekadar cekodok, cucur udang geragau yang dimakan bersama kuah kacang ibarat menunggu giliran, minta disajikan bersama.

Umai Kafe inilah menjadi pilihan Dhia Datang untuk menjamu selera kali ini.

Sewaktu Cik Dhia melangkah masuk ke kafe ini, kelihatan ramai pelanggan veteran yang datang bersama anak dan cucu memenuhi segenap ruang kafe.

Terdetik di hati untuk bertanya kepada pengusaha kafe tentang situasi yang jarang-jarang dapat dilihat itu.

Umai Cafe menambat hati pelanggan berusia dengan menu 'orang lama', manakala makanan barat pula untuk generasi muda.

Tapi bila difikirkan balik, lebih baik Cik Dhia mencuba dulu cucur udang geragau yang cukup popular di sini sebelum ia 'licin'.

Sebaik sahaja cucur udang geragau tiba, Cik Dhia terpegun sebentar melihat cucur yang berwarna keemasan yang dihidang panas-panas.

Sekali ‘ngap’ terus terasa kerangupannya, malah 'manis' udang dan bawangnya turut dapat dirasakan.

Cucur udang ini 'ajaib' sedikit sebab udangnya tak nampak, tetapi rasanya tetap ada, berbeza dengan cucur udang yang pernah dimakan Cik Dhia sebelum ini.

Sebenarnya, Umai Cafe menggunakan udang geragau sebagai ‘senjata rahsia’ untuk menambat hati pelanggan, terutamanya peminat cucur udang sekalian.

Satu lagi keunikan cucur udang di sini apabila ia dicicah dengan kuah kacang. Rasanya memang saling melengkapi!

Khabarnya ini cara orang utara makan cucur udang, mesti ada kuah kacang!

Tapi bagi yang lebih gemarkan sos, Umai Cafe memang menyediakan dua jenis kuah untuk disesuaikan dengan selera pelanggan.

Jamaliah menamakan restorannya Umai Cafe sempena maksud 'umai' dalam bahasa Jepun yang bermakna sedap.

Terlanjur pengusaha kafe lalu sebelah Cik Dhia, terus Cik Dhia tahan beliau untuk bertanyakan tentang tarikan dan rahsia kelazatan menu yang ada di sini.

Datin Jamaliah Jaafar berkata, tarikan utama kafe ini bukan sahaja terletak pada setiap menu yang ditawarkan, tetapi juga dari segi hidangan makanan yang tiada penetapan waktu.

“Kami di sini menggunakan konsep ‘all day menu’ yang bermaksud jika ada pelanggan rasa nak sarapan pagi dengan pulut kuning, hanya perlu pesan sahaja.

“Kalau teringin makan roti jala pada waktu tengah hari pun tiada masalah atau mungkin ada pula yang mahu makan lempeng pisang untuk makan malam, semuanya boleh,” katanya ketika ditemui di sini.

Maka tidak hairanlah ramai pelanggan veteran menjadikan Umai Cafe sebagai pilihan mereka disebabkan hidangan tradisional dan moden disediakan tanpa mengira masa.

Terubatlah sedikit kerinduan zaman kanak-kanak kerana tidak semua kedai makan ada menjual hidangan seperti ini.

Lempeng pisang cicah sambal merupakan antara hidangan terlaris di Umai Cafe.

Antara penganan yang ada di Umai Cafe adalah lempeng kelapa dan pisang, roti jala, pulut ikan masin, cucur udang dan cekodok serta tidak terkecuali pelbagai jenis bubur seperti pulut hitam, kacang hijau, pulut durian, jagung dan pengat pisang.

Bukan itu sahaja, hidangan barat pun ada tau! Antaranya daging stik, ayam dan kambing gril, kentang goreng serta ‘fish and chips’.

Pendek kata, kafe ini sesuai untuk semua golongan, termasuklah orang muda dan kanak-kanak.

Milo Umai yang dibancuh dengan cincau dan dilimpahi serbuk Milo tabur untuk rasa yang lebih 'kaw'.

Kalau nak tahu, nama Umai Cafe ini diambil daripada perkataan ‘umai’ dalam bahasa Jepun yang bermaksud ‘sedap’.

Kata Jamaliah, dia pernah menetap di Jepun selama lapan tahun kerana mengikut suaminya bertugas di sana tidak lama dulu.

Alamat:
Umai Cafe, Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya.

Waktu operasi:
Setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 11 malam.

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan