X Close

Mi Sup Daging Termahal Di Dunia Ditemui

Diterbitkan: Selasa, 12 September 2017 4:31 PM

-fotoCNN

(Ubah saiz teks)

DI sebuah bandar, semangkuk mi biasanya berharga tidak lebih dari RM10, tetapi sebuah kedai di Taipei telah menetapkan harga semangkuk mi yang tidak masuk akal dan pengunjung membayarnya dengan gembira.

Restoran Niu Ba Ba yang diasaskan pada tahun 1990 di Taiwan, menyajikan lapan jenis mi daging lembu, bermula dengan hidangan klasik mi sup daging 'Beef Father' (RM67.30)) sehinggalah yang paling mahal, Mi Sup Daging Presidential yang berharga TWD10,000 (RM1,401.05) semangkuk.

"Harga mi kami yang paling murah nampak agak 'cekik darah' untuk setengah orang," kata pemilik generasi kedua Niu Ba Ba, Eric Wang Yiin Chyi.

"Tetapi cara kami menghasilkan mi daging lembu di sini membezakan kami dengan restoran lain," katanya.

Setiap mangkuk sup mempunyai sekurang-kurangnya potongan empat jenis daging premium dari Amerika Syarikat dan Australia.

Hanya daging dan bahagian terbaik seperti rusuk dan rib-eye yang digunakan dalam Mi Sup Daging Presidential.

Dagingnya direbus dan dibekukan selama tiga hari sebelum dipotong dalam bentuk tertentu untuk mencapai tekstur dan rasa yang sempurna.

Enam campuran air rebusan diperlukan untuk menghasilkan kuahnya.

Lima jenis mi boleh dipadankan dengan pilihan yang berbeza, yang membolehkan pengunjung membuat pesanan mengikut kesesuaian.

Walaupun kedai ini telah mengumpulkan ramai pengikut dan dapat menarik pelancong dari seluruh dunia, kejayaannya hari ini tidak dikecapi dengan mudah.

-fotoCNN

Setelah menghabiskan masa lebih dari dua dekad di Kanada, Wang Tsung Yuan yang merupakan pengasas Niu Ba Ba dan juga bapa kepada Yiin Chyi memutuskan untuk pulang ke Taiwan dan membuka kedai mi pada tahun 1990.

"Pada mulanya rasanya tidak sesuai untuk tekak orang Taiwan dan perniagaan nampak suram," katanya kepada CNN Travel.

"Rakan ayah saya menarik diri selepas hanya 11 hari."

Bertekad untuk mencipta mi sup daging lembu terbaik di dunia, Tsung Yuan menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menyempurnakan resipinya.

Pada tahun 2007, Niu Ba Ba berpindah ke lokasi baharu yang lebih kecil walaupun pelanggannya semakin bertambah.

"Ia mampu menampung lebih kurang 18 hingga 20 pelanggan," katanya.

"Kami akan kurang memberi fokus untuk menyempurnakan setiap mangkuk mi jika terdapat pelanggan yang ramai. Kualiti lebih penting berbanding kuantiti."

Restoran ini telah menghidangkan Mi Sup Daging Presidential sekitar 20 tahun lalu, tetapi harganya yang mengejutkan hanya dimuktamadkan pada tahun 2007.

"Kami tidak menetapkan harganya selama hampir 14 tahun, kami minta pelanggan membayar nilai yang difikirkan setanding dengan kualitinya.

"Ramai yang menyatakan mereka sanggup membayar TWD10,000 (RM1,366.95) untuk mi ini. Dan pada tahun 2007, kami membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai harga rasmi."

Dia turut mengesyorkan pelanggan supaya membuat tempahan dua hari lebih awal.

Tags / Kata Kunci: mi sup daging , Niu Ba Ba

Cari Pakej

Harga (RM) :

Pakej Korea

Harga (RM) :

Pakej Hong Kong

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan