X Close

'Gardens By The Bay' Taman Moden Wajib Kunjung Di Singapura

Diterbitkan: Jumaat, 18 Ogos 2017 5:46 PM

-foto Singapore Tourism Board

(Ubah saiz teks)

MELAWAT ke Singapura tidak sempurna jika tidak berkunjung ke Gardens By The Bay, sebuah taman moden yang paling luas dan indah di negara itu.

Berkeluasan 101 hektar dan memiliki lebih dari satu juta koleksi tanaman, tidak hairanlah mengapa lokasi yang terletak berhampiran Marina Reservoir dan di selatan Marina Bay Sands ini menjadi ikon pelancongan Singapura.

Gardens By The Bay terbuka kepada semua pengunjung dan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bay Central Garden, Bay East Garden dan Bay South Garden.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke Bay East Garden, SuperTree Grove, Sun Pavillion, Heritage Gardens, World of Plants, Dragonfly & Kingfisher Lakes.

Bagaimanapun, bayaran sebanyak SGD28 akan dikenakan untuk masuk ke Cloud Forest dan Flower Dome di Bay South Garden yang dibuka jam 9 pagi dan ditutup pada 9 malam. Tiket boleh dibeli di pintu masuk.

Mungkin ada yang menganggap harga tiket itu agak mahal tetapi setelah melawat tempat ini anda pasti berasa wang tersebut berbaloi dibelanjakan.

Malah, tiket dengan harga lebih rendah boleh dibeli lebih awal sebelum anda datang ke sini di beberapa laman web tertentu.

Cloud Forest


-foto AFP

Cloud Forest adalah tarikan utama Gardens by the Bay. Di dalam taman kubah kaca ini terdapat air terjun buatan manusia yang tertinggi dan dinobatkan sebagai  ‘The Tallest Indoor Waterfall’ dengan ketinggian 35 meter. Selain sejuk dan dipenuhi tumbuhan hijau, di sini juga sayup kelihatan orang ramai berjalan melalui Cloud Walk.

Flower Dome


Di dalam Flower Dome terdapat banyak pokok unik dari serata dunia dan ada di antaranya berusia beribu tahun. Pokok-pokok di sini dijaga penuh rapi oleh pihak pengurusan. Hiasan di taman ni berubah-ubah mengikut musim.

Supertree Grove


Bangunan pokok buatan menakjubkan dengan ketinggian sehingga 50 meter. Kanopi ini bertambah indah pada waktu malam dengan lampu berwarna-warni.

Far East Organization Children Garden

Taman seluas satu hektar untuk kanak-kanak ini terdiri sesuai untuk seisi keluarga bersantai. Taman ini menyediakan permainan interaktif dan taman air.

OCBC Skyway


OCBC Skyway merupakan jambatan mengelilingi Supertree Grove untuk pejalan kaki sepanjang 128 meter pada ketinggian 22 meter. Menghabiskan masa berjalan-jalan di sini baik siang atau malam memberikan keterujaan yang berbeza. Sambil menikmati panorama Gardens By The Bay anda juga dapat melihat deretan gedung-gedung mewah di Marina Bay.

Tips Berkunjung Ke Gardens by the Bay

Anda disarankan berkunjung ke Gardens By The Bay menjelang petang hingga malam kerana cuaca siang hari di sekitar kawasan itu sangat panas.

Pada malam hari anda berkesempatan untuk menikmati keindahan luar biasa apabila lampu berwarna-warni dinyalakan di taman.

Jangan terlepas peluang menyaksikan pertunjukan OCBC Garden Rhapsody setiap hari jam 7.45 dan 8.45 malam. Ia merupakan pertunjukan permainan cahaya dan muzik yang ditawarkan secara percuma di kawasan Supertree Groove.

Cari Pakej

Harga (RM) :

iklan

Pakej Berkaitan

iklan

Iklan