"Makcik-makcik pun minat tau!" - Forteen jawab tak cukup kriteria masuk Gegar Vaganza - Zoom | mStar

"Makcik-makcik pun minat tau!" - Forteen jawab tak cukup kriteria masuk Gegar Vaganza

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2018 4:26 PM

(Ubah saiz teks)

KUMPULAN Forteen yang terkenal dalam kalangan peminat muda percaya penyertaan mereka dalam program Gegar Vaganza (GV) musim kelima mampu memberi saingan yang baik kepada semua peserta.

Malah Forteen turut menafikan cakap-cakap yang mengatakan kumpulan berkenaan tidak layak menyertai rancangan ini kerana mereka lebih dikenali oleh penonton muda.

“Sejujurnya kami pun terkejut dipilih menyertai Gegar Vaganza, terima kasih kerana memberi peluang kepada Forteen untuk turut bersama penyanyi 'otai' yang lain.

“Siapa kata penonton GV tak kenal Forteen? Sebenarnya makcik-makcik pun minat Forteen tau. Jadi tak ada masalah bagi kami," katanya kepada mStar Online.

Forteen bakal berentap di Gegar Vaganza

Forteen dianggotai Izzue Islam, One, Ameer serta Ariz Lufias.

Kali terakhir Forteen dilihat aktif bersama ialah pada Februari 2017 apabila mereka muncul dengan single berjudul Apa Ini Cinta.

Tempoh berehat hampir dua tahun kumpulan yang terkenal dengan lagu Dekat Tapi Jauh ini turut memberi kesan mendalam buat salah seorang ahlinya.

“Saya rasa seperti hidup semula kerana sudah hampir dua tahun kami tidak bersama sebagai satu kumpulan.

"Namun kini saya yakin Forteen bakal bangkit semula dengan menyertai GV," kata One.

GV5 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 30 September ini secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad, 9 malam.

Tags / Kata Kunci: forteen , gegar vaganza
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan