‘Operasi X’ bukanlah sebuah operasi luar biasa, skrip acuan lapuk - Wayang | mStar

‘Operasi X’ bukanlah sebuah operasi luar biasa, skrip acuan lapuk

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2018 9:00 AM

Bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-11 (1994), Nasir Bilal Khan memegang watak sebagai Bashah dalam filem 'Operasi X.'

(Ubah saiz teks)

Filem: Operasi X

Pengarah: Sandosh Kesavan

Pelakon: Datuk Aaron Aziz, Datuk Awie, Nasir Bilal Khan, Amerul Affendi, Hairul Azreen, Hanna Aqeela, Hefny Sahad dan Shima Aris

Genre: Aksi

Durasi: 107 minit

Pengedar: Dream Pictures Productions

Tarikh Tayangan: 1 November 2018

PENULIS percaya dan cukup yakin bahawa standard filem aksi di negara ini sudah berada pada tahap yang kini boleh dibanggakan selepas kejayaan Paskal The Movie (2018) dan Polis Evo (2015).

Tidak kira sama ada kisah bercorak kepolisan mahupun ketenteraan, jika memiliki premis dan garapan cerita yang kemas serta menyakinkan, ia dengan mudah akan menarik perhatian penonton ke pawagam.

Disebabkan itu jugalah, untuk mana-mana penerbit yang mahu menghasilkan filem bercorak aksi, mereka tidak boleh lagi bersikap sambil lewa dan sekadar mahu melengkapkan portfolio masing-masing.

Justeru, apabila sebuah lagi filem Melayu ditayangkan pada 1 November lalu berjudul Operasi X, penulis tidak mahu bersikap skeptikal tetapi lebih mahu membuka minda menontonnya.

Ditambah pula, dengan barisan pelakon yang ditunjangi Datuk Aaron Aziz dan Datuk Awie yang masih memiliki pengaruh sebagai aktor popular, maka, tidak mustahil untuk Operasi X memikat hati penonton.

Filem Operasi X yang diarahkan oleh Sandosh Kesavan tidak berupaya menjadi sebuah filem aksi yang baik disebabkan kegagalan cerita dan lakon layarnya yang kurang menarik.

Namun, selepas hampir dua jam berada di dalam panggung sendirian menonton filem Melayu ketiga arahan Sandosh Kesavan yang pernah mengarahkan Biasan (2015) dan Gong (2006) ini, penulis hanya mampu menarik hela nafas yang panjang.

Seperti mana yang selalu penulis titik beratkan dalam menilai sesebuah filem iaitu cerita dan lakon layar, ternyata Operasi X gagal memenangi hati penulis secara keseluruhannya untuk meletakkan karya ini pada tahap yang sepatutnya.

Jika dinilai secara kasar, penulis tidak menafikan bahawa Operasi X mampu menjadi sebuah filem aksi yang hebat biarpun tidak memiliki bajet tinggi seperti filem-filem aksi tempatan lain.

Ini kerana premis yang dimiliki oleh Operasi X mampu untuk membawa karya ini pergi jauh jika olahan dan garapan lebih diperkemaskan dan diberi penelitian yang penuh selain pembikinannya dilakukan dengan serius.

Malah, penulis tidak menafikan bahawa untuk 10 minit pertama Operasi X mula memacu temponya, ia memiliki potensi untuk menjadikannya sebagai sebuah filem aksi dalam liganya tersendiri.

Akan tetapi, selepas daripada itu, momentumnya mula menurun sedikit demi sedikit sehingga ke garisan penamatnya lalu membuatkan penulis berasa lelah untuk menunggu filem ini tamat.

Lakonan Awie sebagai penjenayah bernama Belut kurang menyakinkan.

Dalam masa yang sama, pendekatan yang diambil oleh Atiqah Jani selaku penulis skrip masih berada dalam acuan lapuk sehingga perjalanan Operasi X bagaikan mudah dijangka.

Penulis faham untuk menjadikan sebuah karya itu dapat membuatkan penonton terus melekat di kerusi selama dua jam memang bukan mudah.

Lantaran itu, ia akan disuntik dengan elemen komersial untuk menjadikan ia lebih enak ditonton tetapi Operasi X juga tidak berupaya untuk mencapai standard yang sewajarnya.

Entah mengapa penulis berasa seperti canggung melihat adegan yang melibatkan ASP Redzuan (lakonan Aaron Aziz) dan Cikgu Ayu (Hanna Aqeela) yang langsung tidak menampakkan keserasian antara mereka dan kelihatan seperti dibuat-buat.

Adalah lebih baik untuk babak itu tidak diadakan kerana penulis tidak melihat kepentingan mahupun keberkesanan adegan antara Redzuan dan Ayu itu menjadi sebahagian daripada jalan cerita.

Baik Aaron mahupun Hanna, masing-masing tidak menampakkan mereka adalah pasangan yang benar-benar mempunyai perasaan antara satu sama lain lalu membuatkan hubungan mereka lebih terarah sebagai abang dan adik.

Sehubungan itu, alangkah baiknya jika Atiqah Jani lebih memfokuskan penceritaan tentang Operasi X dengan memperkukuhkan dan mengembangkan watak untuk memperlihatkan keserasian antara ASP Redzuan (lakonan Aaron Aziz) dan pasukannya iaitu Janggut (Gbob), Pablo (Hairul Azreen), Nash (Nashra Shah) dan Ali Mat (Hefny Sahad).

Aaron Aziz dan Hairul Azreen dalam salah satu babak filem Operasi X.

Apa yang dipersembahkan untuk babak-babak ini hanyalah sekadar di permukaan tanpa sebarang pengukuhan dan latar belakang watak-watak ini dalam menampakkan kehebatan dan kepakaran masing-masing.

Dalam erti kata lain, apa yang dipersembahkan oleh Operasi X seolah-olah seperti sebuah operasi yang tidak mencabar dan masih lagi berlegar dalam permasalahan jenayah yang sama.

Sebagai seorang pengarah dan idea cerita asalnya daripada Sandosh sendiri, beliau seharusnya mengambil peluang ini untuk lebih mencantikkan skrip dan lakon layar agar Operasi X mampu menjadi sebuah karya yang dihormati.

Bukan untuk meniru atau mengambil acuan yang sedia ada daripada filem terdahulu, tetapi sebagai seorang pembikin filem, Sandosh seharusnya berfikir di luar kotak pemikiran untuk membentuk Operasi X berada dalam liga tersendiri.

Dalam masa yang sama, penulis tidak menafikan ada hasil kerja sinematografi oleh Norhanisham Muhammad boleh diberikan pujian untuk babak-babak tertentu tetapi disebabkan lakon layar yang lemah, selebihnya tidak mampu memberikan impak buat Operasi X.

Dari aspek lakonan pula, Aaron masih menjadi seperti dirinya dan watak-watak lain yang pernah dilakonkannya. Penulis sendiri tertanya apakah sebab utama untuk Aaron menerima watak seperti ini yang tidak memperlihatkan sebarang peningkatan.

Lakonan Hanna Aqeela sebagai Cikgu Ayu tidak memberikan sebarang impak.

Sebagai seorang yang sudah mencapai tahap legenda, terselit rasa kecewa melihat Awie melakonkan watak Belut yang penulis sifatkan sebagai salah satu watak terburuk yang pernah dilakonkannya sepanjang beliau bergelar pelakon.

Sementelah wataknya sebagai Belut itu yang dicop Raja Seludup Antarabangsa, lakonan Awie di mata penulis tidak menyakinkan. Ditambah dengan pemakaian rambut dan perut palsu tidak membuatkan Belut digeruni tetapi lebih terarah sebagai seorang pelawak.

Dalam masa yang sama, penulis dapat merasakan bahawa karakter Belut itu mahu dilihat sebagai seimbang dengan memiliki personaliti yang berbeza, tetapi, maaflah, ia tidak mampu membuatkan penonton tertarik mahupun teruja.

Sehinggakan sekali imbas, imej Awie sebagai Belut itu saling tidak tumpah seperti watak Kabaliswaran atau Kabali yang pernah dilakonkan oleh Rajinikanth dalam filem Kabali (2016).

Penulis cukup yakin dan percaya, jika watak Belut itu lebih diberikan penekanan dan penelitian, Awie mampu lahir dengan satu penjenamaan semula buat dirinya sebagai pelakon aksi.

Hefny Sahad (kiri) sebagai Ali Mat dan Hairul Azreen (sebagai Pablo) turut membintangi filem Operasi X.

Sehinggakan babak aksi antara dirinya dan Aaron juga kurang menyerlah dan tidak menampakkan pertembungan yang seharusnya berlaku antara mereka.
Seperkara yang membuatkan penulis berasa kecewa juga apabila pelakon hebat seperti Amerul Affendi masih lagi diberikan watak stereotaip iaitu sebagai penjenayah.

Wataknya sebagai Mat Bong ibarat seperti kesinambungan wataknya dalam Paskal The Movie. Mungkin silapnya apabila tayangan kedua filem ini adalah dalam tempoh yang dekat.

Seperti mana yang penulis sebutkan di awal, untuk melahirkan filem aksi di Malaysia dalam landskap hari ini sememangnya bukan mudah kerana penerbit mempunyai dua pilihan sama ada membuat pelaburan besar untuk menyamai kehebatan Paskal The Movie dan Polis Evo atau lupakan sahaja niat itu.

Memang benar. Pasaran filem tempatan masih memerlukan variasi tetapi jika peluang untuk membikin filem itu diberikan, maka, lakukanlah dengan terbaik dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Begitulah ibaratnya untuk Operasi X yang mana ia mampu untuk menjadi sebuah filem aksi yang baik meskipun tidak akan menjadi sehebat Paskal The Movie dan Polis Evo.

Tetapi disebabkan cerita dan lakon layar yang kurang kemas, ia telah menjadikan Operasi X sebagai sebuah operasi yang biasa sahaja tanpa sebarang kelebihan luar biasa.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan