‘Gol & Gincu Vol. 2’ segar tanpa dibayangi nostalgia lama - Wayang | mStar

‘Gol & Gincu Vol. 2’ segar tanpa dibayangi nostalgia lama

Diterbitkan: Khamis, 1 November 2018 10:37 AM

Meskipun 'Gol & Gincu Vol. 2' masih menampilkan sukan futsal tetapi ia bukanlah latar utama untuk filem ini.

(Ubah saiz teks)

Filem: Gol & Gincu Vol. 2

Pengarah: Umi Salwana Omar

Pelakon: Datin Diana Danielle, Ummi Nazeera, Syafiq Kyle, Aedy Ashraf, Jad Hidhir, Sharifah Amani, Sazzy Falak, Intan Serah, Annabel Michael dan Iezahdiyana Alaudin

Genre: Drama

Durasi: 106 minit

Pengedar: Red Films Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 25 Oktober 2018

SEHINGGA ke hari ini, filem cereka pertama arahan Bernard Chauly, Gol & Gincu yang ditayangkan pada tahun 2005 tersenarai kemas dalam barisan filem tempatan kegemaran penulis sepanjang zaman.

Bukti ‘ketaksuban’ penulis terhadap Gol & Gincu apabila setiap kali ia diulang tayang di sebuah saluran berbayar, penulis tidak pernah berasa bosan untuk menontonnya.

Realitinya, filem Gol & Gincu yang pernah meraih sembilan pencalonan termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006) memang mencetuskan fenomena.

Walaupun ia bukanlah filem pecah panggung, tetapi keistimewaan dan pendekatan yang diketengahkan oleh Gol & Gincu menjadikan ia sebuah karya yang terus segar buat peminat jenama berkenaan.

Impak Gol & Gincu tidak terhenti kepada filemnya sahaja. Sebaliknya, ia berterusan kepada siri televisyen yang pernah ditayangkan di saluran 8TV selama dua musim dari tahun 2006 hingga 2007.

Namun, siapa sangka, selepas 13 tahun, jenama ciptaan Lina Tan menerusi Red Films Sdn. Bhd. selaku penerbit kembali direalisasikan.

Dengan menggunakan judul Gol & Gincu Vol. 2, penulis tidak dapat menyembunyikan keterujaan untuk menonton filem baharu ini walaupun tidak membariskan sebahagian besar teraju asalnya.

Penulis meletakkan harapan yang boleh dikatakan agak tinggi untuk melihat Gol & Gincu Vol. 2 menyamai standard yang telah dicipta menerusi filem asalnya walaupun tidak dapat menyembunyikan perasaan gusar jika ia hanya sekadar mengambil acuan lama secara bulat-bulat.

Sementelah, membariskan barisan pelakon yang rata-ratanya adalah wajah baharu dalam pasaran hiburan masa kini selain menyaksikan Umi Salwana Omar menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, pastinya Gol & Gincu Vol. 2 mahu memberikan satu santapan segar buat penonton.

Ternyata, telahan penulis tidak silap kerana Gol & Gincu Vol. 2 sememangnya cukup dekat dengan generasi baharu dengan pendekatan dan tema yang berlegar dalam masyarakat hari ini.

Diana Danielle dan Ummi Nazeera membuktikan mereka memiliki keserasian yang cukup baik dan meninggalkan kesan.

Penulis suka untuk tidak melabel Gol & Gincu Vol. 2 sebagai sekuel sebaliknya ia adalah sebuah filem baharu tanpa perlu membawa penonton terus hidup dalam nostalgia lama.

Ini bermakna Gol & Gincu Vol. 2 berdiri atas kapasiti sebagai sebuah filem cereka yang mahu mencipta jenama baharu tanpa langsung mahu mengusik atau merubah sejarah yang telah dicipta untuk Gol & Gincu.

Seperti mana filem asalnya, Gol & Gincu Vol. 2 masih lagi mengekalkan Rafidah Abdullah sebagai pencipta cerita asalnya dengan dibantu Eenaz Mokhtar dan Farah Alya yang kemudiannya menyaksikan Nadia Khan menggarapnya menjadi sebuah lakon layar.

Untuk penulis, kolaborasi empat wanita ini sememangnya bijak dalam mengolah dan menghasilkan sebuah karya yang realistik terutama dalam soal memperkasakan kaum wanita dalam dilema masyarakat yang berlaku hari ini.

Hakikatnya, soal berkaitan wanita dan permasalahan yang bergulir dalam komuniti kaum Hawa ini memang tidak pernah berkesudahan dalam masyarakat di negara ini dan perkara ini yang diketengahkan dalam Gol & Gincu Vol. 2.

Justeru, olahannya lebih terarah kepada kebangkitan wanita dalam berhadapan dengan sesuatu isu tanpa perlu menjatuhkan maruah kaum sejenis yang sememangnya sudah sedia dipandang enteng.

Semuanya adalah bagaimana semangat dan aura positif yang perlu ada dalam diri setiap manusia tidak kira jantina untuk bangkit daripada dunia gelap dan kegagalan lebih-lebih dalam dunia teknologi yang cukup mencabar tatkala ini.

Pengarah filem Gol & Gincu Vol. 2, Umi Salwana Omar (kanan) bersama penerbit, Lina Tan (dua dari kanan) dan barisan pelakon termasuk Ziana Zain dan Sherry Al Hadad.

Dan, semuanya itu bermula dari titik punca daripada watak Zak dan Yaya yang masing-masing dilakonkan oleh dua teraju utamanya, Datin Diana Danielle dan Ummi Nazeera yang seterusnya mengembangkan cerita Gol & Gincu Vol. 2 untuk terus jadi lebih menarik.

Bahkan, penulis memuji bagaimana watak Zak dan Yaya ini digarap dengan teliti dalam memperlihatkan dua personaliti berbeza yang telah mengimbangi filem ini untuk bergerak dalam tempo yang sewajarnya.

Tiada istilah membayangi sesiapa kerana baik Diana mahupun Ummi, mereka telah menghidupkan watak mereka dengan cukup berkesan sekali.

Jika diukur kepada persembahan lakonan mereka berdua, pujian penulis lebih terarah kepada Diana kerana sebagai Zak, bekas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM29 (2017) itu cukup konsisten dan berfokus bagi memastikan Zak hidup di layar dari awal hingga akhir.

Malah, penulis meletakkan Diana sebagai salah seorang calon untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) akan datang kerana Diana berhak untuk berada dalam kelompok itu di atas keberkesanan lakonannya dalam Gol & Gincu Vol. 2.

Mungkin tanggapan sesetengah pihak bahawa watak Zak adalah mudah, tetapi, percayalah, penulis tidak melihat pelakon lain selain Diana untuk membawakan watak berkenaan dengan penuh berkarakter.

Kemunculan bekas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 (2006) menerusi filem Gol & Gincu, Sazzy Falak sebagai Shasha memang dinantikan.

Sudah tiba masanya segala kritikan negatif terhadap bakatnya selama ini perlahan-lahan dihapuskan dan terus memberikan ruang kepada Diana yang juga bekas calon Pelakon Wanita Terbaik FFM 26 (2014) untuk meneroka bakatnya serta dipandang serius.

Apabila penulis memberikan pujian kepada Diana, itu bukanlah bermakna Ummi tidak bagus dalam Gol & Gincu Vol. 2 kerana sebagai bekas calon Pelakon Wanita Terbaik FFM 26 (2014), Ummi memang dikenali umum sebagai salah seorang aktres terbaik.

Tetapi, sebagai Yaya, wataknya itu ada ketika kelihatan tidak jujur dan dibuat-buat lalu membuatkan penulis berasa sedikit terganggu dengan lakonannya. Jika lakonannya konsisten, penulis percaya Ummi juga mampu tersenarai bersama-sama Diana sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Namun, apa yang positifnya, Diana dan Ummi memiliki keserasian yang begitu kuat dan tidak mustahil legasi Gol & Gincu Vol. 2 akan diteruskan lagi selepas ini dengan adanya mereka.

Kekuatan gandingan mereka itu mampu untuk menenggelamkan watak-watak lelaki yang dilakonkan oleh Aedy Ashraf (Mateen), Syafiq Kyle (Hakim) dan Jay Hidhir (Momok) yang mana titik tumpu itu bukanlah kepada mereka sepenuhnya tetapi itu tidak bermakna mereka tidak penting kepada jalan cerita.

Penulis tidak pasti sama ada jenama Gol & Gincu itu begitu kuat pada diri penulis tetapi mahu atau tidak, penulis masih merasai sedikit nostalgia filem tersebut dalam Gol & Gincu Vol. 2.

Perkara itu dapat dirasai apabila tema persahabatan, kasih sayang dan hubungan yang terjalin antara mereka di sebalik latar belakang dan status masing-masing membuatkan penulis merasai seperti mana filem asalnya.

Sharifah Amani turut kembali membawakan watak Jijie dalam filem Gol & Gincu Vol. 2.

Lebih-lebih lagi menyaksikan watak Jijie (lakonan Sharifah Amani) dan kemunculan Shasha (Sazzy Falak) yang juga telah mengimbangi perjalanan cerita ini untuk terus menjadi lebih dekat kepada peminat yang membesar dengan watak Jijie dan Shasha.

Bukan itu sahaja, apabila melihat watak-watak asal di penghujung cerita seperti Zie (Rafidah Abdullah), Sarah (Kartini Kamalul Ariffin) dan J (Fasha Anderson Rahman) membuatkan penulis tersenyum sendirian meskipun watak mereka tidak berdialog.

Lebih menarik apabila dua buah lagu runut bunyi dari filem terdahulu, Generasiku (nyanyian kumpulan OAG) dan Teruja (Ella) turut melatari dua babak dalam filem ini sambil disulami dengan lagu-lagu baharu dan segar sesuai dengan citarasa peminat masa kini.

Sebagai pengarah, Umi Salwana Omar boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu risau untuk dibandingkan dengan Bernard Chauly kerana beliau telah melunaskan tanggungjawabnya dengan baik dalam mencipta legasi baharu Gol & Gincu.

Secara keseluruhannya, Gol & Gincu Vol. 2 berada dalam landasan yang tepat untuk menjadi filem yang menghiburkan dan memberikan kepuasan kepada penonton khususnya generasi baharu untuk mengabdikan nostalgia mereka seperti mana Gol & Gincu.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan